Celoteh keibubapaan Wana tarik ramai pengikut - Utusan Malaysia

Celoteh keibubapaan Wana tarik ramai pengikut

Wana tak sangka dirinya kian dikenali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada mulanya Aniruana Mohamed Ishak atau lebih mesra dipanggil kak Wana atau kak Munah berkongsi cerita dan gambar di media sosial atas dasar suka suka. Kontennya pula banyak berkisar mengenai kehidupan seharian sebagai isteri dan ibu.

Bolehlah cuba klik Instagram @wanakamal_79. Mana tahu ada antara perkongsiannya itu yang boleh digunakan untuk memudahkan kehidupan anda setiap hari.

Apa yang menarik mengenai diri anda?
Saya hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa kepada suami dan dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.
Namun ramai yang suka interaksi saya di media sosial. Mereka suka ikut cara saya menguruskan jadual harian keluarga seperti memasak, mengemas, menguruskan suami dan anak-anak ke sekolah menerusi bajet yang rendah.

Sejak bila berkongsi di media sosial? Kenapa?
Pertengahan 2015 dengan berkongsi gambar masakan beserta resipi dan sedikit kapsyen yang agak menarik untuk dibaca. Namun beberapa tahun seterusnya, Instagram saya digodam, jadi akaun Instagram yang saya ada sekarang ini merupakan akaun Instagram saya yang kedua. Mulanya, saya hanya memuat naik gambar-gambar tersebut atas tujuan suka-suka. Tanpa saya sedar secara tiba-tiba sahaja, saya dapati follower di Instagram saya bertambah. Ramai juga yang meninggal komen membina membuatkan saya berasa lebih bersemangat untuk berkongsi lagi.

Identiti diri dan anda mahu dikenali sebagai apa?
Saya happy-go-lucky dan hanya mahu dikenali sebagai seorang ibu dan isteri yang mencuba untuk melakukan yang terbaik kepada keluarga. Tidak pernah terfikir untuk dikenali tapi tanpa diduga, ada yang gemar mengikuti perkongsian saya.

Bagaimana peranan membantu keluarga Malaysia?
Pengalaman saya sepanjang berkongsi tentang aktiviti harian di laman media sosial, saya hanya berkongsi tentang masakan, dekorasi rumah, gelagat keluarga dan perkara berkaitan sahaja.
Untuk menjawab soalan ini, saya perlu mengira beberapa perkara berdasarkan komen-komen yang telah ditinggalkan di Instagram saya, ramai yang meninggalkan komen bahawa mereka dapat menimba ilmu baru dengan perkongsian saya termasuk resipi masakan yang mudah serta cara saya menguruskan dapur supaya sentiasa kelihatan kemas dan bersih.
Selain itu, saya juga selalu titik beratkan hubungan kekeluargaan dan saling membantu sesama ahli keluarga.

Pengalaman tidak dapat dilupakan?
Walaupun saya hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa, saya dapat merasai pengalaman yang penuh makna seperti wanita yang bekerjaya di dalam industri komunikasi yang mana saya telah dijemput untuk menjadi tetamu untuk rancangan televisyen sama ada secara live atau rakaman.
Saya turut ditemuramah media dan pernah menerima anugerah khas sebagai ‘ibu’ di sosial media.

Bagaimana menambah jumlah pengikut?
Untuk menambah jumlah pengikut, maaf, saya tiada jawapan yang tepat untuk soalan ini kerana saya sendiri juga tidak pernah menyangka bahawa saya akan mempunyai ramai pengikut di sosial media.

Siapakah idola anda?
Idola saya adalah diri saya sendiri kerana saya tidak pernah menyangka yang saya akan berada di mana saya berada sekarang.

Instafamous membantu pembangunan masyarakat?
Ya. Hal ini kerana pengaruh yang dikuasai oleh Instafamous amat tinggi terhadap pengikut mereka. Dalam hal saya sendiri, ramai pengikut gemar mengikuti tentang bajet masakan harian yang rendah, perkakas dapur yang mampu milik, tips menjaga kebersihan dan kekemasan dapur serta dekorasi rumah dengan barang yang mampu milik, pergaulan kekeluargaan yang melahirkan rasa kerjasama, menghormati antara satu sama lain dan sebagainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×