AR-RAUDHAH
Saban minggu kita akan mendengarkan khatib di atas mimbar melaungkan ungkapan bertakwalah kepada Allah SWT. Ungkapan ini menjadi rukun yang wajib disebut sebagai memenuhi syarat sah khutbah.
Sebahagian kita mendengarnya dalam keadaaan lalai dan lena. Adapun sebahagian mendengarnya dengan tekun dan penuh penghayatan.
Maka beruntunglah mereka yang mendalami dan memahami isi kandungan ‘takwa’ itu. Kehidupan ini terlalu singkat dan penuh dengan tipu daya. Ia akan berakhir apabila tiba saatnya nanti.
Baginda menjelaskan kepada kita tiga hal yang sangat penting yang perlu menjadi prinsip dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat.
Tiga aspek yang jika disemat di dalam diri pasti akan menyelamatkan kita. Ketiga-tiga aspek itu adalah perihal hubungan kita dengan Allah, hubungan kita dengan diri sendiri dan hubungan kepada orang lain.
Rasululllah SAW bersabda: Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada kamu berada. Ikutilah hal keburukan dengan hal kebaikan yang dapat menghapuskannya. Dan pergaulilah kepada manusia dengan akhlak yang baik. (Riwayat at-Tirmidzi)
Ketiga-tiga aspek ini jika dihayati oleh seseorang muslim, pasti akan menjadikannya muslim yang mukmin dan bertakwa.
Takwa secara takrifannya ialah melakukan hal yang disuruh Allah dan meninggalkan yang dilarang oleh Allah.
Takwa juga adalah sebaik-baik bekal yang akan dipersembahkan kepada Allah SWT di hari kebangkitan.
Tiada yang dapat menyelamatkan kita melainkan ketakwaan kepada Allah SWT. Hanya ketakwaan yang akan dipandang oleh yang Maha Agung.
Ia sebagaimana firman Allah SWTyang bermaksud: …dan hendaklah kamu membawa dengan cukupnya kerana sebaik-baik bekal (di akhirat kelak) adalah ketakwaan. Maka bertakwalah kepada Aku wahai orang yang berakal. (al-Baqarah: 197)
Ketahuilah hanya dengan takwa kita akan selamat daripada segala azab seksa di kubur mahupun di akhirat.
Ketakwaan kepada Allah juga akan menjadikan kita mulia di dunia. Bukannya kemewahan harta atau kemasyhuran dunia mahupun keturunan mulia yang akan menjadi benteng daripada murka dan azab Allah SWT.
Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT: Sesungguhnya orang yang mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah SWT adalah orang yang bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Dalam Pengetahuannya. (al-Hujurat: 13)
Saidina Ali r.a menukilkan ketakwaan itu adalah: 1. Takut kepada yang Tuhan; 2. Beramal dengan kalam Tuhan; 3. Reda dengan sedikit pemberian; 4. Bersedia dengan Hari Pertemuan
Hubungan kita dengan diri sendiri. Nabi mengingatkan bahawa sebesar mana pun dosa yang dilakukan oleh anak Adam, Allah pasti menyediakan jalan pengampunan buat hamba-Nya yang berdosa.
Nabi bersabda: Setiap anak Adam itu berbuat kesalahan. Sebaik-baik yang berbuat salah adalah yang sentiasa bertaubat kepada Allah). (Riwayat Ibn Majah)
Apabila seseorang tergelincir dalam dosa, maka diperintahkan segera menebus dosa dan kesalahannya dengan bertaubat dan berbuat amal kebaikan. Iman dan takwa itu akan membentengi diri seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar.
Jika tersalah langkah, jangan mudah berputus asa daripada rahmat Allah. Orang mukmin yang bertakwa pasti selamat daripada perbuatan maksiat. Iman yang jitu dalam sanubari akan membuahkan takwa yang mantap.
Oleh kerana itu, orang beriman yang bertakwa kepada Allah tidak akan mudah terjerumus dalam lembah dosa. Kalaupun mereka tergelincir dalam dosa, mereka akan segera bertaubat kepada Allah .
Rasulullah mengungkapkan: Sesungguhnya Allah SWT ‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu malam supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah ‘menghulurkan tangannya’ (bersedia menerima taubat) pada waktu siang supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari terbit dari barat. (Riwayat Muslim)
Jika dia tewas, maka ia segera mengejar keampunan Allah yang disediakan dengan ganjaran rahmat dan pahala.
Allah berfirman: Katakanlah (Muhammad), wahai orang-orang yang melampaui batas (dalam berbuat dosa) ke atas diri meraka, jangan kau berputus asa daripada rahmat Allah. Allah mengampuni dosa kalian seluruhnya. (az- Zumar: 53)
Aspek yang ketiga adalah hubungan sesama manusia. Kehidupan kita di dunia ini tidak pernah sunyi daripada pergaulan sesama insan. Manusia yang tidak bergaul dengan orang lain pasti akan menjadi manusia yang pasif dan memiliki mental yang lemah. Akhlak yang baik itu akan terbit daripada sifat takwa yang tinggi.
Orang yang bertakwa akan sentiasa meneliti setiap langkah dan gerak mereka daripada perilaku yang buruk.
Asbab keimanan yang kuat kepada Allah akan menimbulkan rasa takut dan risau diazab di akhirat hanya kerana tidak menjaga hubungan sesama manusia.
Rasulullah bersabda: Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkata yang baik atau diam. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah jirannya. Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamunya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjadi kayu ukur kepada orang yang bertakwa kepada Allah agar sentiasa menjaga dan mempamerkan akhlak yang murni kepada manusia yang lain. Orang yang bertakwa akan sentiasa merasa dirinya diperhati Allah. Perasaan gerun dan merasa diri diawasi oleh Allah akan mengukuhkan lagi ketakwaan di dalam diri.

- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










