Kerjaya rapatkan dua beradik berlainan agama - Utusan Malaysia

Kerjaya rapatkan dua beradik berlainan agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Islam adalah agama yang harmoni, malah sentiasa terbuka untuk menerima saudara baru. Kita sering mendengar saudara berlainan agama, memeluk agama Islam. Namun berita mengenai adik beradik berlainan agama yang bekerja dalam bidang pembahagian harta pusaka Islam agak jarang.

Itulah keunikan dua beradik, Elaine Aisyah Abdullah, 45, dan Ong Siew Feng, 41.

Berlainan agama tetapi mereka disatukan dalam kerjaya sama iaitu sebagai ejen hibbah di agensi yang sama juga iaitu ERA Advisory.

Sebagai ejen hibah, mereka berperanan dalam memberi perkhidmatan rancang pusaka bagi Muslim dan juga bukan Muslim.

ADIK BAWA MASUK HIBAH
Meskipun sudah lebih dua dekad memeluk Islam, Elaine berkata, adiknya Ong yang mula-mula memperkenalkan dirinya dengan dunia pengurusan harta pusaka dan hibah iaitu sekitar 2017.

Katanya kali pertama menyertai ceramah berhubung harta pusaka, dia amat terharu kerana adiknya bukan Islam tunggal yang berada di dalam dewan mendengar penerangan berhubung hibah.

“Adik sangat tekun mendengar segala ilmu yang dikongsikan pada waktu itu. Kesungguhan dia memang menakjubkan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Ong atau lebih mesra dipanggil Jocelyn, mendalami pengurusan harta itu sejak tahun 2007. Kini Ong lebih mahir dan mengetahui mengenai ilmu faraid, baitulmal dan pembahagian harta pusaka berbanding Elaine.

“Saya dapat rasakan adik saya amat mendalami isu pembahagian harta pusaka ini. Malah dia sering meluah rasa mengenai sikap segelintir umat Islam yang kurang peka terhadap hal ini sedangkan isu itu amat rapat dengan diri mereka,” katanya.

Yang lebih terharu di hati Elaine ialah sebelum ini, adiknya pernah mempertikaikan keputusannya memeluk Islam.

Bagaimanapun dia kini bersama-sama belajar dan menerima sepenuhnya penghijrahan Elaine sebagai muslim.

KEADILAN, PIKAT ONG
“Cara pembahagian harta Islam yang adil, menarik minat saya mendalami ilmu pembahagian harta. Saya tertarik dengan kaedah di mana setiap ahli keluarga si mati ada bahagian masing-masing yang telah ditetapkan oleh agama,” kongsi Ong saat ditanya mengenai keterujaannya terhadap isu berkaitan undang-undang keluarga Islam itu, sungguhpun dia penganut Buddha.

Bagi Ong, nasib setiap waris, tanpa mengira agama harus terbela biarpun sudah meninggal dunia, sebab itu dia amat tertarik dengan undang-undang Islam.

“Perbezaan agama tidak menjadi halangan untuk berlaku adil. Asalkan mahu memahami antara satu sama lain ia sudah memadai. Sama seperti situasi saya dengan kakak saya. Buktinya, saya dan kakak boleh bekerja sama dengan baik,” tambahnya tersenyum.

Disoal mengenai samada dirinya bercadang menjejaki kakaknya memeluk Islam, Ong menjelaskan, buat masa ini dia selesa dengan agama yang dianuti sekarang.
“Buat masa ini saya tidak terfikir lagi untuk bertukar agama, dan sudah selesa dengan agama yang dianuti sekarang,” katanya.

SINAR BAHARU
Elaine ibu kepada tiga orang anak mendirikan rumahtangga bersama suami. Azuree Haiddar Jeffrizal pada 2004. Dia melafaz kalimah dua shahadah pada 1998.

Dia memeluk agama Islam selepas hampir dua tahun mengikut kursus agama Islam di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Selaku anak sulung daripada empat beradik, Elaine adalah harapan keluarga dalam dan diamanahkan oleh ibu bapa untuk memikul tanggungjawab menjaga keluarga. Namun setelah beragama Islam, tanggungjawab menjaga keluarga digalas oleh Ong.

Anak kelahiran Johor ini memberitahu pada peringkat awal, ibunya kurang senang dengan keputusannya menukar agama.

“Ibu tidak suka sebab banyak tanggapan salah terhadap Islam. Antaranya dia takut saya tidak dapat mewarisi harta keluarga, tidak boleh turut serta menyemadikan dia pada hari kematiannya. Malah ibu dan ayah turut risau jika suami saya nanti akan berpoligami. Dia kata poligami akan menghancurkan kehidupan saya.

“Malah ibu fikir sekiranya berlaku konflik dalam rumahtangga saya, mereka tidak dapat masuk campur. Sedangkan itu semua adalah tidak benar,” katanya.

Kerisauan ibu kerana sayang
Elaine berkata, sungguhpun ibunya marah dan kecewa dengan keputusannya memeluk Islam, tetapi dia tidak menghalau dirinya keluar dari rumah.

“Sebaliknya ibu yang mengambil keputusan keluar dari rumah dan tidak tinggal serumah dengan saya. Semua itu dilakukan bagi memastikan keadaan tidak bertambah ‘panas’,” katanya mengimbau kenangan bersama mendiang ibunya, Jenny Lee, yang meninggal dunia pada 2004 akibat kanser.

Kata Elaine, pada awal dia memakai hijab, keluarga dan Ong juga malu mendekatkan diri dengannya di khalayak kawan-kawan kerana takut ditanya akan perubahan dirinya. Hanya selepas tiga tahun, barulah keluarga menerima sepenuhnya penghijrahan Elaine.

“Kini segala-gala kembali normal. Saya berharap Tahun Baharu Cina ini memberikan lebih kebahagian kepada kami sekeluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN