Tiada saat yang lebih indah bagi sesebuah keluarga selain dapat berkumpul bersama-sama ibu, bapa dan adik beradik terutama dalam menyambut Ramadan Al-Mubarak.
Kesempatan untuk bersahur, berbuka dan solat berjemaah bersama termasuk tarawih terasa manis.
Penghujungnya ditutup dengan moreh seisi keluarga.
Sayangnya, tidak semua bernasib baik dapat menikmati saat-saat sedemikian atas tuntutan kerja, berjauhan dan orang-orang tersayang pergi buat selama-lamanya.
Sama halnya dengan Maimunah (bukan nama sebenar) seorang ibu yang diabai dan ditinggalkan anak-anak di rumah orang-orang tua sejak enam tahun lalu.
Saya bertemu dengan ibu berusia 78 tahun itu ketika menerima jemputan majlis berbuka puasa di pusat perlindungan tersebut pada Selasa lalu.
Emosi saya sedikit terkesan apabila mengenangkan kesedihan dan kerinduan ibu tua ini terhadap anak-anaknya lebih-lebih lagi pada bulan istimewa dan mulia ini.
Apabila tibanya bulan Ramadan, Maimunah berdepan rasa sedih dan segala memori bersama keluarga terimbau di fikiran.
Lebih perit, dia sudah lama tidak bersua dengan anak-anaknya yang masing-masing telah berumahtangga dan mempunyai keluarga sendiri.
Setiap kali menjelang bulan Ramadan dan hari raya, Maimunah menjadi orang yang paling sibuk.
Pelbagai juadah kegemaran disediakan termasuk rendang ayam dan daging serta ketupat untuk suami dan tujuh anak serta cucu-cucunya yang pulang ke kampung.
Terlalu banyak kenangan terpahat, saat anak-anak masih kecil hingga dewasa ketika menyambutnya.
Bagaimanapun itu adalah kenyataan pahit yang terpaksa ditelan oleh Maimunah apabila anak yang selama ini ditatang dan dibesar bagai minyak penuh sanggup meninggalkannya sendirian.
Maimunah yang berasal dari Paroi, Negeri Sembilan itu secara jujur mengakui meskipun kecewa dengan tindakan anak-anaknya itu, sebagai seorang ibu dia tetap mendoakan yang terbaik buat mereka.
Mengimbas kisah enam tahun lalu, Maimunah dihantar ke pusat penjagaan selepas semua anaknya bersikap lepas tangan mengenai kebajikannya.
Maimunah mempunyai tujuh anak, empat perempuan dan tiga lelaki masing-masing berusia antara 30 tahun hingga pertengahan 50 an.
Kebanyakan anak-anak Maimunah mempunyai pangkat dan kerjaya yang baik.
Pada awal kemasukan Maimunah ke rumah perlindungan itu pada awal Januari 2015, ada juga anak-anak menziarahinya.
Namun selepas setahun, anak-anaknya semakin jarang menjenguknya dan sehingga ke hari ini Maimunah langsung tidak melihat kelibat mereka.
Pelbagai usaha telah dilakukan pihak pusat perlindungan terlibat untuk membantu Maimunah mencari anak-anaknya, namun gagal.
Selain gagal dihubungi melalui talian telefon, anak-anak Maimunah juga telah bertukar alamat.
Sejak dari itulah, Maimunah bergantung sepenuhnya terhadap ihsan pihak lain bagi meneruskan sisa hidupnya.
Sebelum suami meninggal dunia pada tahun 2013, Maimunah dijaga anak-anak secara bergilir-gilir.
Namun nasib Maimunah berubah sekelip mata, selepas pada satu hari dia tiba-tiba diserang strok yang menyebabkannya lumpuh separuh badan.
Sejak itu Maimunah dianggap beban oleh anak-anak sehingga mereka menolak satu sama lain untuk menjaga sebelum mengambil keputusan menghantarnya ke pusat jagaan orang-orang tua.
Ibu mana yang tidak rindukan anak-anak apatah lagi yang diasuh, dibela sejak lahir serta menguruskan perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, Maimunah pasrah dengan apa yang berlaku apabila anak-anak sendiri sanggup membuangnya daripada kehidupan mereka.
Hidup Maimunah hancur dan penuh kesedihan ketika menerima kenyataan itu.
Seolah-olah hilang semangat untuk hidup.
Sepanjang 45 minit berbual dengan Maimunah, nyata kesedihan ibu tua ini tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Ada air mata tergenang di kelopak mata ibu tua itu.
Saya dapat membaca rasa sakit ibu tua itu ditinggal anak-anak.
Lebih sedih dan sakit daripada apapun.
Saya yakin selama ini Maimunah berusaha melupakan dan keluar daripada kesedihan yang mendalam itu.
Namun setiap kali Ramadan, dia sukar menyembunyikan kesedihan di hati.
Bagaimana tidak, Maimunah adalah wanita dan ibu yang paling dekat dan memanjakan anak-anak dengan penuh kasih sayang.
Seorang wanita yang sangat mencintai anaknya lebih daripada diri sendiri.
Dan saya mengerti betapa sakitnya Maimunah dibuang oleh insan-insan dicintai.
Apalagi insan tersebut berstatus anak yang lahir dari rahim sendiri.
Diasuh, dibesarkan dan dididik dengan penuh kasih sayang.
Benarlah kata pepatah, seorang ibu boleh membesarkan seramai 10 anak, namun 10 anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Sesungguhnya, kewajipan berbuat baik terhadap ibu bapa adalah suatu ketetapan daripada Allah SWT kepada anak-anak.
Lahirnya seorang anak ke dunia adalah disebabkan adanya insan mulia ini dan dengan kasih sayang mereka jugalah, anak ini dapat hidup dengan sempurna.
Oleh sebab itulah jugalah Allah SWT meletakkan kedudukan ibu bapa cukup tinggi.
Hanya satu darjah di bawah tanggungjawab seorang hamba kepada Allah dan Rasul.
Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNYA semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu,maka jangalah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Al-Israk: 23)










