Makanan berbentuk ketulan daging ayam atau daging yang dicucuk lidi dan dibakar dengan cara mengipas bara api yang dinamakan sate sememangnya popular di negara ini sejak zaman-berzaman.
Kemasyhuran sate sebagai makanan sering menjadi buah mulut golongan kaya, menengah mahupun orang kebanyakan. Sate yang dianggap makanan mewah kini mampu dinikmati semua golongan. Ia juga tidak lagi dikandar dan dijaja ke hulu hilir seperti di era 1960-an.
Menurut Pengurus Sate Famili dari Meru, Klang, Izwan Abdul Samad @ Sidek, 48, perniagaan sate turut berinovasi sebagaimana bisnes lain demi menjadikan makanan tersebut kekal relevan.
“Dahulu sate dimasak dengan kaedah mengipas dengan kipas dibuat dari buluh dan mengkuang kini ia dibakar dengan bara api dan kaedah sedutan udara.
“Apa yang penting sate tetap perlu dikawal di atas pendiang bagi memastikan ia tidak terlebih masak atau hangus,”katanya ketika ditemui di Taman Desa Permai, Klang baru-baru ini.
Izwan memberitahu, dia dan adik-adiknya melibatkan diri dengan perniagaan sate sejak tahun 1989 dengan menumpang satu sudut di sebuah restoran di pekan Meru.
Katanya, semasa itu bapanya menggunakan kaedah tradisional untuk menyediakan sate dari A hingga Z.
“Setelah mengambil alih bisnes sate daripada bapa, Abdul Samad @ Sidek Abdul Wahab,74, dan menubuhkan syarikat di alamat Taman Desa Permai Meru, Sate Sidek dikenali pula sebagai Sate Sidek Sate Famili. Sejak itu perniagaan sate kami mengalami inovasi bagi meningkatkan jualan dan keuntungan,” katanya.
Jelasnya, semasa mula berniaga sate, bapanya hanya menyediakan lima ekor ayam untuk dijadikan sate sebanyak 300 hingga 500 cucuk.
Katanya yang mempunyai 11 adik-beradik, secara tradisinya proses penyediaan dilakukan secara ‘manual’ daripada memotong dan meracik daging, menggaul daging dengan bahan-bahan perencah hinggalah kerja mencucuk dilakukan oleh seisi keluarga diselia ibunya, Siti Aminah Salleh, 72.
“Kini penyediaan sate bukan lagi lima ekor ayam tetapi melibatkan ratusan ayam dan berpuluh kilogram untuk dipasarkan di dua restoran di pekan Meru, Desa Permai dan sebuah gerai berhampiran rumah di kawasan Desa Permai juga.
“Kita menggunakan mesin untuk meracik daging dan ayam dengan pekerja seramai 40 orang dalam kilang yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang. Jika masih menggunakan cara ‘manual’ mungkin sasaran jualan sukar dicapai,” katanya.
Izwan berkata, untuk mengekalkan rasa sate yang sinonim dengan kipas mengkuang, pihaknya tetap mengekalkan tradisi sedemikian.
Selain itu katanya lagi, untuk restoran pihaknya memasak menggunakan kipas elektrik khas untuk memastikan rasa Sate Sidek tetap sama sejak mula ia dipasarkan kira-kira 32 tahun lalu.
Mengulas mengenai inovasi produk, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Hishammuddin Sungai Bertik itu memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan produk sate sejuk beku sejak beberapa tahun lalu.
“Sate sejuk beku kami boleh dikukus dan dimasukkan dalam ketuhar untuk tempoh dua minit. Sate sejuk beku tersebut kita pastikan keaslian rasanya sama seperti sate yang kami masak di sini,” katanya.
Ujar Izwan lagi, di sebalik naik turun harga daging dan ayam di pasaran pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihaknya tetap mengekalkan harga sate secucuk, untuk sate daging RM1.20, sate ayam RM1, sate kambing dan perut RM1.80 dan untuk akan datang sate arnab RM3.
Jelasnya lagi, kenaikan harga bahan mentah tetap dipantau dari masa ke semasa bagi mengelakkan kerugian besar kepada syarikat.
“Buat masa ini lapan daripada 11 adik-beradik saya bekerjasama menjaga ketiga-tiga perniagaan Sate Sidek Sate Famili ini.
“Atas semangat menjayakan bisnes kesemua diberi gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagi keuntungan itu perkara lain yang turut diberi pertimbangan,” katanya.
Orang ramai yang ingin merasa Sate Sidek Sate Famili ini, boleh datang ke restoran di Desa Permai, Pekan Meru berhampiran Bank Simpanan Nasional (BSN) atau ke gerai di depan rumah keluarga Sate Sidek tidak jauh dari restoran di Desa Permai.
Waktu operasi restoran adalah pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam dan ditutup setiap Ahad.










