Bukan jadi mulut longkang sahaja - Michael Ang - Utusan Malaysia

Bukan jadi mulut longkang sahaja – Michael Ang

Michael mengaku lagu Cinta atau Propa sebenarnya adalah luahan perasaanya tentang depresi diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENTAL betul hati pemilik nama figura popular dalam industri, Michael Ang, yang baru-baru ini mengambil langkah berani untuk mengeluarkan sebuah single berjudul Cinta atau Propa.

Bagi mereka yang barangkali belum tahu, ia merupakan single sulung daripada lelaki bergelar seorang sutradara ini yang mana menerusinya, tentu sahaja membuatkan ramai berasa pelik, apa relevannya Michael mahu tampil sebagai penyanyi pula?

Bukan apa. Sebelum ini, kalau dilihat, Michael bukan main galak lagi mengkritik dan mengecam orang lain yang kononnya tak boleh menyanyi.

Tak kisahlah di pentas pertandingan mahupun di corong radio. Pendek kata, kalau ada sahaja yang tidak berkenan di telinga dan di matanya, dialah antara orang yang paling lantang melontarkan pendapat pedas dengan percuma.

Lalu, apabila dia memilih untuk menyanyi dengan suara yang tidaklah sebegitu lunak merdu, sudah tentulah dirinya pula yang menjadi sasaran pendengar dan warganet yang umpama, menunggu masa sahaja untuk menghentam dirinya.

Apa pula kata Michael?
Begitu tenang dan sempat pula bercanda tawa, lelaki ini dalam satu sesi bersama media baru-baru ini nampaknya seakan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Sudah tentulah saya sedar bahawa orang akan mengkritik pula cara nyanyian saya setelah muncul dengan single sulung ini. Ini realiti dan ia terpulang kepada setiap individu.

“Orang macam saya ini senang. Prinsipnya, kalau kita senang mengkritik orang, kita sendiri juga kena sentiasa bersedia untuk menerima sebarang kritikan orang. Tak cuma kejian, pujian pun tentulah kita kena sedia terima bukan?,” katanya.

Tambah Michael lagi, perkataan pertama yang hinggap di benaknya saat memikirkan apa kata orang adalah tidak lain tidak bukan, ‘padan muka’.

“Padan muka akulah! Siapa suruh nak sangat menyanyi dan keluarkan single bukan? Padanlah muka kena kritik. Tak mungkinlah kita perlu rasa diri ini bagus sangat sampai orang tak akan kritik,” katanya.

Lanjut berbicara mengenai tindakan ‘gilanya’ itu yang membuka lembaran tahun baru dunia hiburan bagai sebuah kejutan, Michael tiada lain, menganggap dia cuma merealisasikan hasrat dan impian yang sudah lama tersimpan rapi.

Menurutnya, selayaknya seorang individu yang mahu tumbuh dengan peningkatan dalam hidup, siapa sangka, Michael pernah menyimpan rasa untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah single dalam hidupnya.

“Iyalah, saya ini sudah orang kenal sebagai sutradara, mengarah, menulis skrip, memasak, jadi hos rancangan apa semua. Tetapi ada tiga lagi perkara yang tak pernah saya buat, iaitu menyanyi, menulis lirik dan menggubah lagu.

“Sekarang sudah muncul dengan single, jadi tinggal dua lagi sahaja bucket list yang belum saya realisasikan. Apa yang saya buat ini tiada lain, mahu mencabar diri sendiri dan enggan sentiasa berada di zon selesa.

“Saya percaya, dalam hidup ini kita kena sentiasa mencuba, tidak kisahlah walau kita tahu diri akan dikutuk atau bagaimana. Terpulang kepada para pengkritik nak nilai apa kerana di akhirnya, saya boleh tersenyum dan berkata pada diri ‘sekurang-kurangnya aku sudah buat’,” katanya.

Tamak ke Michael?
Mungkin peminat dan warganet boleh menerima alasan Michael yang mahu mencabar diri melakukan semua perkara yang dirasakan mustahil.

Namun, timbul pula andaian jika apa yang dilakukannya ini sebenarnya hanya menyerlahkan sisi ketamakan yang ada pada dirinya.

Menafikan hal tersebut, Michael dalam kata berbaur sinikal mempertikaikan andai adakah pandangan yang sama pernah ditabur kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee suatu ketika dahulu.

“Kalau orang cakap begitu, adakah mereka juga menganggap dan mengatakan bahawa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga seorang yang tamak semasa hayatnya? Iyalah, dia buat semua benda bukan?

“Ini bukan soal tamak atau tidak. Kita semua pun tahu, menyanyi ini pun berapa sangatlah yang kita dapat. Macam saya katakan tadi, cuma nak mencabar diri. Untuk membuatkan diri rasa seronok dan gembira.

“Ya, memang saya rasa seronok muncul dengan projek ini sebab seluruh pasukan di belakang, terutama pihak Indigital Music, sangat-sangat membantu dan menyokong. Saya sendiri tak sangka, boleh menyanyi. Terkejut juga, suara tak adalah sumbang sangat,” katanya.

Bebanan bertubi-tubi
Di samping itu, Michael juga membuat pendedahan bahawa dia bersetuju untuk menyanyikan lagu ciptaan Killa Driz dan diterbitkan oleh Hafiz Hamidun itu ketika dirinya sedang dibelenggu dengan depresi.

Mengaku pernah melalui fasa kemurungan sejak empat bulan lalu, dia menganggap segalanya bagai sudah terluah dengan penghasilan Cinta atau Propa.

“Sejak saya lahir ke dunia, saya tak pernah pun melalui situasi sebagaimana yang pernah dilalui empat bulan lalu. Banyak benda terjadi dan bertubi-tubi. Baik terpalit dengan kisah ditikam belakang, orang mencuri, cinta, kerja, semua benda itu tak pernah terjadi sebelum ini.

“Waktu itu, saya sendiri tak boleh terima keadaan itu. Bila buat kerja saya kena plastikkan diri, saya kena sorok masalah. Sampaikan, terpaksa mendapatkan rawatan berjumpa pakar psikiatri.
“Sebab saya dah tak mampu nak menahannya seorang diri. Satu lagi sebab, keadaan itu telah menukarkan diri saya seakan menjadi orang lain, yang bukan saya,” katanya.

Bagi Michael, depresi bukanlah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan sementelah sedar, pasti akan ada pihak mempertikaikan alasannya ini.

“Hanya orang yang pernah kena akan faham apa itu depresi. Kalau rasa diri bukan lagi diri sendiri, cepat-cepatlah dapatkan bantuan dengan pakar. Jangan biarkan diri jadi teruk baru nak dapatkan bantuan.

“Jangan main-main. Perkara ini bahaya. Ia mampu membuatkan otak dan fikiran kita menjadi sangat jahat dan anda sendiri sebenarnya tak sedar pun perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Michael gembira andai selepas ini peminat dan pengikut melihat dirinya sebagai seorang penghibur serba boleh.

Katanya, sememangnya cita-citanya adalah untuk sentiasa menghiburkan orang sekeliling dalam apa daya dan caranya.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT. Sejak dari kecil, saya dilahirkan dengan penuh kemewahan dan tak pernah rasa tak ada duit atau tak cukup makan. Jadi, saya nak sangat buat orang sekeliling rasa gembira.

“Seharusnya begitulah kerana kita tak wajar pun buat orang bersedih. Saya nak jadi seorang penghibur. Bukan sekadar mulut longkang sahaja. Diharapkan, dengan kehadiran saya dalam industri ini, dapatlah sedikit sebanyak menceriakan hidup mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×