Fasa kehamilan merupakan saat yang paling membahagiakan buat kaum wanita, namun ia juga merupakan fasa yang sangat mencabar.
Antara dugaan ibu hamil yang sering terjadi adalah sakit tulang belakang. Ia adalah perkara biasa yang sering berlaku akibat perubahan hormon mengendurkan ligamen yang menyokong tulang belakang dan pelvis.
Namun, sakit belakang tidak akan berakhir selepas kehamilan. Pakar kesihatan merekodkan satu daripada empat wanita hamil akan mengalami sakit belakang selepas bersalin.
Pakar Orthopedik Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri Dr. Kamalnizat Ibrahim berkata, wanita akan mengalami sakit belakang postpartum yang biasanya akan berkurangan selepas enam hingga 12 minggu setelah melahirkan, namun ia boleh berterusan lebih lama.
Oleh itu, mereka disyorkan agar mengurangkan aktiviti seperti berjalan, mengangkat, membongkok atau mendukung bayi.
“Ibu yang baru melahirkan sebaliknya digalakkan berehat, selain melakukan senaman ringan terutamanya senaman yang boleh mengembalikan kekuatan otot-otot abdomen dan belakang.
Jika boleh, cuba dapatkan semula berat badan normal dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan anak,” katanya.
Selain itu, gerakkan dan postur badan juga perlu dilakukan dengan betul bagi mengelakkan ketegangan pada bahagian belakang badan.
“Untuk mengangkat bayi dari lantai,bengkokkan lutut dan bukannya pinggang anda. Cangkung, tegangkan otot perut dan kemudian angkat menggunakan otot kaki.
“Amalkan cara menyusukan bayi yang betul. Ibu perlulah membawa bayi rapat ke dada, bukan membongkok ke arah bayi. Pastikan ibu duduk di kerusi yang selesa dan mempunyai sokongan yang baik,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, ibu juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera sekiranya sakit belakang berterusan kerana ia mungkin boleh menjurus kepada kesakitan kronik sekali gus menjejaskan kualiti hidup.










