Bina rumah, sekolah perlu seimbang - Utusan Malaysia

Bina rumah, sekolah perlu seimbang

PEMBANGUNAN yang tidak seimbang antara kawasan perumahan baharu dengan jumlah sekolah menjadi punca kesesakan di sekolah. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan digesa melakukan kajian semula secara menyeluruh terhadap keperluan pembinaan sekolah-sekolah baharu dengan mengambil kira pembangunan semasa dan akan datang di sesebuah kawasan bagi mengelakkan kepadatan pelajar.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, pembangunan mewujudkan pertambahan perumahan baharu namun keberadaan institusi pendidikan masih tidak kelihatan.

Menurut beliau, ketidakseimbangan penduduk dan bilangan sekolah menyebabkan kepadatan sekolah sehinggakan warga sekolah menghadapi kesukaran melaksanakan proses pembelajaran.

“Satu sekolah mempunyai 2,000 hingga 3,000 pelajar, walaupun dibahagikan kepada dua sesi persekolahan ia tetap mempunyai jumlah yang tinggi.

“Perlu ada keseimbangan antara perumahan baharu, kepadatan penduduk dan pembinaan sekolah bagi memastikan proses pembelajaran dapat dilakukan dengan selesa dan berkesan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dalam pendedahan Utusan Malaysia semalam, sekolah-sekolah di Lembah Klang menghadapi masalah kesesakan pelajar yang serius ekoran penambahan taman perumahan baharu.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru di Klang dilaporkan mempunyai jumlah pelajar paling ramai di dalam negara ini iaitu 3,878 dengan jumlah guru sebanyak 245, menjadikan nisbah guru kepada pelajar di sekolah tersebut adalah satu guru 13 pelajar.

Mengulas nisbah tersebut, Mohd. Azizie berpendapat nisbah itu menghalang proses pembelajaran dilakukan secara efektif kerana jumlah pelajar yang tinggi menyukarkan penyampaian ilmu dengan baik.

“Nisbah ideal adalah satu guru kepada 10 atau lapan pelajar, di negara kita terdapat bilik darjah yang diduduki 50 pelajar. Sedangkan jika kita lihat pada sistem pendidikan negara maju, satu kelas mereka hanya mempunyai 25 pelajar,” jelasnya.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, nisbah unggul antara guru dengan pelajar dalam konteks pengajaran dan pembelajaran akan mempengaruhi mutu pendidikan.

Jelasnya, kesesakan menghalang tumpuan optimum diberikan guru untuk dinikmati pelajar dan menimbulkan kerumitan untuk guru memotivasi pelajar kerana bilangan yang terlalu ramai.

“Kesesakan ini juga akan menjadikan proses pendidikan itu lebih tertumpu kepada guru dan bukannya kepada yang berpusat kepada pelajar, sebagai kaedah yang unggul. Oleh sebab ini, pembelajaran akan menjadi pasif,” katanya.

“Ia juga boleh menyebabkan masalah disiplin antaranya kerana kelakuan yang mengganggu proses pendidikan oleh pelajar nakal yang akan mengalih tumpuan guru daripada mengajar untuk mengawal pelajar,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN