Persepsi masyarakat yang beranggapan sepak takraw hanyalah untuk lelaki adalah tidak tepat sama sekali, kerana ia turut disertai oleh wanita.
Sepak takraw ada kelebihan dan kelembutan tersendiri, namun tidak ramai wanita mahu menceburi sukan ini.
Menelusuri pengalaman dua atlet jelitawan takraw Alice Harun dan Suhaida Jafri, masing-masing mempunyai cerita asam garam yang tidak diketahui ramai.
ATLET TAKRAW DAN PENGACARAAN
Alice Harun, 29, ialah bekas kapten bagi sepak takraw kebangsaan sebelum ‘menggantung kasut’ pada 2018 untuk memberi laluan kepada kerjaya baharu dalam hidupnya.
Menurut Alice dia tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang pengacaraan meskipun minat bercakap di depan orang ramai, sudah ada sejak di bangku sekolah lagi.
“Sebenarnya sebelum menjadi hos saya dapat panggilan untuk memasuki badan beruniform polis, namun di saat akhir terdapat sedikit masalah. Disebabkan itu, penyertaan saya dibatalkan. Jujur saya kecewa dan agak sedih, tetapi saya anggap ia bukan rezeki.
“Tidak lama lepas itu, saya mendapat tawaran untuk menjadi pengacara, tanpa pengalaman dalam bidang pengacaraan, saya mencuba nasib kerana peluang seperti ini bukan senang nak dapat.
“Malah ahli keluarga berasa gembira apabila mengetahui saya akan muncul di kaca televisyen sebagai pengulas sukan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Alice, pada awalnya ibunya tidak menyokong karier sebagai pemain takraw kerana beranggapan sukan ini lasak.
Namun, akhirnya mengalah dan membenarkannya selepas kemenangan demi kemenangan dibawa pulang ke kampung halaman.
Bercerita mengenai cabaran, Alice berkata cabaran utama dihadapinya sehingga kini adalah kekangan bahasa atau lebih spesifik loghat.
Anak jati kelahiran Sabah ini mengakui, loghat Sabahnya terlalu pekat sehingga risau penonton tidak faham apa yang dia sampaikan.
“Begitupun saya tidak malu berbahasa dalam loghat negeri. Mula-mula dulu memang bimbang penonton kurang faham,” jelasnya.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya setiap kali tersasul mana-mana perkataan dalam loghat Sabah, dia cepat-cepat akan terangkan semula sesuatu perkataan itu.
“Senior saya, Azlan Mubin banyak membantu sepanjang karier sebagai pengacara.
“Sokongan diberikan penerbit yang mengatakan tidak perlu malu dengan identiti kerana tidak ramai Sabahan menjadi pengacara TV, membuatkan saya bersemangat untuk tampil dengan lebih yakin,” kongsinya tersenyum.
Berkecimpungan dalam bidang pengacaraan lebih tiga tahun lalu, Alice berkata masih banyak yang perlu dia pelajari.
Untungnya, dia sentiasa mahu memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti pengacaraannya.
“Rutin harian saya sebelum ini terlalu padat kerana perlu membahagikan masa antara atlet dan juga pengacara.
“Tetapi selepas bersara, saya dapat menumpukan sepenuh perhatian pada karier baharu ini,” tambahnya.
SOKONGAN AHLI KELUARGA
Bagi Suhaida Jafri, 26, yang lebih mesra dipanggil Haida, sokongan ahli keluarga terutama ibu bapa memberikan peranan penting untuk seorang anak terus melangkah ke hadapan.
Dia gembira seluruh ahli keluarganya menyokong penuh kerjayanya sebagai pemain takraw.
Malah anak manja Jafri Abdullah ini berkata, semasa memutuskan untuk tidak melibatkan diri dalam kem kebangsaan pada 2019 demi menjaga permata tunggalnya, ia mendapat sedikit tentangan.
“Ayah kurang bersetuju dengan keputusan saya berehat dari takraw, memandangkan saya merupakan anak manja ayah. Lagipun ayah memang suka saya bergelar atlet.
“Mungkin dia risau sekiranya saya terus menyepi, namun ia hanya sementara, saya sudah sasarkan untuk kembali beraksi pada Sukan SEA di Vietnam tahun ini dan mahu membantu Malaysia meraih pencapaian lebih baik daripada sebelumnya,” kongsi tekong negara ini.
Begitupun, dalam tempoh berehat, Haida mengambil kesempatan membuka gerai Nasi Gulai Tekong bagi menyara keluarga. Setahun juga ibu muda ini berniaga tepi jalan sambil dibantu adik dan ibunya.
Pengalaman itu membolehkan Haida membuka premis makanan pula.
Mengulas mengenai pembabitan awalnya sebagai seorang atlet, Haida berkata dia mula menceburkan diri secara serius dalam sukan takraw selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada usianya 18 tahun.
“Waktu itu saya hanya ikut kawan menyertai pemilihan Sukan Malaysia (SUKMA). Tak sangka rezeki berpihak pada saya bukan sahabat, padahal awalnya saya hanya ikut kawan sahaja.
“Saya bersyukur dan rasa terhutang budi. Kalau bukan sebab dia, saya tidak akan berada dan sampai di tahap ini,” katanya.
BAHAGI MASA ANTARA ATLET DAN RUMAHTANGGA
Haida mengakui, sebagai seorang ibu, tidak mudah untuk dirinya menguruskan masa antara keluarga dan kerjaya.
Kongsinya dia perlu bangun awal dan tidur paling lambat. Itu tidak termasuk lagi perlu menguruskan perniagaan dan berlatih sebagai atlet. Pada masa sama menguruskan makan pakai anak dan suami.
Bukan senang untuk menguruskan kerjaya sebagai atlet, peniaga nasi gulai, isteri dan juga ibu.
“Namun, saya bersyukur kerana ibu sentiasa ada untuk menjaga anak. Adik saya juga ringan tulang membantu menguruskan perniagaan saya.
“Suami juga membantu dalam hal pengurusan rumah tangga, memandangkan kami berdua atlet takraw, jadi kami faham tugasan serta penat masing-masing,” kata suri hati kepada Ahmad Aizat Mohd NorAzmi, 28, yang juga pemain takraw kebangsaan.
TIDAK ADA YANG MUSTAHIL
Atlet jelitawan ini sempat berkongsi kata-kata semangat bagi wanita-wanita muda yang mahu mengikut jejak jaya mereka berdua.
Pesan Alice, hendak berjaya tidak mudah tetapi ia tidak mustahil, asalkan kita mahu belajar dan rajin berusaha.
“Jangan takut untuk mencuba perkara baru kerana konsep rezeki ini luas. Siapa tahu, mungkin keberanian untuk keluar dari zon selesa itu yang akan membantu individu melakar kejayaan,” katanya.
Bagi Suhaida pula, individu perlu kuat berdepan setiap cabaran mendatang termasuklah dugaan pandemik Covid-19.
“Kuatkan semangat, jangan berhenti separuh jalan. Sewaktu saya berniaga tepi jalan dulu, ada juga kata-kata mengata sebab saya atlet, tetapi saya tak ambil peduli.
“Usah hiraukan orang yang berkata negatif pasal kita. Yang penting, kita tahu apa yang kita lakukan dalm mencari rezeki halal,” katanya.










