Melihatkan kepada perwatakannya yang ceria, bertenaga dan berfikiran positif, tiada siapa menduga wanita ini pernah menghidap kanser paru-paru tahap empat. Malah sehingga kini, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini masih perlu menjalani rawatan kemoterapi selepas disahkan kanser dua tahun lalu. Nurshuhada Zainal, 39, sewaktu bertemu Utusan Malaysia, baru-baru ini memberitahu pengalaman sakit mengajarnya untuk lebih menghargai kehidupan.
Pengalaman hidupnya melawan kanser membuatkannya lebih menghargai kehidupan.
Ia turut mendorong dirinya untuk berbakti kepada masyarakat dengan membantu pesakit kanser paru-paru meneruskan kehidupan.
Bercerita kepada Utusan Malaysia, Nurshuhada yang juga Pengasas Syuhada By QrafProject (Qraft) mengumpul dana membantu pesakit melalui penjualan tudung yang dihasilkannya sendiri.
“Saya terpanggil untuk menjalankan projek Qraft iaitu sebuah kempen yang tidak berteraskan keuntungan bagi memberi sokongan kepada pesakit kanser khususnya wanita yang semakin meningkat bilangannya.
“Melalui projek ini, saya menjual tudung dengan corak rekaan saya dalam talian. Keuntungan yang saya perolehi disalurkan kepada pesakit-pesakit kanser yang memerlukan bantuan kewangan,” katanya.
Katanya ramai dalam kalangan pesakit kanser paru-baru yang berdepan masalah kewangan. Situasi berkenaan menyebabkan ada antara mereka tidak meneruskan rawatan perubatan kerana kekangan kewangan.
“Walaupun rawatan di hospital kerajaan rendah, tetapi menguruskan hal ehwal keluarga juga antara perkara yang selalu mereka fikirkan lebih penting daripada rawatan sendiri,” katanya.
Selain membantu pesakit kanser, Nurshuhada juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi (Srikandi).
Membuka tirai 2022, Nurshuhada kini dalam misi mengumpul RM10,000 untuk membantu seorang ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Azira.
Ibu kepada dua anak ini disahkan menghidap kanser payu dara tahap tiga yang kini berhadapan dengan situasi kritikal kerana sel kanser telah merebak ke bahagian otak.
“Srikandi ditubuhkan secara rasminya pada 19 Mac 2012. Di bawah pengendalian Pengasas dan Presiden, Datuk Norashikin Abdul Ghani, pelbagai kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan telah di atur dalam usaha memperkasakan lagi identiti Srikandi.
“Selain memperjuangkan isu wanita di bawah projek Qraft, kami turut menjalankan aktiviti membantu anak-anak yatim seperti bantuan peralatan ke sekolah,” katanya.
Masih mempunyai harapan
Menurut Nurshuhada, ramai pesakit beranggapan kanser adalah penamat kehidupan apatah lagi sekiranya sudah berada di tahap kritikal.
“Namun saya ingin membuktikan anggapan ini tidak tepat. Penghidap kanser masih mempunyai harapan meneruskan kehidupan bersama insan tersayang seandainya mereka mempunyai semangat dan menerima sokongan keluarga,” katanya.
Berkongsi pengalaman ketika disahkan menghidap kanser, Nurshuhada berkata, dia secara tiba-tiba mengalami demam dan batuk berpanjangan.
Pada peringkat awalnya, dia hanya menjalani pemeriksaan kesihatan biasa dan doktor memberinya antibiotik. Malangnya, batuk tersebut tidak sembuh sebaliknya berlanjutan dan kian teruk.
“Pada awalnya, doktor beranggapan batuk tersebut tanda gejala awal Covid-19. Namun, selepas ujian Covid-19 menunjukkan keputusan negatif, doktor melakukan pemeriksaan lanjut dan ujian mengesahkan ia adalah kanser,” katanya.
Nurshuhada memberitahu secara peribadi dia sendiri tidak tahu di mana puncanya dia mendapat kanser kerana bukan perokok. Namun dia akur perlu menerima takdir Illahi.
“Sebaik disahkan, saya terus mendapatkan rawatan daripada doktor pakar dan termasuklah menjalani kimoterapi,” katanya. Enggan mengingat pengalaman lepas, Nurshuhada bagaimanapun bersyukur, dengan izin Allah, dia berjaya melalui 13 kali rawatan kimoterapi.
“Alhamdulillah doktor mengatakan sel kanser saya semakin berkurangan walaupun masih ada di kedua-dua belah paru-paru,” katanya.
Mengulas mengenai pengalaman itu, katanya sejak awal lagi dia sudah menyiapkan mental untuk menjalani kimoterapi.
Malah berjanji pada diri sendiri untuk hanya bersedih untuk seminggu pertama.
“Saya kuatkan semangat dan tingkatkan kekuatan fizikal menerusi kawalan pemakanan, kawal emosi dan kawal pemikiran supaya sentiasa positif,” katanya.
Kanser turut mendidik dirinya untuk mengambi tahu mengenai kanser dan bagaimana kaedah mengawalnya.
Katanya, kanser boleh dikawal dengan memiliki kekuatan fikiran.
“Jangan terlalu memikirkan perkara yang telah berlaku dan risau kepada perkara yang belum berlaku. Terlalu memikir boleh mengganggu hormon badan kita untuk memperbaiki dan menghilangkan sel kanser yang telah wujud itu,” katanya.
Melalui proses ini Nurshuhada set mindanya untuk progress does matter.
Walaupun pengurangan sel kanser itu sedikit demi sedikit, tetapi ia adalah lebih baik daripada tidak berkurangan langsung.
“Sememangnya proses ini memakan masa yang sangat lama tetapi saya terima hakikat dan takdir bahawa saya akan hidup sebagai pejuang kanser,” katanya.
“Jangan sesekali menyalahkan sesiapa kerana diri kita sendiri yang sebenarnya bertanggungjawab menjaganya bukan orang lain.
“Kedua, kita haruslah sentiasa berfikiran positif. Elakkan terlalu bersedih dan overthinking kerana ia akan menyebabkan kita stres kepada perkara yang tidak perlu kerana ia boleh mengganggu sistem organ dalaman, juga hormon kita akan berubah kepada sesuatu yang tidak baik,” katanya.










