AKPS perlu segera dilengkapi senjata api susulan ugutan

AKPS perlu segera dilengkapi senjata api susulan ugutan

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Usaha melengkapkan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan senjata api wajar dipercepat susulan insiden seorang pegawai agensi itu diugut untuk ditembak ketika menjalankan pemeriksaan di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kementerian kini sedang berusaha melaksanakan perolehan senjata api bagi memperkukuh aspek keselamatan pegawai penguat kuasa ketika bertugas.

“Sepatutnya begitu (keperluan melengkapkan pegawai AKPS dengan senjata api) dan saya rasa pihak kementerian sedang berusaha untuk melaksanakan perolehan tersebut. Itu sahaja yang saya boleh komen,” katanya selepas menghadiri Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini, semalam.

Semalam, media melaporkan AKPS membuat laporan polis berhubung tindakan individu yang dipercayai ejen, membuat ugutan terhadap pegawai penguat kuasanya.

Sebelum ini iaitu pada Februari lalu, berlaku insiden tembakan terhadap kenderaan yang dinaiki oleh Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin Mohd. Nasir.

Dalam kejadian tersebut, kereta Proton X70 dipandu Mohd. Nasaruddin ditembak di susur masuk ke Masjid Al Muhajirin di Bukit Kayu Hitam, Kedah iaitu kira-kira satu kilometer (km) dari sempadan Malaysia–Thailand.

Susulan itu, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan RM22 juta kepada AKPS untuk perolehan senjata api dan kelengkapan ke­selamatan.

Difahamkan, AKPS telah memulakan proses perolehan dengan mencadangkan senjata api jenis Glock bagi memperkukuh operasi penguatkuasaan sempadan.

Terdahulu, Mohd. Shuhaily dalam ucapannya berkata, jenayah terancang masa kini bukan lagi kegiatan haram biasa, sebaliknya, berevolusi menjadi entiti perniagaan tersusun yang memanfaatkan teknologi moden, rangkaian antarabangsa serta kepakaran profesional demi memaksimumkan keuntungan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN