RAUB: Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Pamah Rawas di sini mempunyai pengalaman yang unik kerana wang kertas RM1 dan RM10 dalam laci kedainya ditemukan masih elok selepas banjir surut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik kedai itu, Nur Amin Nor Azahar, 31, berkata, yang menjadi tanda tanya dan membingungkannya, wang kertas RM50, RM20 dan RM5 kesemuanya koyak dan rosak, malah hanyut dalam banjir.
Menurutnya, dia terlupa memindahkan wang berjumlah kira-kira RM700 hasil pendapatan perniagaan kedai runcitnya dua minggu lalu sebelum banjir melanda kampung itu pada 18 Disember lalu.
“Air Sungai Dong melimpah begitu cepat, jadi saya dan sukarelawan di sini segera bertindak membantu penduduk yang kebanyakannya warga emas berpindah ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di kampung ini.
“Apabila air surut dan mahu membersihkan kedai, saya terkejut apabila melihat wang kertas nilai tersebut (RM1 dan RM10) masih elok bersama duit syiling yang disimpan dalam kotak di laci kedai,” katanya di sini semalam.
Nur Amin yang juga Pengerusi Belia Kampung Pamah Rawas selanjutnya bercerita, perniagaan kedai diuruskan bersama ibunya, Khairiah Mohd. Amin, 70, langsung tidak diendahkannya kerana sibuk menyelamatkan mangsa banjir.
“Ibu saya berpesan sebelum dia berpindah ke PPS supaya memindahkan wang dalam laci kedai, tetapi dalam kesibukan ini saya terlupa,” katanya.
Ekoran banjir, Nur Amin berkata, banyak barangan dalam kedainya rosak dan dipenuhi lumpur.
“Saya reda dengan ujian Allah SWT serta kini sedang mencongak untuk mencari modal berniaga semula selepas kedai ini selesai dibersihkan,” jelasnya. – UTUSAN










