LIMA SOALAN
Mukadimah
SENTIMEN 22 bulan semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak semestinya memberi harapan kepada pengundi untuk mengundi Barisan Nasional (BN). Kekecewaan rakyat Johor itu memungkinkan mereka memilih gabungan atau parti lain selain Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Itu kebimbangan DATUK SERI WEE KA SIONG kepada wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN ketika dihubungi di Johor Bahru, semalam.
UTUSAN: Apa peluang MCA di 15 kerusi yang ditandingi di Johor?
Kita tak berani cakap, tapi masih lagi kerja kuat. Penerimaan rakyat itu baik tapi tak boleh terlalu optimis. Kena bekerja keras lagi dua, tiga hari sebelum PRN. Ini waktu kritikal lipat gandakan kempen.
Daripada 15 kerusi itu, berapa sasaran?
Saya tak suka buat jangkaan. Kita tidak boleh buat percaturan atas kertas dengan penambahan pengundi (muda) 28 peratus. Percaturan atas kertas tidak realistik kerana jumlah penambahan pengundi muda lebih tinggi ini. Saya tidak berani buat ramalan.
MCA bertanding di DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini ditandingi UMNO, yakin menangkah?
Kena kerja kuat menang kerusi itu kerana UMNO (sebelum) kalah di situ. Walaupun kawasan itu memang sengit dan susah (menang), tetapi kali suasana jauh berbeza berbanding 2018.
Strategi pecutan akhir kempen?
Kita harus berwaspada dakyah pembangkang yang tabur macam-macam seolah-olah rakyat lupa mereka pernah janjikan macam-macam, tetapi tidak tunaikan.
Ada tak gelombang perubahan pengundi Cina kali ini?
Kebanyakan (pengundi Cina) sudah hampa dengan DAP, PH semasa 22 bulan mereka memerintah. Ini sehinggakan ada menteri pada era pemerintahan mereka mohon maaf selepas prestasi menghampakan. – UTUSAN










