Seorang doktor wanita baru-baru ini tular selepas mengambil tindakan membekukan telur kerana waktu ini dia sibuk bekerja. Doktor Safina Adatia yang tinggal di Montreal, Kanada, menerusi ciapannya berkata, dia tidak pasti sama ada mahukan anak atau sebaliknya kerana kerjayanya yang agak sibuk.
“Semua benda jadi lebih sukar selepas usia 35 tahun, jadi ini adalah polisi insurans saya untuk masa depan. Bagi makluman anda, ia memang amat menyakitkan,” kata wanita berusia 32 tahun itu berkongsi pengalaman. Proses pengambilan telur membabitkan ultrasound dan ujian darah. Dia perlu menunggu beberapa lama sebelum memulakan suntikan.
“Ubat-ubatan termasuk, menopur untuk rangsangan folikel selama tujuh hari dan pada hari ke empat, orgalutron untuk menghentikan ovulasi. Kemudian mereka buat satu lagi ultrasound untuk melihat jumlah telur dan saiznya.
“Sebaik sahaja mereka lihat bagaimana anda bertindak balas terhadap suntikan itu, mereka buat keputusan sama ada anda perlu lebih banyak hormon. Saya perlukan lebih satu hari, kemudian mereka buat satu lagi ultrasound. Mereka putuskan saya dah bersedia. Kemudian saya kena suntik Suprafact (saya rasa untuk cegah menstruasi) 36 jam sebelum pengumpulan,” katanya.
Tiada suntikan sehari sebelum pengumpulan dan hari itu, dia memilih menggunakan sedasi atau ubat bius yang ringan yang menjadi punca ia amat menyakitkan. Mereka menggunakan ultrasound dan guna jarum untuk sedut folikel.
“Saya amat bertuah kerana mereka berjaya mengambil 25 telur,” katanya ceria dalam ciapannya yang menerima ribuan komen.
Kata Safina buat masa sekarang, dia makan satu lagi ubat akhir untuk mencecah sindrom rangsangan hiper ovari selama lapan hari dan antibiotik untuk seminggu.
Mengulas mengenai pengalaman itu, katanya dia berasa kekejangan, loya dan tidak selera makan.
Kos mengambil telur kira-kira RM15,920.84. Bagaimanapun semua temujanji, ultrasound, ujian darah dilindungi insuran.
“Saya akan mula membayar kos penyimpanan yang dianggarkan RM1,675.87 setahun. Kebanyakan ubat dilindungi oleh pelan insuran saya sendiri. Keseluruhannya boleh tahan dan saya bersyukur menjadi rakyat Kanada, Quebec,” kongsinya.
Safina tidak menyangka pendedahannya itu menjadi tular. Sebaliknya perkongsian itu dilakukan bertujuan menghapuskan stigma berkaitan proses mengeluarkan telur dijalani itu.

SIMPAN SEKARANG, HAMIL NANTI
Siapa yang akan terfikir pasal anak terutama bila masih belum menemui pasangan serasi dan berumahtangga? Biasanya soal zuriat hanya dibincangkan bila sudah berumahtangga.
Namun, kalau berkahwin lambat lebih 30 tahun, soal anak boleh jadi kritikal kerana lazimnya tahap kesuburan wanita merosot sejajar peningkatan usia.
Ini diakui Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Nuguelis Razali.
Katanya, secara umumnya wanita kurang subur apabila berkahwin pada usia melebihi 30 tahun dan ke atas. Tahap kesuburan semakin merosot dan kebarangkalian untuk hamil agak sukar.
“Ini diburukkan lagi dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti dan gaya hidup kurang sihat seperti merokok serta rokok elektronik atau vape yang semakin meningkat dalam kalangan wanita dan lelaki. Lebih-lebih kalau gaya hidup itu sudah diamalkan sejak usia belasan tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain faktor pertambahan usia, kesihatan dan alam sekitar turut menjadi faktor yang mempengaruhi kemerosotan kesuburan wanita.
KAEDAH SELAMAT
Dr. Nuguelis berkata, kaedah membekukan telur antara jalan penyelamat untuk wanita mendapatkan zuriat apabila lambat bertemu jodoh atau membuat keputusan mendirikan rumah tangga pada usia yang lebih lanjut.
Malah katanya, kaedah itu amat berguna untuk wanita yang mengalami masalah kesihatan kronik yang boleh menjejaskan kesuburan mereka seperti pesakit barah.
“Setakat ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya, (PPUM), hanya ada dua orang wanita yang membekukan telur mereka iaitu membabitkan seorang pesakit barah yang menyimpan sejak tahun 2016 dan seorang lagi pada tahun 2021 kerana suami gagal hasilkan sperma,” katanya mengulas mengenai isu pembekuan telur dalam kalangan wanita.
Kos untuk membeku dan menyimpan telur adalah antara RM600 hingga RM800, bergantung kepada jumlah telur manakala RM500 setahun dikenakan untuk tahun-tahun berikutnya.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada insurans melindungi prosedur ini kecuali bagi proses merangsang ovari dan prosedur kutip telur yang dilindungi insurans sebanyak RM9,000.
PROSES PEMBEKUAN TELUR, OVARI DAN EMBRIO
Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HTCM), menawarkan khidmat simpan dan bekukan telur, terhad kepada pesakit kanser yang belum berkahwin.
Ketua Pusat Reproduktif Termaju HTCM, Prof. Madya Dr. Abdul Kadir Abdul Karim berkata, sekiranya sudah berkahwin, embrio dibekukan iaitu hasil percantuman telur dan sperma pasangan suami isteri.
Katanya, ia berikutan embrio adalah lebih stabil.
“Jika pesakit terlampau muda atau tidak cukup masa untuk proses stimulasi ovari, pembekuan ovari akan dilakukan.
“Setakat ini hanya 10 kes telah dilakukan. Kadangkala ada juga kes di mana pada hari pengutipan telur, suami tidak dapat hadir atau tidak dapat menghasilkan sperma dan pembekuan telur terpaksa dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Dr. Abdul Kadir, pembekuan telur untuk wanita yang belum berkahwin atas alasan lain daripada kesihatan, tidak dilakukan di hospital berkenaan.
Hanya pesakit kanser yang menerima rawatan yang boleh menjejaskan telur saja boleh membekukan telur mereka.
“Alasan lanjut usia tapi belum berkahwin atau alasan sosial lain tidak digunapakai. Ia berdasarkan fatwa yang tidak membenarkan wanita bujang membekukan telur supaya boleh mengandung pada masa depan,” katanya tegas.
Anggaran kos dikenakan untuk pembekuan telur RM1,750, pembekuan embrio RM1,750 dan pembekuan ovari RM8,500 untuk dua tahun pertama.
Dua tahun seterusnya, bayaran dikenakan sebanyak RM500 untuk kos penyelenggaraan.
Ia boleh disimpan melebihi 10 tahun, namun untuk embrio, peratus kejayaan berkurangan jika pembekuan melebihi lima tahun.
“Begitupun, peratusan mendapat anak bergantung pada usia telur yang dibekukan. Namun begitu secara amnya peluang menimang cahaya mata adalah sekitar 30 sehingga 35 peratus,” katanya.










