Malu membeli pakaian dalam dan baju tidur secara terbuka, mendorong Dr. Umirah Taib, 30 menjual produk peribadi itu secara dalam talian di Le Maream Lingerie.
Perniagaan dibangunkan pada 2018 itu hingga kini menerima sambutan menggalakkan daripada wanita khususnya Muslimah yang mahu mencari buah tangan terbaik buat suami tercinta.
Katanya kepada Utusan Malaysia, dia menjadikan dirinya sebagai inspirasi membina jenama.
“Saya jadikan masalah sendiri sebagai inspirasi. Daripada masalah diri itulah datangnya idea untuk saya memberi penyelesaian kepada diri sendiri dan orang lain.
“Malah saya menganggap usaha ini sebagai fardhu kifayah di mana suami isteri terutama Muslim, boleh membuat pemilihan pakaian itu bersama-sama,” katanya.
Dr. Umirah memberitahu, sebelum menjalankan sesuatu perniagaan, dia mahu produk ditampilkan itu menjadi sesuatu yang orang mahu dan menyelesaikan masalah individu.
Bertitik tolak daripada itulah Dr. Umirah menjadikan dirinya sebagai rujukan masalah.
“Saya memang tidak akan membeli pakaian dalam sendiri di pusat beli-belah sebab malu.
“Pada awal perkahwinan dulupun, memang suami yang belikan. Kalau suami tidak beli, saya pun tidak terfikir nak pakai. Malah sebelum berkahwin juga ibu yang belikan,” katanya.
Jelas beliau, rupa-rupanya itu bukan masalahnya seorang. Sebaliknya ramai lagi wanita berdepan situasi sama.
Penyelidikan dilakukan Dr. Umirah, mendapati sebenarnya ramai wanita yang tergoda dengan pakaian dalam dan lingerie yang seksi kerana ia dapat meningkatkan kecantikan dan keyakinan diri, namun tidak berpeluang mencubanya.
“Ramai wanita bukan tidak mahu mencuba, tetapi tiada keyakinan, itulah masalahnya. Ada juga situasi suami dan isteri sama-sama malu nak beli. Sedangkan memakai pakaian peribadi yang cantik dan seksi itu dalam kamar tidur adalah antara cara mengeratkan hubungan,” katanya.
LINGERIE PATUH SYARIAH
Menjual pakaian dalam tanpa manusia memakainya merupakan cabaran yang perlu Dr. Umirah hadapi kerana tidak mahu berniaga dalam talian tanpa mengikut syarak.
“Selalunya pakaian dipakai oleh manusia iaitu model wanita. Pada mula jalankan bisnes ini, kami tiada patung untuk digunakan pengganti manusia kerana semua pakaian ini seksi. Modal pun tidak ada ketika itu. Banyak video tidak seperti orang lain. Pakai sahaja di manusia dah nampak cantik, tapi kita tak boleh buat seperti itu,” katanya.
Akui ibu anak lima ini, beliau pernah mendapat kritikan dan dipandang serong disebabkan tidak menggunakan manusia atau model. Pelanggan tidak percaya sehingga memaksa Dr. Umirah tampil memunculkan diri dan memperkenalkan jenamanya kerana ramai yang ingin tahu siapa di sebalik tadbir Le Maream Lingerie ini.
“Pada awalnya, orang tidak yakin kerana kita tidak tunjukkan model yang memakainya. Kritikan yang saya terima saya jadikan personal branding supaya mereka kenal saya dan juga jenama. Jadi, nak tak nak, saya perlu naikkan diri saya dan buat live untuk tarik pelanggan walaupun hanya dengan baju, tunjukkan kepada penonton dan dari situlah ada yang mula kenal,” katanya yang menjelaskan segala kerja dilakukan sendiri termasuk membalas pertanyaan pelanggan, sediakan bungkusan dan kira stok kerana tidak mampu menggaji pekerja.
