MTAB bangunkan kampus yang lebih selesa - Utusan Malaysia

MTAB bangunkan kampus yang lebih selesa

MOHD. Hanif Hassan (kiri) bersama pelajar tahfiz dalam pengajian hafalan bersemuka di MTAB di Pasir Mas, Kelantan. -UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan menyewa di belakang bangunan pasar raya di Jalan Ismail Petra, Tanah Merah, lima tahun lalu, Maahad Tahfiz Abu Bakar (MTAB) kini memiliki kampus sendiri yang jauh lebih selesa untuk pelajarnya.

MTAB ialah sebuah institusi pengajian Islam swasta yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Ia diasaskan oleh Mohd. Hanif Hasan pada 2016.

Beliau juga seorang hafiz 30 juzuk dan bekas pelajar Maahad Tahfiz Rantau Panjang yang berjaya menyambung pengajian di Karachi, Pakistan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jemaah Pengurusan dan juga Mudir MTAB itu memberitahu, pembabitannya dalam bidang tahfizul Quran melebihi 22 tahun dengan melahirkan ramai huffaz, menyuntik keyakinan untuk mewujudkan pusat tahfiz sendiri.

Katanya, memandangkan tempat lama di Tanah Merah agak terhad untuk menampung kapasiti pelajar yang semakin bertambah, pihak pengurusan mengorak langkah membangunkan sendiri sebuah kampus.

MOHD. HANIF HASSAN

“Pihak pengurusan tahfiz merancang kerangka pembangunan bagi menyediakan satu tempat yang lebih kondusif sehingga terbinanya Kompleks MTAB di Kampung Kubang Gendang, Mukim Chetok, Pasir Mas, Kelantan sekarang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Melahirkan hufaz berkualiti

Bercerita lanjut, Mohd. Hanif berkata, keutamaan adalah terhadap kualiti bacaan sekali gus menjadikan MTAB terkenal sehingga mendapat sambutan umat Islam seluruh negara.

“Sebelum pandemik Covid-19, MTAB berjaya mengharumkan Malaysia apabila pelajar kita menyertai Musabaqah Hifzhil Quran (MHQ) peringkat ASEAN pada 3 hingga 7 Oktober 2019 di Jakarta, Indonesia.

“Malah pada 13 hingga 14 April 2019, daripada 1,000 penyertaan pertandingan hafazan al-Quran Institut Tahfiz al-Quran (Itqan) peringkat kebangsaan, MTAB menghantar 15 peserta dan tujuh daripadanya berjaya ke peringkat akhir,” ujarnya.

Mohd. Hanif berkata, hasil penyertaan dan pelbagai kejuaraan termasuk hafazan al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang dicapai, memberi kepercayaan kepada masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka ke maahad berkenaan.

Menurutnya, sebelum pandemik Covid-19, MTAB juga membuka ruang kepada kanak-kanak luar berusia sembilan hingga 15 tahun untuk mengikuti kem cuti sekolah selama 10 hari untuk mempelajari bacaan al-Quran dan ilmu fardu ain.

“Antara pelajaran yang dilaksanakan sepanjang musim cuti sekolah ialah tajwid, adab dan akhlak, amalan sunat, doa harian, hafalan surah-surah penting, pengurusan jenazah dan pertandingan hafazan,” ujarnya.

MTAB juga, katanya, tidak mengabaikan keperluan aktiviti kokurikulum dengan pelbagai aktiviti kesukanan dan perkhemahan sebagaimana yang dilaksanakan di sekolah arus perdana.

PERKHEMAHAN perdana antara aktiviti tahunan kokurikulum yang dilaksanakan di MTAB.

Seorang pelajar, Muhammad Khairul Adi Abdul Hakim, 14, berkata, dia memilih MTAB sebagai tempat belajar untuk mengejar dua kejayaan iaitu dunia dan akhirat.

“Pengajian di MTAB menitikberatkan aspek bacaan al-Quran dengan sebutan betul selain hafazan sehingga 30 juzuk.

MUHAMMAD KHAIRUL ADI ABDUL HAKIM

“Pelajar juga mempelajari pengajian Islam serta bidang akademik arus perdana selain menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

“Kami tidak terhenti untuk bergelar huffaz sahaja, tetapi masih berpeluang ke peringkat yang lebih tinggi dengan menguasai ilmu agama dan ilmu moden,” katanya.

Kampus baharu

Ketua Unit Sumber dan Maklumat Pembangunan MTAB, Che Abdul Razak Che Mahmood berkata, kampus baharu MTAB dibina di atas tanah wakaf seluas 1.15 hektar.

Kata beliau, ia merupakan tanah yang diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1985 oleh Jusoh Ibrahim dan sebelum ini dikenali sebagai Pondok Tuan Guru Haji Abdul Syukur.

“Pada awalnya, hanya satu bangunan tiga tingkat dibina bermula 2014 dan siap sepenuhnya pada 2017. Setelah dinaiktaraf oleh pihak pengurusan MTAB, maka beberapa pembinaan dan baik pulih berjaya dilakukan.

“Kini tinggal kerja menyiapkan dua unit rumah guru yang terbengkalai, membina ruang makan dan memasak yang lebih selesa, menambah bangunan untuk tandas untuk keperluan pelajar dan kakitangan, membina pagar dan sistem perparitan,” katanya.

Tambah Che Abdul Razak, kerja-kerja tersebut adalah projek fasa satu yang menelan belanja RM850,000 kerana masih ada beberapa perancangan yang akan dijalankan di masa hadapan bagi melengkapkan segala kemudahan yang diperlukan.

Menurutnya, kompleks pengajian itu mampu menampung 200 pelajar yang berminat mengikuti pengajian hafalan al-Quran dan pengajian akademik.

“Sehingga kini kita mempunyai 100 pelajar lelaki dan perempuan di mana sepanjang pandemik Covid-19, mereka belajar secara dalam talian,” katanya.

CHE ABDUL RAZAK CHE MAHMOOD

Che Abdul Razak memberitahu, projek menaik taraf Kompleks MTAB sepatutnya siap awal tahun ini, namun terlewat kerana kekangan pada musim pandemik Covid-19 selain berdepan dengan masalah dana tidak mencukupi.

“Perbelanjaan keseluruhan bagi menyiapkan projek tersebut menelan belanja sebanyak RM850,000.

“Buat masa ini, dana yang berjaya dikumpul adalah sebanyak RM450,000. Bermakna kami masih memerlukan dana sejumlah RM400,000 bagi menyiapkannya sepenuh kelengkapan.

“Kami berbesar hati sekiranya dana berjaya dikutip sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai yang sudi berkongsi rezeki dalam meningkatkan syiar Islam,” katanya sambil memberitahu perancangan untuk memindahkan pelajar dijangka bermula Februari ini.

Orang ramai boleh menghubungi 013-9825910/018-9099759 (pengurusan MTAB) untuk urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu atau ingin menghulurkan sumbangan ikhlas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN