ARLINGTON: Kylian Mbappe enggan mencari alasan selepas impian Perancis untuk melangkah ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut berkecai apabila tewas 0-2 kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir di Stadium Dallas, Arlington, semalam.
Kapten Les Bleus itu, secara terbuka mengakui pasukannya gagal melaksanakan perancangan yang dirancang sehingga membolehkan Sepanyol menguasai permainan dan menempah tiket ke pentas final.
Kekalahan tersebut menamatkan kempen cemerlang Perancis yang sebelum itu dilihat antara calon utama untuk menjulang trofi selepas mempamerkan persembahan meyakinkan sepanjang kejohanan.
Mbappe, yang muncul antara pemain paling menyerlah dengan lapan gol, mengakui pasukannya gagal dari pelbagai aspek ketika berdepan juara Eropah itu.
“Saya rasa kami tidak bermain seperti yang dirancang, sama ada dari segi taktikal, teknikal mahupun prestasi keseluruhan.
“Apabila anda gagal melakukan apa yang sepatutnya dalam separuh akhir Piala Dunia, anda tidak akan menang,” katanya.
Menurut penyerang Real Madrid itu, Perancis sebenarnya mempunyai pelan jelas untuk menyekat dominasi Sepanyol dengan melakukan tekanan tinggi sejak awal permainan.
Bagaimanapun, strategi tersebut gagal berfungsi apabila barisan pemain Sepanyol berjaya mengawal tempo permainan dan mendominasi penguasaan bola.
“Matlamat kami adalah menekan mereka di kawasan tinggi supaya mereka tidak dapat mengawal tempo permainan. Apabila bercakap mengenai kawalan permainan, mereka memang lebih baik daripada kami. Malangnya kami gagal melakukannya,” katanya.
Mbappe turut mengakui masalah terbesar Perancis berlaku di bahagian tengah apabila gandingan Adrien Rabiot dan Aurelien Tchouameni sering berdepan situasi kekurangan pemain ketika menentang trio Sepanyol yang diketuai Rodri bersama Dani Olmo dan Fabian Ruiz.
Menurutnya, kegagalan mengimbangi kekuatan lawan di zon tengah akhirnya menjadi punca utama kekalahan pasukan.
“Kami sentiasa berada dalam situasi tiga lawan dua di bahagian tengah. Menentang Sepanyol, itu adalah masalah yang sangat besar.
“Apabila semuanya digabungkan, akhirnya kami tewas. Ia satu kekecewaan yang amat besar,” katanya.
Kekalahan itu bukan sahaja menamatkan impian Perancis untuk menambah satu lagi gelaran dunia, malah memusnahkan hasrat mereka mencipta sejarah mara ke tiga final berturut-turut selepas melakukannya pada edisi 2018 dan 2022.
Mbappe berkata, seluruh pasukan amat kecewa kerana gagal menghadiahkan satu lagi peluang kepada rakyat Perancis untuk bermimpi menjulang trofi paling berprestij dunia.
“Impian kami adalah mara ke final, memberikan peluang kepada negara untuk terus bermimpi dan mencipta sejarah.
“Namun, kami perlu menerima hakikat ini dengan penuh maruah. Saya percaya apabila menang, kita menang dengan penuh maruah dan apabila kalah, kita juga perlu kalah dengan penuh maruah,” jelasnya.
Walaupun kecewa, Mbappe menegaskan Perancis tidak boleh terlalu lama meratapi kegagalan tersebut dan perlu segera bangkit untuk menghadapi cabaran seterusnya.
“Buat masa ini, kami semua amat kecewa. Sukar untuk saya gambarkan betapa besarnya kekecewaan yang dirasai oleh saya dan seluruh pasukan.
“Walaupun ia mungkin kedengaran seperti rutin, kami perlu bangkit, bercuti seketika dan memulakan lembaran baharu.
“Bola sepak tidak menunggu sesiapa. Kami perlu melupakan kegagalan ini dan belajar daripadanya,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN










