Kemaruk jadi jutawan - Utusan Malaysia

Kemaruk jadi jutawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA mempunyai banyak tokoh perniagaan bertaraf bilionair. Pencapaian mereka boleh dijadikan teladan untuk mencapai kejayaan khususnya dalam bidang perniagaan. Banyak dalam kalangan bilionair ini bermula dari bawah dan mendaki liku kejayaan dalam masa yang panjang.

Lihat sahaja bagaimana langkah mula Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang kini dalam sepuluh bilionair negara ini. Perjalanan beliau sebagai ahli perniagaan sangat panjang dan penuh liku. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan, kini Syed Mokhtar mempunyai empayar merangkumi pelbagai sektor.

Maknanya ada dua cara yang boleh dipilih untuk berjaya dalam perniagaan. Pertama, mendapat pendidikan formal dalam bidang perniagaan di universiti sama ada dalam atau luar negara. Kedua, memulakan perniagaan walaupun berskala kecil. Itulah universiti paling barharga menunjukkan jalan cemerlang seterusnya.

Malah ini jugalah yang dilalui oleh sebahagian besar bilonair dunia. Perniagaan itu praktis bukan teori yang dikutip daripada pihak tertentu yang mendakwa pakar. Tidak ada perniagaan menjanjikan kejayaan dalam masa singkat kecuali terselit suatu yang tidak betul sama ada di sudut moral atau undang-undang.

Tentulah ada yang tertanya-tanya dengan kemunculan beberapa individu yang mendakwa sebagai mentor dalam perniagaan. Malah telah melahirkan beratus jutawan hasil perniagaan. Padahal mentor sendiri pun hanya ‘berniaga’ di atas kemaruk sesetengan individu untuk cepat kaya.

Wujudnya individu begini merupakan ekosistem pada kelas perniagaan atau business coaching dengan yuran yang mahalnya agak luar biasa. Di situlah bercambahnya mentor yang seolah-olah mampu menzahirkan impian individu menjadi jutawan. Pelaburan berupa yuran yang beribu-ribu ringgit nilainya.

Fenomena mentor ini memperlihatkan sudah banyak dalam kalangan kita memburu kebendaan dalam hidup. Mereka mengimpikan kekayaan bukan sebuah kehidupan yang dalamnya ada kebahagiaan, kesejahteraan dan kesederhanaan. Sebaliknya bagi mereka kehidupan adalah kereta mewah, kediaman mewah atau ulang alik pergi umrah seperti balik kampung.

Sebab itulah ada mentor memperagakan kemewahan kebendaan untuk memancing kekaguman masyarakat. Pertama sekali menayangkan kereta mewah, kemudian kediaman mewah dan seterusnya bercuti mewah di luar negara. Semua ini adalah definisi kekayaan yang ditanam kepada masyarakat.

 

EPISOD pertama bertajuk Get Rich Quick dalam dokumentari Money Explained terbitan Vox Media tahun 2021 yang disiarkan di Neflix mengenai skim yang menjanjikan kekayaan tetapi sebenarnya tidak lebih satu manipulasi terhadap sifat kemaruk sesetengah individu.

 

Tidak ada mentor yang menyeru hidup sederhana, cukuplah menggunakan kereta tempatan tetapi bahagia dan sejahtera. Ini kerana hidup sederhana dalam definisi business coaching bukan kejayaan. Sebaliknya kebendaan dan kemewahan menjadi teras dan boleh dilihat dengan mata kasar serta popular pula sifatnya.

Kewujudan program seperti business coaching ini salah satunya disebabkan oleh adanya golongan yang menjadi jutawan tanpa merentas laluan berliku. Mentor pula membuka peluang dengan menjanjikan mimpi boleh menjadi realiti. Tetapi semua itu bukan percuma, mesti membayar dengan jumlah yang besar.

Bagi yang hendak kaya apalah sangat dengan yuran beribu-ribu ringgit itu kalau dibandingkan dengan akhirnya menjadi jutawan. Boleh tersihir juga dibuatnya apabila hal itu disogok bertubi-tubi. Lagi pula melabur hanya beribu-ribu ringgit sedangkan pulangan berjuta-juta ringgit.

Sesetengah mentor menggunakan strategi pemasaran pelbagai peringkat (MLM) menayangkan segala benda mewah dimiliki. Masyarakat pun ternganga dan menunggu masa untuk dipancing duitnya. Semuanya menjadi tewas kalau rasukan kebendaan lebih menguasai pertimbangan.

Pada era manusia diukur dengan hal-hal kebendaan, masing-masing berlumba untuk menggapai kekayaan. Daripada kekayaan itu mereka boleh memiliki benda-benda yang menjadi lambang tanda aras sosial dalam masyarakat. Maka kewujudan mentor menjadi salah satu yang diyakini boleh menzahirkan impian itu.

Yuran permulaan selalunya diletakkan harga tinggi. Tetapi mentor sendiri memberikan potongan selalunya lebih 50 peratus. Bagaimanapun banyak yang tidak faham taktik ini malah lebih terpesona apabila melihat ‘potongan 50 peratus’. Ini membina tanggapan yuran itu murah dan peluang begitu tidak wajar dilepaskan begitu sahaja.

Tetapi hakikatnya yuran menyertai business coaching tidak sama dengan harga ayam di pasar borong. Yuran itu tidak ada harga siling – letaklah setinggi mana sekalipun tidak akan menyalahi undang-undang. Kemudian memberi potongan harga yang segila mana sekalipun, itu juga bukan kesalahan sebaliknya strategi.

Mentor boleh sahaja memberikan harga yuran sebenar iaitu sama dengan selepas potongan 50 peratus. Tetapi cara ini tidak menggemparkan. Maka dinaikkan 50 peratus kemudian dipotong 50 peratus. Tambahan pula orang kita sangat suka dengan diskaun atau potongan tanpa melihat nilai sebenar.

Rata-ratanya perkara utama yang mentor akan lakukan apabila di pentas ialah memperlekehkan peserta. Pertanyaan-pertanyaan diajukan membuatkan semua menikus dan malu kerana berasa sangat miskin atau papa kedana berbanding mentor yang dijaja kekayaannya.

“Sampai bila hendak hidup macam ini?” Ini soalan maut yang memancung kewarasan peserta. Maka semuanya mahu berubah menjadi jutawan. Oh boleh. Tetapi kenalah menyertai peringkat lebih tinggi. Yurannya juga tinggi.

Selelunya mentor menggunakan skrip diulang-ulang tentang asal usulnya yang miskin hingga sebuah dewan penuh dengan sedu sedan. Menangis sedih mengenangkan kesusahan hidup sang mentor. Sekarang mentor yang menjadi kaya raya dan itulah hendak dikongsikan dengan peserta. Dewan pun gemuruh dengan tepukan sekaligus rasukan.

Semua perkara begini dipaparkan dalam dokumentari Money Explained terbitan Vox Media tahun 2021. Dokumentari ini boleh disaksikan di Neflix dan episod pertama bertajuk Get Rich Quick mengenai skim yang menjanjikan kekayaan tetapi sebenarnya tidak lebih satu manipulasi terhadap sifat kemaruk sesetengah individu.

Paparan ini lebih kurang sama dengan yang berlaku di sekitar kehidupan kita – kewujudan mentor menganjurkan business coaching untuk menjadi jutawan. Sebaliknya memanipulasi sikap kebendaan yang bertapak dalam sanubari. Nilai masyarakat pun semakin berubah dan condong pada hal-hal kebendaan.

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN