Anak tidak selera makan tetapi lebih banyak minum air saja, antara isu sering dibangkitkan ibu bapa lebih-lebih lagi Ramadan menjelang tiba tidak lama lagi.
Bukan mudah mendidik anak kecil berpuasa kerana bersahur itu sendiri pun sudah cukup mencabar baginya malah ada dalam kalangan orang dewasa pun tak berselera untuk bersahur.
Namun ibu bapa perlu merancang menu dan hidangan sesuai dalam usaha membangkitkan selera mereka.
Pensyarah dan Dietitian, Program Dietetik & Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Zahara Abdul Manaf berkata, beberapa hari pertama mungkin kanak-kanak kurang berselera bersahur kerana badan mereka sedang membuat perubahan masa waktu makan dan tidur.
Bagi meningkatkan selera dan minat kanak-kanak untuk bersahur, galakkan mereka tidur awal supaya tidak terlalu mengantuk dan letih semasa bersahur.
“Kanak-kanak berusia antara 6 sehingga 13 tahun perlu tidur 9 sehingga 11 jam setiap hari untuk memastikan mereka sihat fizikal dan mental. Jika mereka masih mengantuk semasa bangun sahur, selera mereka akan terjejas atau sukar untuk bangun sahur.
“Hidangkan makanan kegemaran atau yang diminta oleh mereka. Kanak-kanak biasanya mempunyai jenis makanan kegemaran berbeza dengan golongan dewasa. Pelbagaikan hidangan setiap hari untuk mengelakkan mereka rasa bosan. Sebelum tidur, boleh berbincang dengan mereka menu yang mereka inginkan untuk bersahur,” katanya.
‘Tak semestinya makan nasi’
Tidak semestinya makan nasi masa bersahur sebaliknya boleh hidangkan makanan sihat dan seimbang yang mereka gemar supaya kekal bertenaga di siang hari terutama pada waktu sekolah.
“Makanan lain seperti pasta, roti, oats, roti wrap, mi juga boleh membekalkan karbohdirat. Wrap tortilla bijirin penuh yang diisi denga isi ayam panggang, telur rebus, keju, salad, mayonis atau yogurt senang disediakan dan dimakan semasa sahur.
“Inti wrap boleh disediakan sebelum tidur dan disimpan dalam peti sejuk. Selain itu, sandwic roti wholemeal yang mengandungi inti telur, ayam atau tuna dan keju serta sayur-sayuran juga sesuai dihidangkan semasa sahur,” katanya.
Tukar menu setiap hari untuk mengelakkan jemu. Hidangan panas biasanya boleh menambah selera kanak-kanak. Jika kanak-kanak gemar nasi goreng, boleh hidangkan nasi goreng sihat yang mengandungi salah satu seperti ayam, daging, udang, telur dadar serta sayur-sayuran.
Pasta seperti spagethi olio boleh menjadi hidangan sihat jika mengandungi isi ayam, sayur-sayuran seperti karot, cendawan dan lada benggala.
Minuman seperti smoothie yang terdiri daripada buah-buahan seperti pisang atau mangga yang dikisar bersama susu, yogurt dan oat juga merupakan menu sangat sihat untuk kanak-kanak bersahur.
“Hidangkan buah-buahan seperti manga, pisang, jambu, betik, tembikai atau epal. Boleh disediakan segar atau dijadikan jus. Buah-buahan boleh dijadikan hidangan snek selepas berbuka dan waktu bersahur.
“Buah-buahan potong yang sejuk boleh diletakkan di atas meja makan supaya kanak-kanak senang mengambilnya. Kurangkan makanan jajan untuk memastikan kanak-kanak memilih buah-buahan sebagai snek. Jus buah-buahan segar sesuai dihidangkan semasa berbuka dan sahur kerana dapat meningkatkan pengambilan air, vitamin, mineral dan serta dalam kanak-kanak,” katanya.
Menu sahur yang sihat, seimbang dan memberi rasa kenyang yang lama dapat memberikan kanak-kanak rasa cergas lebih lama. Manakala air yang mencukupi juga penting untuk memastikan kanak-kanak cergas berpanjangan.
Bersahur lewat malam tidak sihat
Ada sesetengah ibubapa mengamalkan sahur di lewat malam kerana tidak mahu bangun waktu sahur sehingga menjadi kebiasaan dalam keluarga dan kanak-kanak.
