Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia menerima hampir 10,000 pelajar tempatan dan antarabangsa ke kampus secara berperingkat bermula 27 Mac ini dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, UKM memberi jaminan dalam memastikan keselamatan pelajar yang pulang ke kampus akan terus dipertingkat selaras dengan pengumuman yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi.
“UKM mengkaji semula dan mengetatkan SOP sedang digunapakai di universiti bagi melancarkan proses kemasukan pelajar kelak.
“Kita akan meminta pemimpin pelajar terutamanya Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Eksekutif Pelajar di kolej kediaman untuk membantu mengingatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi SOP secara berterusan,” katanya.
Bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pula, amali dan makmal serta aktiviti penyelidikan akan bergantung kepada kapasiti kemudahan dewan kuliah dan makmal sedia ada.
Tambah Ekhwan, pihak fakulti turut dibenarkan untuk menentukan kaedah pembelajaran bagi aktiviti penyelidikan dan kaedah PdP sama ada dilakukan secara dalam talian, bersemuka atau hibrid.
“Walau bagaimanapun, pihak Jawatankuasa Tindakan Krisis UKM: Kategori Penyakit Berjangkit dan Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM) akan meneliti semula semua SOP fakulti sebelum diperakukan,” ujarnya.
Ada dua kategori pelajar yang akan hadir ke kampus iaitu melibatkan pelajar yang menginap di dalam kampus dan juga di luar kampus.
“Jumlah bilangan pelajar yang akan menginap di kolej kediaman adalah tertakluk kepada jumlah kapasiti kolej. Walau bagaimanapun, pihak Pusat Perumahan Pelajar akan memastikan semua pelajar mematuhi SOP telah ditetapkan,” katanya.










