Reda ujian, Allah beri jaminan syurga dan ganjaran pahala - Utusan Malaysia

Reda ujian, Allah beri jaminan syurga dan ganjaran pahala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di penghujung tahun ini, kita dikejutkan dengan bencana banjir besar yang melanda negara tercinta. Hujan berterusan memberi alamat bahaya kepada kita bahawa akan berlaku sesuatu yang tidak terjangkau dek akal. Kawasan pesat membangun dan jauh daripada pantai, sekelip mata menjadi lautan kuning memenuhi bumi Malaysia.

Musibah melanda ini bukanlah suatu yang baharu. Bahkan setiap tahun kita mendengar berita bencana alam yang mengerikan. Perubahan mendadak iklim dan faktor geografi turut memberi kesan besar terhadap alam. Akibatnya, bencana alam menerpa tanpa kita bersedia berhadapan dengannya.

Namun, sebagai orang yang beriman kepada Allah, kita perlu tanamkan di dalam diri bahawa setiap musibah melanda itu, pasti ada hikmah disembunyikan Allah terhadap hamba-Nya.

Tidaklah hikmah itu muncul secara langsung saat musibah melanda, terkadang ia hadir setelah sesuatu ujian berlaku. Musibah dan bencana berlaku juga merupakan bukti kebesaran dan keagungan Allah SWT. Tiada yang dapat menahan dan menolak saat tiba ketentuan Allah ditakdirkan ke atas alam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Tidakkah kamu melihat bahawa Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan hak? Jika Dia menghendaki nescaya akan dibinasakan kamu (dengan sebab kekufuranmu) dan didatangkan pula makhluk-makhluk yang baharu. (Ibrahim: 19)

Allah berkuasa sepenuhnya terhadap alam ini, walau apa jua usaha kita untuk menahan musibah dan bala yang menimpa, jika Allah menghendaki sebaliknya, pasti akan berlaku jua.

Tiadalah musibah yang menimpa kita itu melainkan ia akan menjadi kayu ukur untuk menilai sejauh mana keteguhan iman kita terhadap Allah SWT. Saat seseorang ditimpa bala dan ujian dari situlah dapat dilihat reaksi dan responnya terhadap apa yang menimpanya.

Jika dia bersabar dan reda dengan kejadian yang menimpanya, maka itu adalah tanda seseorang memiliki iman yang kuat. Jika dia menonjolkan reaksi sebaliknya, maka itu dapat menjadi tanda bahawa imannya masih lemah.

Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Apakah manusia itu mengira yang mereka akan dibiarkan, lalu berkata ‘kami beriman’, sedangkan mereka belum lagi diuji (oleh Allah)? (al-Ankabut: 2)

Di dalam Kalamullah ini, jelas menunjukkan bahawa manusia yang beriman kepada Allah, pasti akan diuji untuk melihat sejauh mana keteguhan imannya.

Setiap musibah menimpa merupakan salah satu jalan Allah membersihkan dosa dan kesilapan kita yang lalu.

Tanpa kita sedar, banyak kemungkaran dan kerosakan yang kita lakukan di muka bumi ini. Realitinya, bencana yang berlaku terhadap kita ini adalah akibat perbuatan kita sendiri.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud:

Telah jelas kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia sendiri, Allah menghendaki mereka merasa sebahagian (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (bertaubat dan kembali ke pangkal jalan). (ar-Rum: 41)

Allah memperingatkan kepada manusia dengan dihantarkan bala tentera-Nya melalui alam ini agar manusia menyedari kesalahan dan kesilapan mereka serta bertaubat di atas perbuatan mereka.

Kesinambungan daripada itu, mereka yang bertaubat kepada Allah atas salah silap mereka dan bersabar di atas ujian yang menimpa, akan diberi jaminan syurga dan ganjaran pahala. Syaratnya mereka berbuat amal soleh dan berusaha untuk menjauhi larangan Allah.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

1)“Orang-orang yang ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘sesungguhnya untuk Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali’” * Mereka itulah yang akan mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 156-157)

2)“…di antara meraka ada yang soleh dan ada di antaranya tidak demikian (beriman). Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat). (al-A’araf: 168)

Tidaklah ujian dan musibah tertimpa kepada orang mukmin, melainkan akan dihapuskan dosa dan kesalahan mereka.

Sementara itu, Rasulullah SAW bersabda: Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

Adakalanya musibah melanda merupakan suatu kehendak daripada Allah untuk mnyelamatkan kita daripada musibah yang lebih besar tanpa kita sedar.

Sebagai contoh, seseorang di dalam perjalanan ke suatu tempat ingin berkelah dan istirahat pertengahan jalan, tayar kenderaan pancit menyebabkan tersadai tepi jalan.

Dalam masa sama, berlaku suatu musibah yang dahsyat di tempat yang ingin ditujunya. Bukankah aturan Allah itu cantik untuk kebaikan hamba-Nya?

Oleh yang demikian, kita diajar oleh Rasulullah SAW ketika ditimpa suatu musibah dengan berdoa kepada Allah agar diberikan pahala dengan sebab kesabaran dan digantikan sesuatu yang kita hilang dengan sesuatu yang lebih baik.

Rasulullah mengajarkan kepada kita ketika ditimpa musibah, maka bacalah doa ini: Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan sungguh hanya kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, kurniakanlah padaku pahala dalam musibah yang menimpaku dan berilah aku ganti yang lebih baik daripadanya. (Riwayat Muslim)

Mereka yang beramal dengan doa ini, nescaya akan diberi ganti oleh Allah SWT sesuatu yang lebih baik di atas musibah dan kehilangan yang berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN