Lebih dua dekad berada di gelanggang di seluruh dunia, ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David akhirnya kembali ke tanah air awal tahun ini selepas mengumumkan persaraannya pada Jun 2019 lalu.
Pemain skuasy nombor satu dunia sebanyak sembilan tahun berturut-turut ini, tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya penuh dengan misinya tersendiri untuk mencungkil lebih ramai bakat dalam sukan itu.
Malah sejak menjejakkan kaki ke tanah air dari Amsterdam, jadualnya sudah sedia padat dengan pelbagai perancangan. Sehinggakan Nicol hanya berkesempatan untuk pulang ke Pulau Pinang menziarahi kedua ibu bapanya yang dijadualkan pada penghujung April ini.
Antara projek yang sedang diusahakan beliau adalah menubuhkan yayasannya sendiri, dikenali sebagai Nicol David Organisation yang bakal dilancarkan pada Jun ini.
Yayasan itu ditubuhkan dengan kerjasama Mariana de Reyes yang juga adalah bekas pemain skuasy Colombia selaku Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.
“Tujuan penubuhan yayasan ini antaranya adalah untuk memperkasakan kanak-kanak perempuan dan lelaki daripada keluarga B40 dan M40 dalam sukan ini yang mana mereka akan diberi latihan untuk bermain skuasy dua kali seminggu.
“Bagi tahun pertama, program ini mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan serta pelbagai badan korporat seperti AIA bagi menjayakan misi berbentuk subsidi ini,” katanya kepada Seri.
Beliau ditemui selepas sesi latihan Klinik Skuasy Eksklusif di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, baru-baru ini. Klinik membabitkan 20 peserta wanita itu dianjurkan oleh AIA Malaysia sempena Hari Wanita Sedunia tahun ini bertemakan #AIASquashTheStereotypes.
Nicol berkata, program itu terbuka kepada 50 kanak-kanak dan mensasarkan mereka yang berusia lapan tahun yang tinggal di sekitar Bukit Jalil. Ini kerana latihan bakal dijalankan di Bukit Jalil Golf dan Country Resort yang sedang diubah suai buat masa ini.
“Pihak kami sudah memaklumkan kepada semua ibu bapa di sekolah kebangsaan sekitar Bukit Jalil mengenai program ini. Latihan terbahagi kepada dua, latihan skuasy selama sejam dan bahasa Inggeris selama sejam yang lebih menyeronokkan seperti menari dan menyanyi.
“Ibu bapa hanya perlu memberikan komitmen daripada segi yuran yang rendah. Kami tidak memberikan secara percuma supaya anak-anak lebih komited dan menghargai sesi latihan ini,” katanya yang mahu menjadikan sesi latihan di situ sebagai tempat yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.
Kongsi nilai murni
Beliau berkata latihan bahasa Inggeris diberikan berdasarkan silibus yang diajar di sekolah tetapi secara lebih santai bagi memupuk minat mereka terhadap bahasa terpenting di dunia itu.
Berdasarkan pengalamannya merantau di negara orang, Nicol percaya pengguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan itu bakal membantu mereka untuk melangkah lebih jauh.
“Saya banyak belajar nilai-nilai murni sejak berkecimpung dalam sukan skuasy. Saya mahu menerapkan nilai ini dalam kalangan peserta kami sejak usia muda. Skuasy mengajar saya supaya lebih berdisiplin, fokus dan bijak membahagikan masa.
“Rasanya saya tidak akan menjadi pelajar yang baik semasa bersekolah dulu jika tidak memiliki semua nilai ini. Mungkin saya seorang yang pelajar yang pemalas,” katanya berjenaka sambil ketawa riang.
Selain penubuhan yayasannya itu, Nicol turut menyimpan hasrat untuk menubuhkan akademi skuasy miliknya sendiri suatu hari nanti.
Buat sementara ini, beliau bakal mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan skuasy melalui peserta kanak-kanak yang menyertai program latihan yang dijalankan kelak.