Mengulas menangani cabaran jenama baju tidur dan lingerie lain yang menjual produk pada harga jauh lebih murah, Dr. Umirah optimis menjelaskan produk ditawarkan menggunakan material premium dan berkualiti, selain rekaannya adalah hasil ideanya sendiri.
Bermula dengan tujuh jenis ready made lingerie kini Le Maream mempunyai 80 jenis dengan 10 kategori baju tidur dan pakaian dalam wanita yang dipelbagaikan mengikut umur dan status sama ada bujang, pengantin baharu, wanita berkahwin dan ibu.
Jenama itu turut dikenali dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini. Malah Dr. Umirah berbangga apabila memberitahu pernah menyelesaikan masalah wanita yang berkahwin lebih 10 tahun tanpa pernah sekalipun bergaya dengan lingerie.
UBAH PERSEPSI CANTIK UNTUK SUAMI
Tanggapan pakaian tidur seksi dan cantik hanya untuk berhadapan suami ternyata salah. Jika dahulu mungkin benar namun bagi Dr. Umirah, persepsi itu harus ditukar kepada wanita berpakaian cantik meskipun di rumah adalah untuk diri sendiri.
“Tiada masalah untuk wanita berpakaian cantik di rumah. Kita berpakaian cantik sebenarnya untuk diri kita. Jangan buat sebab nak pakai untuk suami semata-mata. Kita berhak memilih pakaian yang cantik, memakai perhiasan dan wangian paling elok untuk diri sendiri di rumah. Semua ini bukan untuk suami tapi ia adalah pakej yang menunjukkan kita sayang diri.
“Bila kita dah biasa dengan konsep cantik untuk diri sendiri apabila sudah berkahwin ia tidak menjadi masalah. Apabila dengan suami, kita dapat pahala. Jadi, ia tidak jadi terpaksa. Kebanyakan wanita beranggapan pakai cantik di rumah ini selepas kahwin tetapi bagi saya ia perlu bermula sebelum kahwin,” katanya.
Selain bergelar usahawan, Dr. Umirah cukup dikenali sebagai seorang yang suka memberi tips keluarga bahagia dan perkahwinan di media sosial.
Pada mulanya beliau sekadar berkongsi cerita dan pandangan sahaja namun apabila mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya yang berjaya memperbaiki hubungan suami isteri, Dr. Umirah melangkah setapak lagi dengan menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang bimbingan dan kaunseling sebagai lesen bergelar pakar motivasi bertauliah.
TINGGAL KERJAYA DOKOR DEMI KELUARGA
Tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Sebelum tertubuhnya Le Maream Lingerie, Dr. Umirah terdahulu berkhidmat sebagai doktor perubatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor selama lebih dua tahun namun terpaksa melepaskan kerjaya tetap demi menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga.
Berkahwin awal sewaktu umur 19 tahun, bersama suami Shakib Samsudin, kata Dr. Umirah sewaktu dirinya masih berada di tahun pertama di universiti. Beliau melahirkan anak sulung kala usianya 22 tahun.
“Komitmen saya ketika itu tidak sama seperti orang lain. Jadi saya mengambil keputusan berhenti kerja,” katanya.
Mengulas mengenai kahwin muda, Dr. Umirah mengakui pada peringkat awal, dia menerima tentangan kerana keluarga bimbang akan masa depannya.
Namun Dr. Umirah dan suami sudah ada perancangan terbaik untuk membina keluarga.
Keyakinan suami itu menyakinkan kedua ibu bapanya.
“Suami adalah bekas guru sekolah saya. Dia melamar ketika saya baru nak sambung belajar. Pada masa itu, saya tidak bersedia tetapi dia sebaliknya. Jadi, apa yang buat, saya bentangkan cadangan perancangan kami dari segi kewangan, perancangan anak dan sebagainya. Suami perlu buktikan kepada keluarga saya yang dia berkahwin sekali dengan pakej saya sedang belajar,” katanya yang kini hamil anak keenam.