Amalan bersahur lewat malam sebenarnya tidak digalakkan terutama dalam kalangan kanak-kanak kerana ia tidak membantu kanak-kanak untuk menjadi lebih bertenaga pada siang hari. Malah fadhilat berpuasa pun tidak ada.
“Amalan makan makanan berat sebelum tidur, tidak sihat untuk sistem penghadaman dan kesihatan tubuh secara keseluruhannya. Bersahur hampir dengan waktu imsak adalah paling baik kerana kanak-kanak akan bertenaga dalam tempoh yang lebih lama pada siang hari.
“Amalan bersahur juga membantu untuk memastikan kanak-kanak dapat memenuhi keperluan pengambilan tenaga dan zat setiap hari sepanjang bulan puasa,” katanya.
Jenis makanan buat anak cepat lapar
Makanan mengandungi tinggi gula ringkas seperti roti putih atau biskut bersama jem, bun manis, kek, mi goreng atau nasi goreng yang kurang kandungan protein dan sayur-sayuran menyebabkan kanak-kanak cepat rasa lapar.
Elakkan makanan pedas, terlalu berempah, terlalu berminyak dan terlalu masam kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan perut kanak-kanak pada siang hari.
“Manakala minuman bergas dan berkafein (teh dan kopi) menyebabkan kanak-kanak rasa cepat dahaga dan lapar. Kandungan kafein memberi kesan diuretik iaitu kehilangan air daripada badan.
“Kanak-kanak akan kencing lebih kerap selepas sahur, akibatnya mereka cepat kehilangan air dari tubuh dan merasa dahaga. Manakala kafein juga boleh merangsang jus gastrik pada perut yang menyebabkan cepat rasa lapar,” katanya.
Makanan dan minuman manis pula memberi tenaga yang cepat kepada kanak-kanak tetapi menyebabkan mereka merasa cepat lapar jika dihidangkan semasa sahur.
Makanan sebegini sesuai untuk dihidangkan dalam kuantiti sederhana semasa berbuka puasa untuk memberi tenaga lebih cepat.
Tukar menu lebih sihat
Makanan segera seperti burger, piza, spagheti memang
digemari kanak-kanak.
Boleh ubah suai ia supaya lebih sihat bagi meningkatkan selera
anak.
* Burger: Buat sendiri daging burger. Boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan dibekukan dalam peti sejuk. Tambahkan sayur-sayuran seperti daun salad, tomato, timun, lobak parut. Roti pula boleh gunakan bun bijirin penuh (wholemeal) atau roti sandwic bijirin penuh.
* Pasta (contohnya spageti, makaroni): Sediakan sos sendiri yang ringkas. Contohnya sos putih boleh disediakan daripada susu segar, mentega dan keju. Manakala sumber protein boleh gunakan bebola daging, isi ayam atau makanan laut.
* Piza: Boleh beli gunakan roti bijirin penuh sebagai base piza manakala inti boleh gunakan isi ayam, tuna dan sayur-sayuran seperti tomato, cendawan, lada benggala dan keju. Sos boleh gunakan buah tomato masak dikisar yang ditambah dengan rempah seperti oregano, daun basil, bawang holand dan diperisakan dengan gula perang serta tepung jagung sebagai pemekat sos. Piza roti ini boleh dibakar dalam airfryer tanpa perlu guna ketuhar.
Elak anak dehidrasi
Kanak-kanak berumur 7 hingga 9 tahun memerlukan 1.6 liter air sehari manakala kanak-kanak berumur 10 sehingga 12 tahun memerlukan 2 liter air sehari. Sentiasa ingatkan mereka untuk meminum air pada waktu malam walaupun tidak rasa dahaga.
* Air buah: Sediakan air buah-buahan segar, sorbet buah-buahan, air kelapa, air kosong semasa berbuka dan bersahur.
* JUG berisi AIR: Letakkan jug atu botol mengandungi air kosong dan cawan di ruang tamu atau di bilik kanak-kanak supaya mereka kerap meminumnya.
* MAKANAN MASIN: Elakkan makanan masin seperti keropok, mi segera dan daging terproses seperti sosej, nuget serta makanan segera tinggi kandungan garam yang menyebabkan kanak-kanak merasa dahaga pada siang hari.
* AKTIVITI: Kurangkan membuat aktiviti cergas dalam cuaca panas terutamanya sebelum 6 petang untuk mengelakkan kehilangan peluh berlebihan yang menyebabkan mereka merasa dahaga dan letih.