Misinya cukup besar iaitu untuk memberi peluang kepada generasi muda menerokai sukan itu selain berkongsi pengalamannya dalam sukan skuasy sebagai membalas jasa Malaysia yang banyak menyokong kerjayanya selama ini.
Ketika ditanya sama ada dia merindukan zaman bertarung di gelanggang katanya:
“Saya kini lebih tenang tanpa perlu berdepan tekanan. Sekarang semuanya hanya terfokus kepada yayasan dan cabarannya,” katanya.
TAK PERLU JADI NICOL DAVID
Nicol menasihatkan ibu bapa supaya memberikan kebebasan kepada anak-anak memilih kerjaya masing-masing dan menyokong apa saja cita-cita mereka termasuk dalam bidang sukan.
“Tidak perlu menjadi Nicol David lagi. Jangan bandingkan keupayaan anak. Beri mereka peluang melakukan apa yang mereka inginkan atau minati. Kalau minat sukan, ibu bapa kena faham dan beri peluang mencuba selama setahun dulu. Lihat potensi mereka.
“Saya bertuah kerana ibu bapa percayakan saya. Bapa seorang ahli sukan manakala ibu pula seorang guru. Saya minat sukan dan mendapat restu mereka walaupun ada masa sukar untuk melepaskan anak semuda 18 tahun bermain secara profesional serta tinggal di Amsterdam sendirian,” katanya.
Mengakui tidak mudah melakar kejayaan sebagai ahli sukan, lantaran perlu bekerja keras dan bangun awal setiap pagi, namun, itulah yang mendorongnya untuk menjadi atlet profesional.
Saya Nicol David
Legenda sukan ini menjelaskan dirinya sudah merancang persaraannya teliti, dua tahun sebelum membuat keputusan menggantung raketnya.
“Ahli sukan lain yang ingin bersara, saya sarankan supaya merancang sebaiknya apa yang ingin dilakukan selepas bersara. Sebabnya tidak dinafikan memang mencabar untuk memulakan hidup baharu,” katanya.
Terbaharu, liku perjalanan Nicol sehingga berjaya mencapai kedudukan nombor satu dunia bakal di filemkan dan ditonton dalam tempoh dua tahun lagi.
Filem berkenaan bakal menampilkan pelakon yang dibawa dari Hollywood dan pelakon tempatan.
“Seronok rasanya bila mula mencari pelakon nanti. Saya kini dalam proses menyiapkan skrip. Saya Nicol David bakal difilemkan produksi Malaysia dengan kerjasama produksi dari Amerika Syarikat,” katanya.
Perlu ada ramai pembuat dasar wanita
Mengulas mengenai diskriminasi wanita dalam sukan, beliau tidak menafikan ia berlaku dalam kerjayanya yang lebih ramai pemain lelaki berbanding wanita.
Berbanding wanita, lelaki lebih banyak mendapat perhatian sehinggalah dia berjaya tampil sebagai pemain nombor satu dunia. Malah daripada segi hadiah juga kadangkala pemain wanita dapat lebih rendah berbanding lelaki.
Beliau yang digelar Duracell Panni kerana kelincahannya di gelanggang berkata, selepas 10 tahun dalam sukan itu, baharulah ada hadiah yang sama antara lelaki dan wanita.
“Dalam sukan, majoriti lelaki pembuat dasar. Justeru, kita perlu lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar dalam sukan. Lelaki dan wanita mempunyai kekuatan yang sama tetapi atlet wanita perlu bekerja lebih keras untuk mencapai kejayaan.
“Bagaimanapun, saya kira hari ini wanita kian menerima pengiktirafan lebih baik, semuanya disebabkan oleh kempen pemerkasaan wanita tetapi perjalanan kita masih jauh. Buat masa ini, kita sudah berada di landasan yang betul,” katanya.










