ISU tenaga kerja pasca pandemik Covid-19 di negara ini menunjukkan tahap membimbangkan apabila menyaksikan penurunan khususnya warga asing sebelum dan selepas virus itu melanda dunia. Malah kekurangan ini dilihat meruncing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kini terdapat hanya 900,000 pekerja asing berbanding dua juta orang ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.
Paling ketara sektor perladangan mengalami masalah kritikal ketika ini apabila Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sejak awal tahun lalu, seramai 1.7 juta pekerja asing direkodkan bekerja di negara ini dalam pelbagai sektor. Bagaimanapun, katanya, angka itu menurun kepada 1.2 juta selepas ramai yang pulang ke negara asal susulan penularan wabak Covid-19, ditambah pembekuan pengambilan pekerja oleh kerajaan.
Perkembangan itu telah menjejaskan sektor pengeluaran dan perkhidmatan, sekali gus meninggalkan kesan kepada perkembangan ekonomi tanah air dan Malaysia ketinggalan berbanding negara jiran. Secara umumnya, bon ringgit ketinggalan berbanding nota rupiah berikutan prospek fiskal Malaysia merosot, manakala ketidakpastian politik menambahkan lagi risiko.
Di samping itu, penanda aras hutang 10 tahun Malaysia mencatatkan prestasi rendah berbanding sekuriti Indonesia dengan hasil tambahan menyusut kepada 305 mata asas menghampiri paras terendah dalam tiga tahun.
PUNCA
Berbalik soal tenaga kerja, pelbagai faktor menjadi punca perkara itu berlaku. Antaranya kerenah birokrasi dan kelemahan sistem pengambilan pekerja asing dilihat terlalu menyusahkan kemasukan mereka ke negara ini.
Menurut Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi, masalah sistem MyTravel menyebabkan ramai warga asing yang pulang ke tanah air masing-masing ketika PKP tidak dapat pulang ke negara ini untuk bekerja. Katanya, perkara itu sekali gus menyebabkan jumlah tenaga kerja merudum kepada 900,000 berbanding dua juta ketika pandemik Covid-19 berlaku dan secara langsung menjejaskan produktiviti pengeluaran sektor kritikal seperti perkilangan, perladangan dan pertanian dan perkhidmatan.
Justeru, sekiranya masalah sistem itu gagal diatasi segera boleh menyebabkan pendapatan merosot apabila sektor-sektor terkesan gagal memberikan hasil pendapatan kepada kerajaan. Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya lebih sejuta pekerja untuk menampung jumlah tenaga kerja dan sebaliknya, masalah penyampaian perkhidmatan dan pembekalan yang berlaku kini tidak akan selesai sehingga bila-bila.
Oleh demikian, kerajaan perlu memperbaiki semula sistem pengambilan pekerja asing dan mempermudahkan aliran kemasukannya apabila ketika ini sistem itu masih di tahap lama, sekali gus mengambil tempoh terlalu panjang untuk membawa masuk mereka.
PENDATANG ASING TANPA IZIN (PATI)
Bagi penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Hamid, PATI tidak akan masuk ke negara ini sekiranya tiada tekong dan orang tengah terlibat membawa mereka melalui lorong tikus sama ada jalan darat atau laut.
Katanya, di samping itu terdapat majikan terdesak dan amat memerlukan segera tenaga kerja untuk menampung produktiviti perniagaan dan menyebabkan mereka menggunakan laluan ‘belakang’ mendapatkan pekerja asing.
“Kekurangan pekerja asing memang tidak boleh dielakkan dan mereka amat diperlukan untuk jumlah tenaga kerja di pelbagai sektor. Namun, akibat proses membawa masuk terlalu sukar menyebabkan ada pihak tertentu mengambil mudah mengambil PATI.
“Perkara itu secara langsung ada kes warga asing masuk secara haram. Selagi ada kekangan proses permohonan warga asing, selagi itulah ada ruang kepada pembolosan PATI,” katanya.
STATISTIK
Perladangan merupakan antara sektor terkesan apabila menyaksikan penurunan daripada 1.7 juta orang tenaga kerja kepada 1.2 juta. Walaupun perladangan memperoleh permintaan tinggi, pada hakikatnya kekurangan tenaga kerja menyebabkan produktiviti berkurangan.
Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menjelaskan kekurangan pekerja ladang ketika ini sangat kritikal sehingga menyebabkan aktiviti penuaian tertangguh dan mengurangkan kualiti tandan buah segar. Pengeluaran minyak sawit mentah dalam tempoh 11 bulan 2021 menyusut sebanyak 6.4 peratus kepada 16.7 juta tan, sementara secara keseluruhan, hasil buah tandan segar adalah sebanyak 14.2 tan sehektar, yang mana masih di bawah sejarah purata hasil lima tahun sebanyak 15.6 tan sehektar.
Selain itu, sektor pembantu sama terkesan apabila daripada 300,000, jumlah itu turun ke angka tidak sampai 90,000 orang selepas pandemik Covid-19 melanda.
Menurut Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia (PUSMA), lebih 10,000 keluarga di seluruh negara didakwa berada dalam keadaan tertekan kerana terpaksa menguruskan kehidupan harian tanpa kehadiran pembantu rumah.
Hal ini kerana banyak permohonan diterima untuk mendapatkan pembantu rumah warga asing namun tidak dapat dipenuhi kerana ramai sudah pulang ke negara asal, kata persatuan pembekal.
Kepada Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) pula, ia menyebabkan banyak keluarga di negara ini tertekan kerana tiada bantuan di rumah.
Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) pula menjelaskan, kekurangan pembantu rumah menimbulkan pelbagai masalah lain, antaranya pengambilan PATI sebagai amah.
Majikan kini berada dalam keadaan terdesak dan menggaji sesiapa sahaja yang mahu bekerja termasuklah yang masuk ke negara secara haram. Perbuatan itu salah tetapi dalam situasi sekarang, majikan terpaksa mengambil jalan itu.
Risiko sosial pastinya akan muncul terutama sekali membabitkan majikan itu sendiri kerana PATI yang mereka ambil tidak mempunyai latar belakang yang jelas dan banyak kemungkinan untuk mereka ditipu dan pembantu itu lari.
KESIMPULAN
Kerenah birokrasi dan kelemahan sistem pengambilan pekerja asing merupakan faktor utama PATI bolos ke negara ini untuk mencari peluang pekerjaan bagi mendapatkan rezeki.
Sekiranya masalah sistem itu gagal diatasi boleh menyebabkan pendapatan merosot apabila sektor-sektor terkesan gagal memberikan hasil pendapatan kepada kerajaan. Apatah lagi negara memerlukan sekurang-kurangnya sejuta pekerja untuk menampung jumlah tenaga kerja sekaligus menyeimbangkan antara tuntutan ekonomi dan kesihatan.









