Masih ramai wanita culas lakukan ujian pap smear - Utusan Malaysia

Masih ramai wanita culas lakukan ujian pap smear

Pemeriksaan ini disyorkan kepada wanita selepas setahun kelahiran anak pertama atau setahun selepas melakukan hubungan seksual yang pertama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pap smear tidak menyakitkan tetapi tidak dinafikan ujian ini mungkin tidak selesa untuk dilakukan oleh kebanyakan wanita. Pap smear ialah ujian yang dijalankan untuk mengesan peringkat sebelum kanser dan peringkat pra kanser atau mengesan kehadiran virus Human Papillomavirus (HPV) yang boleh mengakibatkan kanser.

Namun begitu mengapa wanita perlu melakukan ujian pap smear? Pakar Bedah Laparoskopi dan Ginekologi, Dr Mathews Joy Mathew dari Pantai Hospital Laguna Merbok, Kedah menjelaskan kanser serviks atau kanser pangkal rahim boleh dielak dan boleh dicegah dengan melakukan ujian pap smear.

“Ujian pap smear boleh dilakukan di hospital dan klinik kesihatan, atau klinik dan hospital swasta yang menyediakan kemudahan itu. Ujian yang dilakukan tidak mengambil masa panjang dengan hanya mengambil sampel sel dari kawasan serviks sebelum dihantar ke makmal untuk mendapatkan keputusan. Kebiasaannya keputusan diperolehi dalam tempoh seminggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ujar Dr Mathews pemeriksaan pap smear disyorkan kepada wanita setelah setahun kelahiran anak pertama atau setahun selepas melakukan hubungan seksual yang pertama.

Lazimnya, katanya ujian pap smear digalakkan dilakukan setahun sekali walaupun disyorkan tiga tahun sekali oleh National Screening Protocol.

Tujuan melakukan pap smear ialah untuk mengenalpasti kehadiran virus Human Papillomavirus yang juga dikenali sebagai HPV yang berisiko penyebab kanser.

“Selain itu tujuan pap smear itu dilakukan juga untuk memastikan sama ada seseorang mempunyai gejala peringkat pra kanser agar mampu dicegah supaya tidak berlakunya peringkat seterusnya,” katanya.

Sekiranya keputusan menunjukkan Low Grade Squamous Intraepithelial Lesion (LSIL) atau High Grade Squamous Intraepithelial Lesion (HGSIL) di mana terdapat sel pra kanser yang berlainan dari sel normal, peringkat seterusnya ialah menggunakan kaedah kolposkopi untuk memastikan sama ada wujud kehadiran sel kanser ataupun tidak.

“Selepas itu, wanita disaran mengulangi ujian pap smear dalam tempoh setiap enam bulan. Sebaliknya, jika keputusan menunjukkan terdapat jangkitan HPV , kita kena pastikan adakah jenis HPV itu ialah HPV 16,18 atau 31 yang berisiko untuk kanser.

“Terdapat lebih 100 jenis HPV yang dikesan namun ketiga-tiga jenis terbabit berisiko terhadap kanser.  Setiap wanita itu disaran mengulangi ujian pap smear setiap tahun bagi mengenal pasti tahap kesihatan seterusnya,” katanya.

Kanser serviks atau kanser pangkal rahim adalah pembunuh ketiga wanita di Malaysia. Kira-kira 40 peratus kanser ini hanya dikesan di peringkat akhir.

Berdasarkan Globocon Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2020, seramai 1,740 pesakit baharu didiagnos menghidap kanser serviks atau pangkal rahim di Malaysia dan 991 kematian dicatatkan akibat kanser. Berdasarkan data tersebut juga, kanser serviks dikategorikan dalam 10 jenis kanser paling tinggi menyerang rakyat negara ini.

Bagaimana kanser serviks terjadi?
Dr Mathews berkata kanser serviks boleh terjadi selepas terdapat perubahan sel normal kepada sel abnormal. Dan seterusnya boleh bertukar kepada sel pra kanser sebelum sel tersebut bertukar menjadi sel kanser.

“Secara kebiasaannya, proses perubahan sel kanser mengambil tempoh masa yang sangat panjang sehingga kadang-kala mencecah kepada 20 tahun. Oleh sebab itu, kesedaran dan peringatan sangat penting agar setiap wanita melaksanakan langkah awal pencegahan kanser serviks melalui ujian pap smear.

“Sekiranya pengesanan peringkat awal dilakukan, langkah-langkah pencegahan boleh diambil. Peluang pengesanan awal sangat baik, kerana mampu mencegah kanser atau membuat rawatan awal agar sel kanser tidak membentuk,” katanya.

Tambahnya lagi setakat ini tiada sebarang gejala-gejala dikesan di peringkat pra kanser dan individu itu mampu menjalani kehidupan secara normal.

“Begitu juga dengan kehadiran HPV sehingga kadang-kala kewujudannya tidak disedari tetapi ia mampu dikesan dengan pemeriksaan pap smear. Ini kerana terdapat sesetengah virus HPV boleh sembuh dengan sendiri tanpa rawatan.

“Bagaimanapun, gejala bagi seseorang yang telah menghidap kanser servik ialah berlaku tompokan darah atau pendarahan di luar waktu haid,” katanya.

Suntikan vaksin HPV
Dr. Mathews berkata bagi mencegah kanser serviks, beliau menasihati wanita akan keperluan seseorang wanita agar mengambil suntikan vaksin HPV sebelum melakukan hubungan seksual buat kali pertamanya.

Antara golongan berisiko terkena jangkitan HPV ialah individu yang  aktif melakukan hubungan seksual di usia muda, saling bertukar pasangan atau melakukan hubungan seksual dengan lelaki yang mempunyai ketuat di bahagian sulit.

“Amat digalakkan seseorang wanita itu mengambil vaksin HPV sebelum melakukan hubungan seksual yang pertama. Di Malaysia, suntikan vaksin HPV diberikan kepada semua murid perempuan tingkatan satu secara percuma di sekolah.

“Bagaimanapun, wanita dewasa juga digalakkan mengambil suntikan HPV sekiranya belum berkahwin dan belum pernah melakukan hubungan seksual. Mereka digalakkan mendapatkan suntikan vaksin HPV di mana-mana klinik atau hospital yang menyediakan perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Nasihatnya sekali lagi kepada wanita untuk melakukan ujian pap smear yang hanya mengambil masa hanya kurang dari satu minit sahaja kerana hasil ujian berkenaan boleh mengenal pasti tahap kesihatan pangkal rahim seseorang wanita.

“Hargailah masa sihat anda dan sayangilah insan di sekeliling anda dengan melakukan pemeriksaan kerana badan yang sihat mampu melahirkan generasi yang sejahtera, keluarga yang bahagia serta menjamin cara hidup sihat berpanjangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya