Yaya rasa lebih selamat setelah memakai hijab

Yaya rasa lebih selamat setelah memakai hijab

yaya hijab
Yaya yakin dunia peragaan tudung dapat meningkatkan kesedaran menutup aurat dalam kalangan wanita Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya rasa lebih selamat dan dihormati setelah bertudung (memakai hijab menutup aurat),” kata Nur Hidayah Nor Azman, 27 kepada Utusan Malaysia.

Selain lambang seorang Muslimah sejati, menutup aurat juga dapat membuatkan seseorang itu lebih disegani dan dipandang mulia.

Apa yang pasti, arahan menutup aurat ini tidak perlu lagi dipersoalkan kerana ia jelas termaktub dalam al-Quran menerusi surah An-Nur ayat 31 dan Al-Ahzab ayat 59.

Begitu pun, perjalanan seseorang dalam menuju ke jalan Tuhan adalah berbeza dan bermacam ragam namun pada akhirnya ia capai pada matlamat sama iaitu mendapat keredhaan Tuhan.

Hidayah atau dipanggil Yaya mengambil keputusan jitu untuk bertudung sepenuhnya pada 2018. Beliau merasakan ia sebagai saat yang tepat dan tidak akan berpatah lagi.

Rakan-rakan dan ahli keluarganya sentiasa memberi kata-kata semangat buat Yaya. Kata mereka, dia nampak lebih jelita dan ayu dengan bertudung.

Nur Hidayah mula berkecimpung dalam dunia peragaan tudung sejak 2018 apabila terpilih sebagai peserta model sabun Top anjuran Karangkraf.

Sejak itu, dia menjadikan kerjaya peragaan sebagai pekerjaan sampingan memandangkan beliau sudah bekerja di bahagian sumber manusia di salah sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tanah air sejak dua tahun setengah.

Menurutnya, sebelum memasuki dunia peragaan berhijab, dia pernah beberapa kali menerima tugasan catwalk di Johor.

Rezeki dikurniakan wajah cantik, manis serta ketinggian yang sempurna, Nur Hidayah berjaya mendapatkan banyak tawaran dari pelbagai syarikat berbeza. Namun apa yang penting untuknya, tawaran tersebut perlulah patuh syariah. Jika ditawarkan pekerjaan yang membuka aurat, beliau akan menolak.

Duit poket dan pandemik

Menerima bayaran sebanyak RM150 bagi setiap jam penggambaran kata Nur Hidayah selalunya setiap projek akan memakan masa berjam-jam.

“Dalam seminggu saya boleh dapat dalam empat tawaran model dan setiap bulan pendapatan saya boleh mencapai hingga empat angka. Lepaslah duit poket,” katanya.

Nur Hidayah boleh dijadikan contoh kepada wanita lain. Saban hari dia menerima banyak pertanyaan menerusi saluran media sosialnya tentang pemakaian tudung. Pengikutnya tertanya-tanya akan keunikan penggayaan tudungnya digayakan.

“Momen paling indah bila emak saya sendiri terkesan dengan perubahan saya yang sudah bertudung. Emak turut mengambil keputusan untuk bertudung,” katanya.

Sokongan padu dari ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat dijadikan faktor utama Nur Hidayah bersemangat untuk menginspirasi anak muda lainnya dalam mengikut jejak langkahnya mendapat keredhaan Tuhan dengan menutup aurat.

“Model tudung berjaya membawa atau paling tidakpun, meningkatkan kesedaran menutup aurat dalam kalangan wanita Islam.

“Jenis dan penggayaan tudung itulah yang membuatkan ramai wanita terpaut hati untuk berhijab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×