KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan bekerjasama atau menyertai mana-mana gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sekalipun terdapat pelawaan daripada pimpinan tertinggi PH supaya semua parti pembangkang berada di bawah satu ‘khemah besar’ bagi menumpaskan BN, Pejuang bertekad membawa haluan sendiri sehinggalah menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, kewajaran menolak tawaran PH kerana gabungan itu seolah-olah menjadi sebahagian daripada kerajaan sejak memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi transformasi dan kestabilan politik pada 13 September 2021.
“Sudah tiada lagi pembangkang berfikiran rasional kerana PH adalah ‘sebahagian’ daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Jadi sebenarnya, pertembungan Pejuang dalam pilihan raya melawan satu kumpulan sahaja (PH, BN dan PN).
“Mengenai tawaran PH pula, Pejuang belum lagi didekati sesiapa untuk berbincang bekerjasama, kalau ada pun baik simpan sahaja niat itu kerana kami tidak akan mempertimbangkannya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ditanya jika Pejuang terpaksa berlawan dengan Parti Warisan Sabah (Sabah) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), walhal, kedua-dua parti itu dilihat sealiran, Marzuki masih terbuka untuk berunding.
“Asalkan ada parti politik mempunyai matlamat dan hala tuju sama dengan Pejuang, kami terbuka berbincang dengan kumpulan-kumpulan ini,” katanya.
Beliau mengulas pelawaan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin lalu yang mahu semua parti pembangkang termasuk Pejuang, Warisan dan Muda bekerjasama menghadapi pilihan raya negeri Johor.
Presiden PKR itu percaya, jika terdapat sedikit ‘retak’ dalam kalangan pembangkang, tidak akan membantu menumbangkan kerajaan. Justeru, satu suara, strategi dan tindakan diperlukan bagi mengalahkan kerajaan Johor yang disandang BN.
Pelawaan Anwar antara lain dilihat masih dingin untuk membentuk pakatan pembangkang yang besar kerana masih terdapat parti-parti pembangkang tidak memberikan maklum balas mengenai perkara tersebut, termasuk Warisan dan Muda.
Sementara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal masih berteka-teki mengenai penyertaan parti bertanding dan pelawaan Anwar manakala Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengunci mulut.
Bagaimanapun, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman pula membayangkan bahawa Warisan mahu bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri nanti.
Mohd. Azis menegaskan, pandangannya hanya bersifat peribadi dan tidak menggambarkan keputusan parti secara keseluruhan selain menyerahkan kepada presidennya memberi keputusan mengikut kebijaksanaannya.
“Johor adalah ‘tanah baik’ untuk beritahu semua rakyat, kamilah pilihan pengundi, tetapi, pilihan raya Johor sukar dijangka sebab itu kami masih menilai situasinya. Sebab apa, PH sudah hilang arah dan BN pula masih mencetuskan pelbagai masalah dalam negara.
“Sekarang, ramai marah dengan ahli politik. PRN Johor sepatutnya berlaku serentak dengan PRU15, sekarang, kestabilan apa lagi yang kita patut bincang sehingga PH sanggup tandatangan MoU? Sebab itu rakyat keliru,” katanya.
Sementara itu, sumber Warisan berkata, parti itu mungkin setakat membantu rakan kongsinya, Muda, bertanding di Johor dalam aspek jentera parti serta pelaksanaan kempen pilihan raya.
Jika Warisan mahu bertanding, kata sumber, parti itu akan meletakkan calon di bawah tiket Muda dan tidak sampai ke tahap menggunakan logo parti Warisan.
“Kami akan berikan peluang kepada Muda bertanding di sana. Sebab, mengikut cara presiden Warisan, beliau lebih suka sekiranya pilihan raya negeri diadakan serentak dengan PRU15 kerana jika dibuat berasingan hanya membazir wang,” katanya.










