Sialkah bulan Safar? - Utusan Malaysia

Sialkah bulan Safar?

MANDI Safar adalah adat yang diamalkan oleh segelintir masyarakat Melayu dan ia adalah perbuatan bidaah kerana bukan diwarisi daripada Rasulullah SAW. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim ada meriwayatkan hadis daripada Saidina Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tiada jangkitan, tiada kesialan, tiada burung hantu dan tiada Safar. Larilah daripada orang yang terkena kusta sebagaimana anda akan lari daripada singa.

Hadis ini secara zahirnya menafikan kewujudan sebarang kesialan dan jangkitan penyakit.

Namun di akhir hadis ini Nabi SAW meminta kita agar menjauhi orang yang terkena penyakit kusta secara bersungguh-sungguh seperti kesungguhan seseorang yang akan lari daripada seekor singa.

Maka apakah sebenarnya kehendak Rasulullah SAW yang menafikan kesialan dan jangkitan penyakit tetapi dalam masa yang sama baginda meminta pula kita agar menjauhi seseorang yang terkena penyakit kusta supaya penyakit tersebut tidak menular dan berjangkit kepada kita?

Adakah Wujud Penyakit Berjangkit?

Apabila Rasulullah SAW menyatakan: Tiada jangkitan, baginda bukan mahu menyatakan tidak wujud sebarang penyakit yang berjangkit. Sebenarnya, baginda mahu menyatakan penyakit itu sendiri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menjangkiti seseorang.

Ini kerana yang menciptakan jangkitan hanyalah Allah SWT dan bukannya penyakit itu sendiri.

Buktinya Rasulullah SAW meminta kita agar menjauhi pesakit kusta kerana kebiasaannya kusta akan berjangkit kepada seseorang yang berada dekat dengan pesakit tersebut.

Menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy; hadis ini mengandungi dua perbahasan.

Pertama: Rasulullah SAW mahu mengukuhkan di dalam keyakinan kita bahawa tiada makhluk yang berkuasa memberi manfaat atau mudarat kepada makhluk melainkan Allah.

Kedua: Rasulullah SAW meminta kita berusaha mengelakkan diri daripada sebarang kemudaratan sekiranya secara adat kebiasaannya sesuatu tindakan akan mendatangkan kemudaratan.
Sebagai contoh, kita diminta lari daripada mendekati pesakit kusta kerana ia boleh berjangkit tetapi dalam masa yang sama kita hendaklah meyakini seseorang tidak akan ditimpa sebarang kemudaratan mahupun manfaat melainkan setelah diizinkan oleh Allah.

Nafikan Kepercayaan Karut Masyarakat Jahiliah

Rasulullah SAW menerusi hadis ini telah membatalkan beberapa kepercayaan karut yang diimani oleh masyarakat jahiliah.

Mereka satu ketika dahulu mempercayai jika ada binatang yang melintasi dari arah kiri ke arah kanan atau dari arah kanan ke arah kiri, maka itu akan menyebabkan mereka ditimpa malapetaka jika mereka meneruskan juga pekerjaan yang sedang dilakukan ketika itu.

Orang Arab jahiliah juga mempercayai bahawa apabila burung hantu hinggap di rumah mereka akan menyebabkan ahli keluarga yang tinggal di rumah itu meninggal dunia.

Ada juga yang mempercayai bahawa tulang-belulang mayat akan bertukar kepada burung hantu. Maka keyakinan jahiliah yang tidak berasaskan kepada ilmu ini telah ditolak oleh Rasulullah SAW.

Maksud ‘Tiada Safar’

Para ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan sabdaan ini. Ada yang menafsirkan Rasulullah SAW sebenarnya ingin membatalkan amalan al-Nasi’ah iaitu amalan menukar-nukar bulan.

Ini kerana orang Arab kadang-kadang bersetuju untuk melambatkan bulan Muharam ke bulan Safar lalu bulan yang sepatutnya adalah bulan Safar sudah dianggap sebagai bulan Muharam.

Ada juga para ulama yang berpandangan bahawa hadis ini ingin menolak anggapan orang Arab jahiliah bahawa bulan Safar adalah bulan kesialan.

Ada juga para ulama yang berpandangan hadis ini ingin membatalkan keyakinan orang Arab jahiliah yang mempercayai bahawa Safar adalah sejenis ulat yang hidup dalam badan manusia dan ulat tersebut berkuasa membunuh yang empunya perut.

