Kami berdua sama – Zulin Aziz

Kami berdua sama – Zulin Aziz

Zulin Aziz
Zulin Aziz dan suami, Farhan Norzaini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENARLAH kata orang, soal jodoh, ajal maut dan rezeki itu sememangnya cuma Yang Maha Esa sahaja lebih tahu.

Bukan tak pernah mencuba untuk membina hidup bersama dengan cinta yang kini cuma menjadi kenangan lalu. Tetapi sudah tertulis pada kanvas takdir, lelaki yang dicipta untuk menghalalkan Zulin Aziz sebagai seorang suri hati dan menemani hidupnya kini adalah Farhan Norzaini.

Lalu, tanggal 20 Februari 2022 menjadi tarikh istimewa, menyaksikan dua hati menyatu sebagai suami dan isteri selepas kurang lebih sebulan mengikat tali pertunangan.

Ada benarnya juga. Untuk apa lagi berlama-lama menangguh. Perkara yang baik, harus disegerakan.

Apatah lagi, masing-masing pernah mengalami episod pahit dalam hidup bila mana hajat untuk berumah tangga bersama pasangan masing-masing tidak jadi.Hingga meninggalkan mereka dalam kekecewaan.

“Sebenarnya, kami berdua ini sama. Kedua-duanya pernah dua kali putus tunang dengan bekas pasangan masing-masing. Dua kali tak jadi kahwin. Rupanya kali ketiga, Masya-Allah, baru Dia perkenankan hasrat itu.

“Siapa sangka, akhirnya kami berjodohan? Tak pernah saya bayangkan. Kalaulah dulu saya berkahwin dengan orang lain, mungkin tak akan dapat yang macam ini, rezeki seperti ini. Ternyata, Allah SWT memang nak berikan yang lebih baik,” kata Zulin Aziz.

Menangis

Kongsi pelakon dan pengacara ini, tatkala duduk di pelamin dan menyaksikan tayangan video praperkahwinan yang dipertontonkan kepada tetamu kelmarin. Hatinya tersentuh, mengenangkan betapa perjalanan yang pahit akhirnya membuahkan manis di hujung kisahnya.

“Sungguh…saya berkali-kali terfikir, kalaulah saya kahwin dulu, tak akan dapat saya rasai yang sebegini. Itulah, perancangan Allah SWT ternyata lebih baik. Dia lebih tahu mana yang baik untuk setiap hamba-hambaNya.

“Jadi, kita sebagai manusia, sentiasalah bersangka baik denganNya. Macam apa yang saya tulis di ruangan kapsyen di Instagram tempoh hari. Itu adalah apa yang saya benar-benar maksudkan.

“Saya lalui jalan-jalan yang sukar dalam memilih pasangan. Menangis, disakiti, ditipu berkali-kali. Diketawakan. Tapi, saya tak putus asa walaupun terlalu banyak air mata yang tumpah dan pengalaman yang ditempuh,” katanya.

Berkali-kali menyatakan bahawa sabar itu indah, Zulin percaya pada takdir dan hikmah namun usah cepat putus asa.

“Kalau nak tahu, terlalu ramai yang menghantar mesej peribadi di media sosial bertanya kepada saya tentang nasihat dan tips. Ramai yang kecewa dalam percintaan dan perhubungan, jadi saya selitkan juga kata-kata semangat buat mereka.

“Satu daripada apa yang saya sentiasa nasihatkan ialah, jangan putus asa. Jangan pernah tutup pintu hati. Sebab, kalau Allah SWT nak kurniakan jodoh untuk kita, tak rasa rugikah jika kita tutup pintu hati?,” katanya.

Berbulan madu

Berkongsi mengenai perancangan berbulan madu, kata Zulin, dia dan Farhan tidak menyangka ada pihak yang sudi menghadiahkan mereka sebagai pasangan pengantin baharu dengan pakej mengerjakan Umrah di Tanah Suci Mekah.

Buat kedua-duanya, ia adalah sebuah hadiah yang sangat bermakna apatah lagi, memori bagaimana Farhan melamarnya di sana masih segar dalam ingatan wanita berusia 33 tahun ini.

“Kebetulan, ada jemputan menunaikan umrah sekali lagi. Kami rasa sangat gembira sebab teringat juga memori ketika Farhan melamar di sana. Tak sangka ada insan yang sudi nak hadiahkan kami dengan pakej itu.

“Insya-Allah, perancangannya mungkin pada Ramadan ini.

“Selain itu, kami juga ada hasrat nak ke Turki. Kalau tiada aral melintang, hajat nak ke sana adalah pada bulan depan. Tapi, tengok juga pada keadaan semasa sebab sekarang ini pandemik dan sebagainya,” katanya.

Ditanya pula mengenai soal zuriat, Zulin dan Farhan tidak menolak kepada rezeki. Andai dikurniakan segera atau pun tidak, kedua-duanya menerima ketentuan takdir dengan hati terbuka.

“Cepat atau lambat, kami tetap menerima sebab ini soal rezeki dari-Nya. Kami tak ada rasa tertekan untuk itu. Lebih kepada perasaan mahu nikmati saja semua momen-momen bersama.

“Tapi, doakanlah kami ya. Ada rezeki, Alhamdullillah,” kata Farhan.

Zulin pandai jaga diri 

Dalam pada itu, menyingkap pandangan si suami tentang kerjaya Zulin Aziz yang tidak pernah lari daripada dunia glamor ini, Farhan mengaku sudah semakin memahami selok-belok industri.

Bagi Farhan, ia tidak begitu asing buat dirinya memandangkan sebelum ini, semasa tempoh berkawan, Farhan sudah seringkali didedahkan dengan suasana bidang ini.

“Saya kenal Zulin sebagai seorang sahabat dan kami berkawan lama, jadi saya sudah tahu industri ini macam mana dan cara kerja dia. Kadangkala, dia pun ada minta pendapat dan pandangan saya tentang itu dan ini.

“Saya perhati dan yakin dari semasa ke semasa yang Zulin ini pandai bawa diri. Walaupun dia single atau dah kahwin sekarang, saya yakin dia tahu jaga batas.

“Pendek kata, saya memang letak kepercayaan kepada dia sepenuhnya. Insya-Allah. Dia pandai jaga diri,” katanya.

Sementara itu, ditanya kepada Zulin mengenai perancangannya untuk menghasilkan sebuah lagu khusus bagi meraikan hubungannya pada kali ini, pengacara ini mengaku sudah pun merekodkan lagu.

Diberi judul Ketika Ini, Zulin pernah berjanji untuk merakamkan lagu itu seandainya dia sudah bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang tepat.

“Dulu, masa melalui episod pahit putus tunang, saya ada rakamkan sebuah lagu berjudul Ketika Itu. Kali ini saya tampilkan dengan judul Ketika Ini dan ia sebenarnya sudah lama direkodkan.

“Tak tahu bila nak lancarkan, Insya-Allah, dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×