Satu ketika Ali Ibn Abi Talib r.a masuk ke sebuah masjid di Kufah. Beliau melihat seorang lelaki yang dikenali sebagai Abdul Rahman Ibn Dab yang merupakan sahabat kepada Abu Musa al-Asy’ari sedang menjawab soalan yang dikemukakan oleh orang ramai di sekelilingnya.
Dalam jawapannya, Abdul Rahman melakukan kekeliruan antara arahan dan larangan begitu juga dengan keharusan dan sebaliknya. Melihat perkara tersebut, Ali Ibn Talib r.a bertanya: Adakah kamu mengetahui nasikh dan mansukh?
Abdul Rahman menjawab: Tidak. Ali Ibn Abu Talib berkata: Kamu telah musnah dan memusnahkan. Akhirnya Ali Ibn Abi Talib memberi amaran: “Selepas ini jangan lagi kamu berbicara dalam masjid kami”.
Dalam riwayat yang lain, hal yang sama berlaku kepada Abdullah Ibn Umar dan Abdullah Ibn Abbas r.a yang memberi nasihat kepada lelaki yang keliru tentang hukum hakam. Ia tentang larangan dan arahan dengan sebab tidak memahami nasikh dan mansukh.
Nasakh dalam bahasa Arab mempunyai dua makna iaitu menghilangkan, menghapuskan dan memindahkan sesuatu benda. Al-Sajistani berkata, nasakh ialah mengubah. Umpamanya mengubah madu kepada benda lain.
Dari sudut istilah, nasakh adalah mengangkat hukum syarie dengan dalil syarie. Mengangkat dalil syarie bermaksud dalil tersebut tidak diamal lagi oleh mukalaf.
Hukum syarie pula bermaksud kata-kata Allah yang berkaitan perbuatan mukalaf meliputi al-Quran dan sunnah.
Nasakh wujud dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang kami tinggalkan (atau tangguhkan) Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? (al-Baqarah: 106)
Sebagai contoh hukum idah bagi isteri yang kematian suami. Pada permulaan Islam, tempoh idah adalah selama setahun.
Ia sebagaimana firman Allah SWT: Dan mereka yang hampir mati antara kamu serta akan meninggalkan isteri maka hendaklah mereka berwasiat untuk isteri mereka agar diberi nafkah makan, pakaian dan tempat tinggal selama setahun dan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri sehingga sebelum sampai tempoh setahun.. (al-Baqarah: 240)
Hukum idah selama setahun ini dimansukhkan dengan penurunan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan mereka yang meninggal dunia antara kamu dengan meninggalkan isteri yang tidak hamil maka hendaklah isteri itu menunggu dalam idah selama empat bulan 10 hari. (al-Baqarah: 234)
Nasakh Mansukh tidak berlaku pada ayat yang berkait dengan penciptaan alam, mukjizat dan kisah umat terdahulu.
Ia hanya ada para ayat yang berkait dengan arahan, larangan, halal dan haram.
Penulisan dalam Nasikh Mansukh ini dirintis oleh Abu Ubaid al-Qasim Ibn Sallam (meninggal 224 hijrah) melalui kitabnya al-Nasikh wa al-Mansukh Fi al-Quran.
Pada zaman mutakhir ini beberapa ulama menghasilkan karya berkaitan Nasakh Mansukh antaranya Dr. Abdullah Ibn Muhammad al-Amin al-Syanqiti dengan tajuk al-Ayat al-Mansukhah Fi al-Quran al-Karim.
Menurut sebahagian penulis, kitab yang terbaik dalam bab ini ialah kitab karangan Dr. Mustafa Zaid yang bertajuk al-Nasakh Fi al-Quran al-Karim.
JUMLAH DAN HIKMAH AYAT MANSUKH
Pengkajian kepada semua penulisan dalam bab ini mendapati ada perbezaan dalam jumlah ayat yang dinasakhkan.
Dr. Mustafa Zaid berkata, bilangan ayat nasakh adalah 293 ayat; Ibn al-Jauzi pula berpendapat 247 ayat, al-Sukri menyatakan 218 ayat dan Ibn Hazm sebanyak 214 ayat.
Selain itu terdapat juga ulama yang berkata bilangan ayat nasakh tidak sampai 100 ayat seperti Abdul Qahir berpendapat 66 ayat sahaja, al-Zarqani sebanyak 22 ayat dan Imam Sayuti (meninggal 911 hijrah) menyatakan, ayat-ayat al-Quran yang berkait dengan nasakh adalah 20 ayat sahaja.
Imam al-Dahlawi pula berpendapat, ayat nasakh dalam Quran hanya lima ayat.
Ayat-ayat tersebut adalah ayat berkaitan wasiat dalam surah al-Nisa’, ayat tentang sabar seseorang menyamai 10 orang musuh dalam surah al-Anfal; ayat 52 surah al-Ahzab; ayat 12 surah al-Mujadalah dan ayat pertama surah al-Muzammil.
Ayat nasakh dan mansukh ini ditentukan secara tauqifi di mana ia tidak dapat diketahui kecuali dengan jalan syarak sahaja. Allah yang menurunkan hukum syarak dan Dialah sahaja yang berhak mengangkat hukum tersebut.
Selain itu mestilah berlaku dua hukum yang bertentangan secara zahir. Dengan makna kandungan ayat nasikh berbeza dengan ayat mansukh.
Ulama menggariskan beberapa hikmah kenapa nasakh ada dalam al-Quran.
Antaranya ialah menjaga maslahah manusia, proses perundangan yang berlaku secara berperingkat sehinggalah akhirnya ia sempurna, ujian kepada mukallaf dan mahukan kebaikan kepada masyarakat.
Dr. Abdul Ghaffar Sulaiman menyatakan: “Hikmah nasakh mansukh dalam al-Quran ialah berkait dengan tabiat semula jadi manusia khususnya di waktu masa berlalu dengan cepat dan kiamat semakin hampir ini adalah lemah dan kuasa yang terbatas.
“Lantas Allah SWT mahu memberi rahmat kepada umat Nabi Muhammad SAW lalu diturunkan perundangan yang kekal dan bersesuaian dengan kudrat manusia meskipun mereka berbeza tenaga.
“Allah SWT mensyariatkan perundangan dan menguji, mengkhususkan, menasakh sebahagian atau keseluruhan sehinggalah kekal kepada kita syariat yang amat kukuh, hikmah dan sempurna”.
Ia sebagaimana firman Allah SWT: Pada hari ini, Aku telah lengkapkan untukmu agamamu, dan Aku telah sempurnakan nikmat-Ku kepada kepadamu, serta Aku telah meredakan Islam sebagai agamamu. (al-Maidah: 3)
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM










