Panggil anak engkau, aku saja ke?

Panggil anak engkau, aku saja ke?

“Kakak sudah siapkan kerja sekolah?,”. Kan tertib bunyinya. Bukannya kau dan aku yang sesuai larasnya sebagai penggunaan bahasa dengan kawan-kawan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Engkau dah siapkan kerja sekolah? Jangan tak buat ya. Karang kalau cikgu engkau panggil aku ke sekolah, siap kau aku kerjakan.”

Kata-kata ini saya terdengar daripada perbualan seorang ibu muda pertegahan usia 30an kepada anaknya sewaktu kami sama-sama beratur membuat pesanan makanan di sebuah restoran.

Anaknya lelakinya yang saya kira dalam lingkungan usia 10 tahun hanya mengangguk faham sambil tersenyum. Tiada yang luar biasa saya perhatikan. Mereka kelihatannya keluarga bahagia.

Namun saya kira seorang emak, ibu, mama atau apa pun panggilan itu, memang sangat kurang manis memanggil anak-anak dengan panggilan sedemikian.

Kalau ikutkan laras bahasa Melayu sesuai sewaktu saya belajar bangku sekolah dulu, kata ganti nama kedua yang harus digunakan ibu kepada anaknya ialah dengan nama. Contohnya kakak, abang, adik, Ali atau Nani.

Manakala nama panggilan tentulah mama, bonda atau ibu.

“Kakak sudah siapkan kerja sekolah?,”Kan tertib bunyinya. Bukannya kau dan aku yang sesuai larasnya sebagai penggunaan bahasa dengan kawan-kawan.

“Panggilan ni tak kisah, tak pernah ambil port, I dengan husband I kadangkala panggil I atau You. Kalau marah je panggil engkau dan aku. Tak kisah janji bahagia. Tapi kalau anak ya, jangan sekali-sekali sebut engkau,” komen seorang teman bila saya ajukan mengenai isu panggilan ini.

Memang betul bahagia terletak pada hati tetapi memanggil orang yang kita sayangi dengan panggilan manis, sopan dan lunak di telinga, bukankah itu suatu amal jariah juga. Lebih-lebih lagi kalau ibu yang melontarkan kata-kata manis kepada anak-anak, suami dan ahli keluarganya?

Saya menegaskan isu ini khusus kepada wanita kerana mereka adalah guru pertama anak-anak yang membentuk pemikiran mereka sejak tapak kaki sebesar dua jari.

Kalau sejak kecil anak dibiarkan menggunakan bahasa yang bukan-bukan dan tidak sewajarnya, bagaimana? Tegurlah kerana mereka mungkin tidak sedar mengenai kesilapan dilakukan itu.

Kita boleh nampak bahasa mereka gunakan menerusi perbualan bersama adik-beradik atau rakan-rakan. Kalau tidak percaya, cuba lihat bagaimana bentuk perbualan mereka di aplikasi media sosial.

Agaknya segelintir kita terlalu sibuk dengan media sosial yang penggunaan bahasanya kurang sempurna, maka penggunaan bahasa sedap dan manis semakin kita lupakan, lalu terhakis daripada minda.

Saya antara generasi mengamalkan aerogram dan mengirim surat. Laras bahasa indah seperti kekanda, adinda antara wajib digunakan sewaktu mengarang surat. Bahasa jiwa bangsa, kalau bukan ibu, siapa lagi yang akan mewarisi ketinggian bahasa kita ini. Tak payahlah cakap pasal bahasa dunia, kalau kita sendiri gagal menggunakan bahasa Melayu dengan sempurna.

——–
Nor Afzan Mohamad Yusof ialah Penolong Pengarang Berita,
Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×