Sukan go-kart atas bumbung, cipta kelainan - Utusan Malaysia

Sukan go-kart atas bumbung, cipta kelainan

Kebanyakan pemandu go-kart di Kart Hauz lebih cenderung untuk berlumba dalam keadaan trek yang basah berikutan lebih mencabar adrenalin dan menyeronokkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sukan go-kart sudah tidak asing lagi bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan mencabar adrenalin lebih-lebih lagi ketika ia dipandu di atas trek bertar yang dibina di atas permukaan tanah.

Namun berbeza di Bandar Cassia, Batu Kawan, dekat sini apabila peminat sukan tersebut berpeluang merasai kelainan memandu go-kart di atas bumbung bangunan setinggi enam tingkat sekali gus menjadikan ia yang pertama seumpamanya di Pulau Pinang.

Ketua Pemasaran Kart Hauz, Joshua Koh, 35 berkata sambutan yang diterima dalam kalangan pelanggan adalah begitu positif kerana rata-rata peminat sukan itu menyifatkan trek go-kart di atas bumbung bangunan adalah sesuatu yang unik, lebih mencabar dan mencipta pengalaman baharu.

“Ramai juga yang bertanya kenapa (trek) atas bumbung. Bagi kami, trek go-kart di atas bumbung bangunan adalah satu strategi pemasaran kami untuk menarik peminat sukan go-kart datang ke sini tanpa mengira penduduk Pulau Pinang mahupun pelancong luar, lebih-lebih lagi setelah Perintah Kawalan Pergerakan sudah ditamatkan.

“Kebanyakan pelanggan yang datang berasa lebih teruja apabila berlumba di atas bumbung, malah ada dalam kalangan mereka lebih suka berlumba dalam keadaan trek yang basah iaitu ketika hari hujan (renyai) kerana dikatakan lebih mencabar dan menyeronokkan.

“Dalam keterujaan berlumba, pihak kami juga pada masa yang sama turut menitikberatkan faktor keselamatan para pemandu ketika di atas trek serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam memastikan mereka dan pekerja Kart Hauz terhindar dari sebarang risiko penularan Covid-19,” katanya ketika ditemui di litar go-kart tersebut yang terletak di Outlet Design Village, Bandar Cassia, di sini, baru-baru ini.

Memulakan operasi pada 28 Januari lalu, Joshua berkata seramai lima orang petugas keselamatan trek atau dipanggil marshal telah ditugaskan untuk memantau setiap sudut trek.

“Trek sepanjang 350 meter tersebut akan dipantau oleh marshal bertugas di mana mereka terlebih dahulu akan memastikan trek dan pelumba berada dalam keadaan selamat sebelum perlumbaan bermula.

“Kami juga akan memberi taklimat melalui tayangan video keselamatan kepada pemandu terlebih dahulu supaya segala arahan mengenai keselamatan sebelum dan selepas perlumbaan dipatuhi sepenuhnya,” katanya. Caj yang dikenakan bagi sepuluh minit pemanduan adalah RM50.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×