Hikmah Covid-19, Villapadu Desa kian berkembang - Utusan Malaysia

Hikmah Covid-19, Villapadu Desa kian berkembang

VILLAPADU Desa menawarkan penginapan mewah buat pelancongan dengan menampilkan gabungan konsep tradisional dan moden. (Kanan) Zulhisham Ayob.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, percutian di inap desa lazimnya menjadi pilihan kedua atau mungkin yang terakhir dalam kalangan pelancong tempatan untuk bercuti.

Kebanyakannya lebih gemar bermalam di hotel kerana keselesaan yang ditawarkan termasuk kemudahan restoran, kolam renang, gimnasium di samping konsep hiasan dalaman dan luaran yang mempesonakan, bergantung kepada tahap bintang.

Malah, perkhidmatan pelanggan yang terbaik turut menarik orang ramai berkunjung ke hotel bagi menghabiskan percutian masing-masing.

Situasi itu berkemungkinan timbul ekoran persepsi mahu pun pengalaman buruk rata-rata pengunjung sepanjang menginap di inap desa terutama soal mutu perkhidmatan yang kurang memuaskan berbanding di hotel.

Bagaimanapun, impak pandemik Covid-19 menyebabkan keadaan berubah 360 darjah apabila inap desa kini menjadi pilihan pertama rata-rata pelancong selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.

Hal itu kerana orang ramai masih dibelenggu rasa takut dan waspada terhadap jangkitan virus sekali gus mahu penginapan berasingan tanpa perlu bertembung dengan pelancong lain.

Senario itu mendorong Zulhisham Ayob, 61, mengusahakan inap desa yang dikenali sebagai Villapadu Desa di kampung halaman isterinya, Hanida Omar, 45, di Kampung Seberang Baruh, Kuala Terengganu kerana yakin dengan potensi besar dalam perniagaan berkenaan.

INAP DESA BERBEZA
Bagaimanapun, penginapan yang disediakan pasangan suami isteri itu berbeza berbanding kelaziman kerana berkonsepkan penginapan mewah atau vila premium.

Zulhisham berkata, Villapadu Desa yang memulakan operasi sejak Oktober lalu mendapat sambutan luar biasa dengan tempahan yang penuh hampir setiap bulan terutama pada hujung minggu.

Katanya, idea untuk membangunkan inap desa mewah itu tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini.

“Terengganu sering menjadi tumpuan pengunjung tanpa mengira masa, namun wujud kelemahan kerana kita kekurangan penginapan bertaraf lima bintang di pusat bandar.

“Jadi saya nampak peluang cerah untuk membangunkan perniagaan berkenaan kerana konsep vila mewah difahamkan tiada di mana-mana tempat di negeri ini, ditambah pula dengan sikap masyarakat yang mahukan penginapan persendirian bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

BARU TIGA BULAN
Zulhisham kemudian nekad mengubah kediamannya di Kuala Terengganu kepada sebuah inap desa tiga bilik yang mampu menempatkan seramai 10 orang dewasa dan tiga kanak-kanak, dengan kos bermula RM2,000 untuk satu malam termasuk sarapan pagi.

Katanya, antara kemudahan yang disediakan ialah ruangan bilik yang luas, tilam setebal 13 inci, penghawa dingin berkuasa tinggi, kerusi urut, internet tanpa wayar (wi-fi), pelbagai kelengkapan dapur dan pinggan mangkuk mencukupi, mesin air di samping program penstriman terkemuka dunia, Netflix.

Fasiliti lain di Villa Padu Desa termasuk kolam renang berkapasiti besar, hidangan sarapan pagi bercitarasa tempatan seperti nasi dagang dan kuih-muih tradisional yang ditempah dari kedai terkemuka.

“Walaupun baharu tiga bulan beroperasi dan tanpa promosi besar-besaran, namun tempahan kami terima sangat baik. Saya terkejut rupa-rupanya ramai Keluarga Malaysia termasuk generasi muda sanggup melabur wang untuk menikmati percutian kayangan.

“Situasi ini sama sekali di luar jangkaan kerana pada awalnya saya cuma menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya lima hari tempahan pada setiap bulan bagi menampung kos operasi,” katanya.

GANDING TRADISI, MODEN
SEBAIK sahaja kaki melangkah masuk ke vila mewah ini, pastinya mata terpukau dengan keindahan seni bina rumah tradisi Terengganu dan kolam renang moden yang menjadi daya tarikan utama di Villapadu Desa.

Zulhisham berkata, struktur rumah asalnya dikekalkan dengan penambahan dua lagi bilik yang luas di samping turut menyediakan tempat bersantai yang banyak untuk keselesaan tetamu.

Malah, katanya, semua bahagian direka dengan ciri mesra pengguna bagi kesesuaian pelbagai lapisan usia termasuk kanak-kanak dan warga emas sekali gus membangkitkan suasana seperti di rumah.

Menurutnya, antara tarikan lain ialah rekaan dapur terbuka yang mampu memberi keseronokan kepada tetamu ketika memasak mahu pun menggunakan pelbagai kelengkapan disediakan.

“Kepuasaan pelanggan merupakan keutamaan di Villapadu Desa dan jaminan percutian mewah 100 peratus kepada tetamu yang kita tawarkan menyebabkan rata-ratanya selesa menghabiskan masa di vila tanpa keluar bersiar-siar,” katanya.

Sementara itu, Zulhisham berkata, jenama Villapadu terus diperkukuhkan menerusi pembinaan tiga lagi inap desa mewah di sekitar Kuala Terengganu dengan kos keseluruhan mencecah RM10 juta.

Katanya, Villapadu Kota di KP Perdana sudah memulakan operasi manakala Villapadu Bayu di Pantai Batu Buruk dan Villapadu Dusun di Serada dijangka dibuka kepada tetamu, tahun depan.

“Kos penginapan untuk satu malam di Villapadu Bayu merupakan yang tertinggi antara semua kerana saiznya yang lebih besar di samping kedudukan di kawasan pantai seolah-olah berada di destinasi peranginan popular di Bali, Indonesia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN