Hiasan dalaman tema Organik untuk 2022 - Utusan Malaysia

Hiasan dalaman tema Organik untuk 2022

Elemen organik menghasilkan kesempurnaan bagi individu yang mengutamakan keharmonian dan alam sekitar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan elemen semula jadi dalam hiasan dalaman rumah sememangnya dapat memberi impak signifikan terhadap penghuni, terutama suasana ‘hangat’ dan tenang.

Selain kelihatan minimalis, ia juga lebih ‘stylish’ dengan sentuhan moden dan kontemporari.

Sempena dengan inisiatif penjenamaan semula, syarikat hiasan dalam rumah, The Makeover Guys (TMOG), menawarkan tema hiasan ‘Seriously Cereal’ yang diilhamkan oleh elemen-elemen semula jadi dan organik.

Menurut TMOG, tema berkenaan memberi penekanan terhadap warna-warna semula jadi dan mesra mengikut trend reka bentuk dalaman terkini.

Pengasas Bersama, Gavin Liew berkata, tema berkenaan menampilkan tona warna termasuk warna coklat seperti bijirin, warna beige seperti rumput pampas dan warna-warna semula jadi yang lain.

Pada masa yang sama, TMOG turut menggabungkan perabot organik dengan bentuk yang unik untuk penampilan lebih menarik.

“Melalui ini kami ingin mempromosikan gaya hidup yang lestari, yang juga merupakan inspirasi disebalik reka bentuk tema ‘Seriously Cereal’.

“Ia sesuai dipadankan dengan pelbagai jenis kediaman. Tema-tema yang kami reka bentuk tidak terhad untuk sejenis kediaman yang tertentu, sebaliknya, ia direka untuk disesuaikan dengan gaya hidup pemilik rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, tema berkenaan juga menjadi pilihan masyarakat global yang lebih gemarkan pilihan warna yang lebih inklusif dan futuristik.

Rekaan berkenaan turut memberikan efek santai dan selesa dengan penggunaan warna-warna tenang untuk dinding dan juga keseluruhan perabot serta aksesori.

Elemen-elemen organik itu memberikan hiasan sempurna bagi individu yang mengutamakan keharmonian dan alam sekitar.

“Langkah seterusnya bagi kami adalah memberi tumpuan kepada mencipta tema baharu yang natural, berfokuskan kedamaian dan mesra alam.

“Pengguna kini semakin mendekati alam semula jadi dan perubahan gaya hidup ini akan mem­buat­kan mereka memilih ruang kediaman
tenang dan santai yang meraikan kehidupan yang lebih ringkas,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN