Datin Dr. Leez Hassan merupakan seorang tenaga pengajar, professional coach, serta mentor yang dikenali. Misi personaliti yang nama sebenarnya Datin Dr. Hasnorliza Abu Hassan ini adalah untuk membantu wanita mencapai kehidupan yang lebih seimbang di mana wanita ini perlu tahu apakah yang penting dan utama di dalam kehidupan mereka pada masa ini.
Pengasas ADLA Group Sdn. Bhd. dan Pengasas Women Mentoring Network ini menemui kerjaya impian itu kala berada di alam persekolahan lagi.
“Saya suka membantu orang lain untuk meningkatkan kualiti dari pelbagai segi.
“Coaching dan mentoring saya pelajari daripada pensyarah saya, Prof. Dr. John Merchant,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerjayanya berkembang. Selain bergiat sebagai tenaga pengajar, dia juga mendalami bidang berkenaan dengan menghadiri pelbagai kursus.
“Saya tidak pernah berhenti mencari ilmu dengan mengambil peluang untuk mengikuti kursus sebagai certified coach di bawah MIM (Malaysian Institute of Management) dan juga certified train the trainer di bawah PSMB (Pembangunan Sumber Manusia Berhad).
“Apabila pandemik melanda, saya mengambil keputusan untuk meneruskan karier sebagai trainer secara serius.
“Saya mengambil tujuh pensijilan antaranya Virtual Learn Caster, Professional Learning Facilitator, Certified Virtual Learning Facilitator, Color Brained Certified Trainer, Emotional Drive Certified Trainer, NLP Practitioner, dan SOIF Certified Coach.
“Saya belajar untuk saya menaik taraf diri dan tambah baik ilmu saya. Semua saya jayakan hanya dalam tempoh dua tahun,” katanya.
Gemarkan budaya dan kitaran yang suka tingkatkan ilmu, Dr. Leez berkata, dia turut menggalakkan pelajar dan menteenya tingkatkan ilmu masing-masing.
“Sebagai trainer, coach dan mentor, we need to walk the talk. Bila kita menggalakkan orang lain untuk belajar, kita pun kena belajar sama,” katanya.
Mentor dan Mentee
Kesungguhan Dr. Leez membantu wanita memberi fokus terhadap peningkatan skil keseimbangan hidup mendorong beliau mengasaskan International Work Life Balance Forum (IWLBF) pada 2017.
“Pada masa ini semuanya berlangsung secara virtual. Di sini, penceramah khas dijemput untuk membicarakan tentang topik-topik dan isu yang menjadi cabaran untuk wanita mencapai keseimbangan hidup.
“Saya juga sedang rancak adakan program mentor dan mentee iaitu Mentoring Development Program. Cara ini lebih berstruktur supaya bantuan daripada seorang wanita kepada wanita lain itu lebih efektif dan hasilnya memberangsangkan seperti yang diinginkan kedua-dua pihak.
“Kriteria seorang mentor bukan semata-mata seorang yang berjaya, asalkan dia itu berpengalaman dan ada kepakaran serta sudah merasa asam garam dalam industri tertentu, dia boleh menjadi mentor kepada mentee yang juga mula ingin bergiat dalam industri tersebut,” katanya yang turut mengingatkan individu bergelar mentee, untuk mengkaji langkah yang betul dan tidak daripada pengalaman mentor mereka.
“Ini kerana setiap kesalahan yang dilakukan ia akan mengambil masa untuk memperbaiki kerosakan tersebut dan bangkit semula. Jadi, tugas mentor adalah untuk pastikan mentee kami tidak mengulang kesalahan tersebut.
“Tetapi jika mereka melakukan kesalahan ini, kami (mentor) akan berada di samping mereka untuk bantu memberi motivasi dan inspirasi untuk mereka bangkit semula. Bak kata beberapa mentee saya, mentor ini macam Guardian Angel,” katanya.
Bagi dirinya, kepuasan diri lahir apabila melihat mentee itu berjaya. Dalam proses ini, bukan mentee sahaja akan mendapat faedah. Mentor pun dapat faedah.
