Arca 50 Tahun UPM dan laman portal Sistem Maklumat Alumni (AIS) istimewa meraikan 50 tahun penubuhan institusi pendidikan itu.
Mercu tanda dibina di hadapan Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM adalah simbolik kebanggaan seluruh warga UPM atas kejayaannya mengharungi perjalanan yang panjang penubuhannya sebagai sebuah universiti yang bereputasi antarabangsa.
Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Roslan Sulaiman berkata, arca berkenaan membabitkan kos RM19,000, hasil pendapatan Program UPM Alumni Golden Fit 2021.
“Sebanyak RM15,000 pula adalah hasil daripada penajaan Menteri Besar Selangor, manakala RM4,000 pula sumbangan daripada kutipan yuran penyertaan peserta UPM Alumni Golden Fit 2021,” katanya pada majlis berkenaan baru-baru ini.
Acara tambah bermakna dengan tajaan buggy, sumbangan Mohd Norashedy Ab. Rashid, alumni UPM kelas 1994 dan 2004 kepada pelajar khususnya Chapter Student Ambassador (CSA).
Penajaan ini yang pertama kali seumpamanya dijalankan di antara universiti dan alumni bagi membantu pelajar menjana sumber pendapatan bagi sebarang program pelajar.
Sementara itu, AIS yang dibangunkan Pusat Perhubungan Alumni, bertujuan mengumpul dan mengemaskini data dan profil alumni UPM secara lebih komprehensif dan efisien.
Melalui portal itu, alumni boleh mengetahui aktiviti terkini berkaitan insituasi berkenaan.