Jangan Kaitkan Dengan Kesialan

Menurut bekas mufti kerajaan Mesir dan bekas Syeikh al-Azhar al-Syarif (wafat pada 1973); Fadhilat al-Syeikh Hasan Maamun, syariat Islam tidak membenarkan seseorang meyakini kewujudan sial pada nombor-nombor tertentu, hari-hari tertentu dan seumpamanya.

Ini kerana setiap yang berlaku adalah dengan sebab yang ditentukan oleh Allah. Maka perkara-perkara seumpama nombor, hari dan seumpamanya tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan kebaikan atau keburukan yang diterima oleh seseorang.

Kata beliau lagi, seseorang muslim hendaklah berbaik sangka kepada Allah kerana kepercayaan terhadap kesialan adalah berburuk sangka kepada Allah.

Beliau berkata, apabila seseorang yakin tidak akan berlaku manfaat atau mudarat melainkan dengan izin Allah, namun dia tetap risau akan berlaku bencana pada hari tertentu atau pada waktu tertentu kerana pengalaman yang lepas menunjukkan bahawa bencana pernah berlaku pada waktu dan hari tersebut, orang itu telah melakukan satu kesilapan.

Bahkan mungkin bencana yang ditakutinya akhirnya berlaku sebagai satu hukuman daripada Allah kepadanya terhadap sikapnya itu.

Sepatutnya dia memohon kepada Allah agar dijauhi segala bencana lalu dia meneruskan segala pekerjaannya pada hari tersebut tanpa perlu risau akan sebarang kesialan.

Kenyataan Fadhilat al-Syeikh Hasan Maamun ini jelas menunjukkan sesuatu kebaikan mahupun keburukan bukanlah terjadi disebabkan ia dicipta oleh waktu atau sebarang makhluk. Sebaliknya segala yang berlaku adalah ciptaan Allah SWt.

Inilah yang digariskan oleh al-Imam al-Dardir di dalam kitab al-Khoridah al-Bahiyyah yang bermaksud: “Barang siapa yang mengatakan (bahawa sesuatu perkara terjadi) dengan sebab tabii atau (terjadi) dengan sebab (sesuatu makhluk adalah) illah (iaitu penyebab kepada wujudnya makhluk yang lain).

Maka (pegangan seperti) itu adalah kufur di sisi yang beragama Islam. “Barang siapa mengatakan (bahawa sesuatu perkara terjadi) dengan sebab keupayaan yang telah disimpan (oleh Allah padanya), maka (pegangan seperti) itu dianggap sebagai bidaah. Jadi janganlah kamu berpaling (kepada pandangan yang sesat tersebut)”.

Status Mandi Safar

Umum mengetahui tradisi mandi Safar bukanlah satu amalan yang diwarisi oleh Rasulullah SAW.

Sebaliknya ia adalah adat turun-temurun yang diamalkan oleh masyarakat Melayu. Bahkan masih diamalkan di beberapa tempat di Indonesia.

Maka secara asasnya ia merupakan satu bidaah yang perlu diteliti oleh ilmu fikah sama ada bidaah itu dibenarkan atau ia bercanggah dengan syariat.

Semestinya apabila seseorang muslim berkeyakinan Rabu terakhir bulan Safar adalah berkuasa untuk menciptakan kemudaratan, keyakinan ini boleh membawa kepada kemurtadan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Dardir di atas.

Selain itu dia juga akan terlibat dalam perbuatan yang haram sekiranya dia mandi dengan air yang sudah dijampi dengan mentera yang tidak difahami atau mentera yang menyeru jembalang.

Namun jika dia beriktikad yang memberikan manfaat juga mudarat hanyalah Allah, cuma dia mandi pada Rabu terakhir bulan Safar dengan air yang tidak dijampi atau dengan air yang sudah dibacakan ayat al-Quran atau doa dengan niat bertabarruk dengan doa dan ayat al-Quran, lalu dia memohon kepada Allah agar menjauhkan dirinya daripada sebarang malapetaka, cara ini tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Ini sebagaimana yang berlaku di dalam istiadat bersiram di sebahagian institusi kesultanan di beberapa negeri di Malaysia.

Sekiranya pula mandi Safar tersebut disertai perkara-perkara maksiat seperti tarian antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram dan minuman arak, maka aktiviti itu adalah haram kerana maksiat tersebut dan bukannya kerana mandi Safar itu sendiri.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN