Anestesia, vaksin dua benda berbeza - Utusan Malaysia

Anestesia, vaksin dua benda berbeza

PEMBELIAN ventilator itu dibuat antara tahun 2020 hingga April 2022 bagi operasi dan pengurusan Covid-19 sekali gus menyebabkan kerugian berjumlah sejumlah RM13.07 juta kepada kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh Dr. Mohamad Fadhil Hadi

Mutakhir ini, negara menyaksikan lonjakan kes Covid-19 dengan wujudnya varian Omicron yang lebih mudah berjangkit. Berlatarkan situasi ini, vaksinasi memainkan peranan yang penting dalam usaha memperoleh imuniti kelompok, di samping melindungi sesama kita daripada terus dijangkiti oleh virus ini.

Vaksin dapat melindungi orang ramai daripada dijangkiti lalu menyebarkan virus tersebut, selain berpotensi untuk menghidap penyakit yang serius. Kenyataan ini khususnya perlu diberi perhatian oleh mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang sedia ada atau jika tubuh mereka lemah untuk melawan virus berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), mendedahkan risiko berlakunya reaksi negatif yang serius adalah lebih rendah berbanding risiko penyakit berbahaya atau kematian berpunca daripada jangkitan virus Covid-19.

Sebabnya, vaksin itu dibangunkan menerusi sains dan penyelidikan yang berusia berdekad lamanya. Malah turut melalui pelbagai peringkat ujian klinikal, termasuk ujian dan pemantauan ekstensif yang membuktikan bahawa vaksin ini adalah selamat dan berkesan.

Baru-baru ini tular mitos mengenai risiko berlakunya reaksi negatif daripada prosedur anestesia, khususnya bagi mereka yang telah divaksinasi. Kenyataan disangkal oleh Persatuan Pakar Anestesiologi Malaysia dan Kolej Pakar Anestesiologi, Akademi Perubatan Malaysia. Hingga kini tiada bukti saintifik mengesahkan kenyataan itu.

Berlatarkan situasi ini, pesakit perlu memahami sedikit sebanyak mengenai anestesia. Ia ialah rawatan dibuat menerusi pemberian ubat dinamakan anestetik untuk mengelakkan pesakit daripada merasai kesakitan ketika menjalani pembedahan atau prosedur perubatan.

Ada tiga jenis anestesia:
Anestesia setempat: Digunakan untuk kebaskan lokasi kecil yang spesifik pada anggota badan buat sementara waktu ketika pesakit masih sedar.

Anestesia sebahagian: Menghalang rasa sakit daripada anggota tubuh yang lebih besar, misalnya anestesia tulang belakang dan saraf.

Anestesia am: Menjadikan pesakit tidak sedarkan diri atau ‘tidur’ buat sementara waktu ketika menjalani pembedahan atau sesuatu prosedur. Ia boleh disuntik ke dalam urat atau dihidu oleh pesakit.

Anestesia dan vaksin Covid-19 beroperasi dalam dua sistem yang berbeza, maka anestesia tidak memberi sebarang kesan ke atas antibodi, sistem imun atau mencetus reaksi terhadap mana-mana vaksin.

Justeru, pesakit boleh menjalani pembedahan menerusi anestesia setempat dengan selamat selepas memperoleh suntikan vaksin Covid-19.

Pesakit digalakkan melengkapkan dos vaksinasi Covid-19 mereka sebelum menjalani pembedahan kerana risiko berlakunya jangkitan dapat diminimumkan bagi pihak pesakit serta kakitangan kesihatan di hospital kami.

Perkara perlu sebelum menjalani pembedahan
Jenis anestesia digunakan, lazimnya ditentukan oleh pakar anestesiologi mengikut prosedur yang akan dijalankan. Pakar perubatan akan menentukan kaedah terbaik setelah membuat pemeriksaan kesihatan secara teliti di samping memastikan tubuh pesakit bersedia untuk menjalani sebarang prosedur.

Adalah lebih baik jika pesakit membuat lawatan prapembedahan dan merujuk doktor atau pakar anestesiologi untuk menjadualkan atau merancang prosedur dipilih dengan sewajarnya. Pesakit digalakkan menunjukkan rekod perubatan dan berbincang mengenai pengalaman lampau melibatkan anestesia.

Pesakit turut dinasihati berehat selama beberapa hari selepas mengambil suntikan vaksin Covid-19, jika ia merupakan kes elektif. Ini adalah kerana sesetengah pesakit mungkin akan mengalami kesan sampingan seperti demam, sakit otot atau loya selepas vaksinasi, yang lazimnya akan berlaku. Bagaimanapun, dalam situasi kecemasan, contohnya yang melibatkan isu patah tulang atau kecederaan pada tulang belakang, prosedur perlu dipercepatkan.

Segelintir individu cenderung memperoleh informasi dari platform media sosial. Namun begitu, kita perlu memastikan maklumat diperoleh adalah daripada sumber yang boleh dipercayai. Rujuk doktor secara bersemuka atau melalui perkhidmatan telekesihatan bagi mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai perubatan.

Percayalah Malaysia memiliki sistem penjagaan kesihatan diiktiraf di persada antarabangsa, malah kita turut menduduki tangga pertama di dunia sebagai pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia serta infrastruktur yang bersofistikasi tinggi, dianugerahkan oleh International Living pada tahun 2019.

Justeru, orang ramai patut berasa lebih yakin terhadap kakitangan kesihatan di Malaysia kerana mereka bersedia untuk membekalkan pengalaman yang terbaik buat kita semua.

————-
Penulis ialah Pakar Anestesiologi & Penjagaan Kritikal ALTY Orthopedic Hospital

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×