Zana merana, 8 tahun gantung tak bertali

Zana merana, 8 tahun gantung tak bertali

gantung
Bukan itu sahaja dia juga terpaksa menanggung beban pinjaman bank ratusan ribu ringgit yang dibuat bekas suaminya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan bukan untuk sehari dua, tetapi sehidup semati kekal hingga ke akhir hayat. Namun siapalah kita untuk menolak takdir Allah. Ditakdirkan Allah jodoh dengan pasangan tidak panjang.

Jika berpisah secara baik, bertuah badan tidak perlu fikirkan masalah lain.

Soal nafkah anak-anak dan urusan-urusan lain semuanya berjalan dengan baik.

Berbeza situasi jika perpisahan itu penuh dengan perasaan marah dan dendam.

Minggu ini saya kongsikan kisah Zana (bukan nama sebenar) yang berhadapan dengan kes perceraian yang tertangguh hampir lapan tahun.

Bukan itu sahaja dia juga terpaksa menanggung beban pinjaman bank ratusan ribu ringgit yang dibuat bekas suaminya, Razali (bukan nama sebenar) semasa masih bergelar suami isteri.

Sepanjang tiga tahun berkahwin, Zana melalui saat sukar apabila rumah tangga mereka sering dilanda konflik.

Apabila tiada penyelesaian, Zana mengambil keputusan berpisah untuk kebaikan kedua-dua pihak.

Namun ia tidak semudah mengucapkan, apabila bekas suami tidak bersetuju dengan permohonan cerai yang dibuat.

Dalam tempoh itu, kehidupan Zana ibarat gantung tidak bertali.

Hendak dikatakan masih isteri orang tetapi hakikat sebenar kehidupannya seperti ibu tunggal.

Segala-gala tanggungjawab termasuk makan pakai, bil, pinjaman rumah dan kenderaan serta persekolahan anak tunggalnya dipikul sendirian.

Turun naik mahkamah

Zana sudah penat turun naik mahkamah bagi menyelesaikan masalah rumah tangganya tetapi Razali langsung tidak mahu memberi kerjasama.

Razali tetap dengan sikap keras kepala dan egonya. Zana yakin Razali sengaja mahu menyusahkan dan ingin melihatnya menderita sedangkan bekas suaminya itu sudah berkahwin lain.

Sepatutnya kes antara mereka dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat, namun berlarutan disebabkan bekas suami enggan menceraikannya di hadapan hakim.

Apabila kes dibawa ke mahkamah syariah, pihak berkenaan meminta mereka berbincang untuk mencari penyelesaian.

Sepanjang itu jugalah Zana turun naik mahkamah dan akhirnya mereka sah bercerai menerusi hakam pada penghujung 2005.

Menyingkap awal pertemuan, Zana dan Razali berkahwin atas dasar cinta. Selepas bergelar isteri, Zana menyerahkan seluruh jiwa raga kepada suami yang dicintai.

Dia sanggup susah senang bersama dalam meneruskan kehidupan berumahtangga bersama lelaki dicintai.

Atas nama cinta juga, Zana bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM45,000 untuk menyelesaikan hutang pinjaman pendidikan bekas suami.

Episod hidup Zana bermula selepas Razali diberhentikan kerja pada penghujung 1997 akibat krisis ekonomi yang melanda negara ketika itu.

Sepanjang tempoh hampir satu tahun, Razali hanya hidup, makan tidur dan keluar bersama kawan-kawannya.

Zana pernah memintanya mencari pekerjaan, tetapi alasannya mudah dia bukan jenis yang boleh bekerja dengan orang.

Sehinggalah pada satu hari bekas suami meminta Zana untuk membuat pinjaman peribadi sekali lagi sebanyak RM250,000 baginya memulakan perniagaan.

Pada awalnya, Zana agak keberatan memenuhi permintaan Razali, namun kerana sayang jugalah, dia turuti.

Zana yang bergaji tetap sebagai penjawat awam berpangkat timbalan pengarah itu mempunyai banyak kelebihan membuat pinjaman.

Berpoya-poya

Langit tidak selalu cerah. Zana mula perasan bekas suaminya semakin berubah sikap.

Razali sudah mula pulang lewat dan kembali kepada kehidupan awalnya yang suka berpoya-poya.

Dengan menggunakan wajah tampan dan sikap lemah lembutnya itu, Razali mengumpan wanita-wanita yang kebanyakan mempunyai kerjaya tetap agar jatuh cinta kepadanya.

Melalui seorang teman, Zana mendapat tahu bekas suaminya itu sudah berkahwin dengan seorang doktor sebuah klinik swasta di bandar berhampiran.

Sepanjang tempoh itu juga bukan Zana tidak berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka, namun dia tidak langsung melihat sebarang usaha daripada bekas suami.

Apa yang dikesalkan bekas suami enggan melepaskannya dengan cara baik.

Pada awalnya, Zana bagai hilang arah selepas apa yang diperlakukan bekas suami terhadap dirinya.

Namun dengan bantuan dan sokongan kawan-kawan serta ahli keluarga, Zana dapat menguruskan situasi dan emosinya dengan baik.

Apa yang cukup dikesali Zana, keluarga bapa dan ibu mentuanya seolah-olah membenarkan perlakuan anak mereka.

Bagi Zana, walaupun perceraian itu halal, tetapi proses yang terpaksa dilalui sangat menyulitkan.

Ini menyebabkan ada wanita yang sanggup hidup menderita dengan pasangan masing-masing hingga ke akhir hayat.

Bagi isteri yang bersedia untuk berpisah seperti Zana, dia terpaksa melalui detik malang akibat keegoan pasangan sehingga perceraian tertangguh begitu lama.

Kini hidup Zana lebih teratur dan bahagia.

Dia sudah bergelar isteri dan ibu kepada pasangan kembar berusia, lima tahun.

Zana sudah hampir enam tahun berumah tangga dengan Fadil (bukan nama sebenar), lelaki yang banyak membantunya sepanjang melalui detik-detik sukar dalam kehidupan sebelum itu.

Dia sentiasa berdoa dan berharap agar perkahwinan kali keduanya itu lebih membahagiakan dan kekal lama.

Sehingga ke hari ini, Zana masih bertanggungjawab membayar kepada pihak bank hutang bekas suaminya yang berbaki hampir mencecah RM300,000.

Ini termasuk hutang kad kredit, pinjaman peribadi, kenderaan, rumah dan lain-lain.

Zana yakin setiap ujian yang dihadapi menjadikannya seorang insan yang lebih kuat dan tabah.

Dia percaya ada hikmah disebalik setiap ujian yang Allah berikan.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud:
Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (an-Nisa: 19). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×