Misi Bantuan Kasih 7.0 Lembah Klang diteruskan lagi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meringankan beban mangsa banjir di empat lokasi di Selangor iaitu Taman Sri Nilam, Hulu Langat; PPR HICOM dan Bukit Lanchong, Shah Alam serta Bukit Tadom, Banting.
Program itu dijayakan oleh 100 sukarelawan yang terdiri daripada warga universiti dan alumni yang menyumbang khidmat bakti dan menyantuni mangsa banjir dengan menyumbang lebih 1,000 pek barangan keperluan harian.
Ia termasuk beras, barangan bayi, pakaian dan lain-lain barangan, selain turut menghulur bantuan membersih dan mengecat bangunan yang terkesan akibat banjir besar baru-baru ini.
Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, universiti berkenaan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan kejadian bencana alam itu.
“Universiti Watan ini bersedia membantu masyarakat ketika mereka dalam kesusahan,” ujarnya.
Misi Bantuan Kasih digerakkan untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat fenomena alam dan juga pandemik Covid-19. Ia adalah platform bagi alumni itu untuk turun bersama universiti membantu dan mendekati masyarakat.
Sehingga kini jumlah keseluruhan kutipan termasuk barangan sumbangan telah mencecah RM250,000 yang bermula dari misi pertama di Kelantan. Ia kemudian diteruskan ke negeri lain iaitu Pahang, Perak dan Selangor.
Hasil kutipan yang disalurkan adalah sumbangan tajaan daripada beberapa syarikat yang sebahagiannya adalah milik alumni UKM iaitu Affin Bank, Yayasan Khalifah, MySutera Sdn. Bhd., Gading Kencana Sdn. Bhd, Honeytree Pharmacy, MS Gigih Sdn. Bhd.
Selain itu, Majlis Perbandaran Kajang menyediakan kemudahan pengangkutan dan juga tenaga kerja untuk menjalankan kerja pembersihan di kawasan banjir.