Wanita bijak atur masa
Apabila diminta memberi komen mengenai graduan di institut pengajian tinggi yang 70 peratus adalah wanita namun hanya 30 peratus sahaja menyertai sektor pekerjaan, Dr. Leez berkata, ia berpunca daripada tanggungjawab yang perlu dipikul wanita dalam institusi keluarga.
“Ini berbalik kepada permasalahan di rumah yang mana mereka yang berkahwin dan berkeluarga terpaksa mengambil keputusan berada di rumah. Kemudahan tempat kerja tidak menarik seperti kurang fleksibiliti dalam masa bekerja dan tempat bekerja, terutamanya kemudahan penjagaan kanak-kanak di pejabat yang sesuai,” katanya.
Dalam hal itu, katanya, seluruh masyarakat perlu berubah termasuk menerima peranan wanita sebagai pekerja pada masa sama memenuhi keperluan diingini seperti masa anjal dan tempat menyusukan bayi.
“Jadi, saya ingin memberi sokongan dengan menyediakan segala program untuk menyiap-sediakan mereka sebagai leader dalam sektor pekerjaan supaya mereka dapat seimbangkan hidup berkerjaya dengan keluarga,” katanya.
Wanita perlu isi jawatan tertinggi
Sehingga Oktober 2021 lalu hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Lembaga Pengarah wanita.
Kenapakah peratusan ini masih rendah dan apakah yang perlu dilakukan dalam memastikan peratusan ini tercapai?
Jelas Dr. Leez situasi ini berlaku kerana ada majikan yang masih menganggap pergerakan wanita terhad, komitmen keluarga dan lain-lain yang menjejaskan prestasi kerja pada masa akan datang.
“Wanita perlu diberi peluang untuk mengisi jawatan-jawatan tertinggi kerana wanita mempunyai potensi yang tiada batas, malah mampu bersaing secara sihat dengan lelaki.
“Persepsi majikan terhadap keupayaan dan kecekapan wanita perlu berubah, kerana wanita dianugerahkan kelebihan tersendiri. Contohnya memiliki semangat kuat untuk bekerja dalam masa sama melahirkan dan menguruskan keluarga. Skil ini sangat berguna untuk membentuk kakitangan syarikat supaya sama-sama dapat mencapai objektif dan misi syarikat.
“Apa yang majikan perlu lakukan adalah hanya memberi sokongan, hapuskan diskriminasi, beri peluang melihat sejauh mana pekerja wanita berkenaan boleh mengurus atau mentadbir syarikat,” katanya.
Kepimpinan bermula dari rumah
Kepimpinan bermula dari rumah. Dr Leez berkata, sama ada lelaki atau wanita, mereka perlu dididik untuk berdikari dan menjadi insan yang bertanggungjawab, belajar lakukan segalanya sendiri, daripada perkara asas dan ringkas seperti memasak sehinggalah mengemas dan membersih terlebih dahulu.
“Pada saya, tiada istilah tidak boleh dan tidak pandai lakukan sesuatu. Belajar perlahan-lahan. Lama-lama, akan pandai dan menjadi satu amalan.
“Pada masa sama, jangan malu mengakui kesilapan tetapi perbaiki semula kesilapan itu. Nilai kerjasama, hormat-menghormati dan bantu-membantu serta ketegasan dan empati juga harus mula ditanamkan dari rumah,” katanya.
Mengulas mengenai keperluan bekerja dari rumah berikutan pandemik, Dr. Leez berkata, dia sebetulnya amat seronok dapat bekerja dari rumah (WFH).
“Anak yang besar kena memasak. Kami sama-sama bergiliran buat kerja rumah. Siap ada jadual masakan jadi setiap hari kami ada ‘cef’ berbeza,” katanya berseloroh.
Jelas Dr. Leez masa terluang turut dimanfaat untuk mendidik anak yang lebih kecil untuk melakukan kerja rumah sendiri seperti membasuh baju dan mengemas rumah.
“Dulu ketika mereka kecil, saya ada pembantu rumah. Sekarang, saya dan suami galakkan anak-anak untuk berdikari,” katanya.
Masa terluang Dr. Leez turut manfaatkan untuk mengikuti kelas-kelas agama, ceramah agama, bertalaqqi dan bertahsin.









