Prosedur nikah di Selatan Thailand diteliti semula

Prosedur nikah di Selatan Thailand diteliti semula

SIRAJUDDIN SUHAIMEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Konsulat Jeneral Malaysia (KJM) di Songkhla sedang meneliti semula prosedur pengesahan dokumen perkahwinan di Selatan Thailand susulan peningkatan permohonan yang tidak memenuhi keperluan dokumen perjalanan yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, keperluan mengemukakan dokumen perjalanan yang sah bagi tujuan pengesahan dokumen perkahwinan di Selatan Thailand bukanlah arahan baharu.

Katanya, penetapan prosedur yang dilaksanakan oleh KJM Songkhla itu telah dipersetujui oleh pihak berkuasa agama Islam di Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah-Wilayah Selatan Thailand serta berkuat kuasa sejak 1 September 2016.

“Selaras dengan persetujuan tersebut, pasangan yang memohon pengesahan dokumen perkahwinan perlu menggunakan atau mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan KJM Songkhla dalam menyelaras urusan pengesahan dokumen perkahwinan di Selatan Thailand.

“Susulan peningkatan permohonan pengesahan yang tidak memenuhi keperluan dokumen perjalanan ditetapkan, kedua-dua pihak kini sedang meneliti semula prosedur sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya lebih jelas, teratur dan berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, hampir 100,000 pasangan yang bernikah di selatan Thailand tanpa doku­men perjalanan sah sejak 1 September 2016, berisiko ber­­de­­pan pelbagai implikasi undang-undang selepas Kon­­­sulat Jeneral Malaysia di Songkhla menghentikan pem­­berian su­rat pengesahan perkahwinan.

Situasi itu berpotensi menjejaskan institusi keluarga se­perti pendaftaran perkahwi­nan di pejabat agama, status anak, tuntutan harta pusaka, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hak faraid dan urusan perceraian.

Menurut Sirajuddin, Jakim juga akan memastikan pelaksanaan prosedur tersebut sentiasa selaras dengan peruntukan undang-undang dan memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan kepenti­ngan semua pihak.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan sekiranya berhasrat melangsungkan perkahwinan di luar negara.

“Pematuhan terhadap prosedur ini penting bagi memastikan urusan pengesahan dan pendaftaran perkahwinan dapat dilaksanakan dengan lancar selain mengelakkan sebarang implikasi perundangan pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN