5 ciri dalam memilih sahabat - Utusan Malaysia

5 ciri dalam memilih sahabat

Sahabat yang baik harus dicari demi menjamin kebahagian di dunia dan akhirat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lumrah bagi manusia memerlukan teman dalam kehidupan. Sama ada teman bermain, teman sekerja apatah lagi teman sehidup semati. Manusia yang hidup tanpa teman adalah manusia yang tidak normal secara logiknya kerana minda kita tidak akan mampu bertahan jika tidak dilatih dan diajar dengan pergaulan sesama manusia.

Oleh kerana itu, persahabatan dan pergaulan itu penting dalam mengekalkan keharmonian di dalam kehidupan dan mengikat kasih sesama manusia. Namun, pastikah kita bahawa sahabat yang rapat dan akrab dengan kita itu akan menjamin kebahagian kita di dunia dan di akhirat?

Ada orang bersahabat dan berkawan kerana kemasyhuran. Ada yang berteman kerana harta dan ada yang bersahabat untuk memenuhi kehendak dunia semata-mata.

Hal yang demikian, kita dituntut mencari sahabat dan teman yang baik. Hanya teman yang baik dan bertakwa kepada Allah SWT sahaja yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Teman-teman karib, pada hari itu (hari kiamat) saling bermusuhan sesama mereka kecuali orang-orang yang bertakwa (al-Zukhruf: 67)

Berdasarkan ayat di atas, adalah menjadi suatu kepentingan di dalam kita memilih sahabat yang baik. Memilih sahabat itu bukan pada fizikal dan kemewahannya, namun agama dan ketakwaan yang menjadi kayu ukur di dalam persahabatan.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya. Oleh itu, hendaklah seseorang melihat terlebih dahulu dengan siapa ia patut bersahabat. (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan al-Baihaqi)

Kita akan terkesan dengan siapa yang kita jadikan sahabat. Jika para solihin sahabat, luruslah amal kita. Namun, jika sebaliknya, perhatikanlah dirimu dan awasilah daripada seruan-seruan mungkar yang diseru oleh teman yang fasik.

Sahabat dipilih juga perlu ada ciri-ciri yang sesuai untuk membantu kita menjaga agama dan diri daripada hal-hal yang mungkar. Al-Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya, Bidayatul Hidayah meletakkan lima syarat sebagai penanda aras untuk kita memilih sahabat.

Pertama: Memilih orang yang berakal. Tiada kebaikan yang akan diperolehi jika kita berteman dengan orang yang bodoh, kerana ia akan mengakibatkan permusuhan dan perasaan kurang senang. Jika seseorang menjauhi daripada sahabat yang bodoh, maka kita akan terselamat daripada mudaratnya.

Kedua: Teman yang baik akhlaknya. Jauhilah orang yang memiliki akhlak buruk, iaitu orang yang tidak dapat mengawal dirinya ketika marah dan ketika diserang hawa nafsu.

Jika diperhatikan, orang sebegini sering menghamburkan kata-kata yang kesat, tidak menjaga perasaan orang lain, bergurau dengan gurauan yang kasar dan mengguris jiwa.

Saidina Ali r.a mengungkapkan dua rangkap syair menghuraikan orang yang baik akhlaknya: “Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sering membantumu (kala susah dan senang), Ia berkorban kerana mahu memberi manfaat kepadamu; Ia sanggup memecahkan urusannya kerana menolong engkau dalam menghadapi bala dan ujian”

Ketiga: Menjadikan orang soleh sebagai teman. Tidak sepatutnya orang yang fasik dan suka berbuat maksiat dijadikan sebagai teman.

Orang yang sering derhaka pada Allah SWt itu tidak boleh dipercayai dirinya. Pendiriannya sering berubah-ubah mengikut hal sekitarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan jangan engkau patuh kepada orang yang Kami lupakan hatinya daripada mengingati Kami dan berterusan mengikut hawa nafsu. (al-Kahfi: 28)

Orang yang sering melihat sahabatnya berbuat maksiat akan menjadikan dirinya memandang ringan dengan maksiat yang dilakukan sekali gus membiarkan sahabatnya bergelumang di dalam dosa dan maksiat.

Keempat: Tidak memilih orang yang tamak dunia sebagai teman karib. Awasilah dirimu daripada teman yang tamak dengan dunia kerana ia akan menjadi racun yang membunuh.
Orang yang tamak dengan dunia akan melahirkan sifat kikir, berjiwa keras dan sering bersikap hasad. Kesan daripada teman yang tamak akan menjadikan kita sentiasa mengejar kepada dunia dan merasakan dunia sebagai matlamat hidup, sedangkan dunia hanya sementara.

Kelima: Bersahabat dengan orang yang benar. Sentiasa berjaga-jaga daripada orang yang suka berdusta. Barangkali dia akan menipu kita tatkala dia sering berdusta di dalam tutur katanya tanpa kita sedar.

Daripada lima ciri ini, dapat kita simpulkan bahawa sahabat yang baik itu harus dicari demi menjamin kebahagian kita di dunia dan di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setelah orang Mukmin itu dibebaskan dari neraka, demi Allah, Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah untuk memperjuangkan nasib saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon: ‘Wahai Tuhan kami, mereka itu (yang masih tinggal di neraka) pernah berpuasa bersama kami, solat, dan juga haji.”

Maka dijawab oleh Allah: “Keluarkan (dari neraka) orang yang kalian kenal.” Sehingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka. Mukminin ini pun mengeluarkan ramai saudaranya yang telah dibakar di neraka, ada yang dibakar sampai betisnya dan ada yang sampai lututnya.

Kemudian orang Mukmin itu menyatakan kepada Allah: ‘Wahai Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dibebaskan dari neraka, sudah tidak ada yang berbaki.”

Maka Allah berfirman: ‘Kembali lagi (ke neraka), keluarkanlah yang masih memiliki iman seberat dinar.” Maka dikeluarkanlah orang Mukmin dalam jumlah ramai sekali yang diseksa di neraka.
Kemudian mereka menyatakan kepada Allah: ‘Wahai Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun orang yang Engkau perintahkan agar dibebaskan.’” (Riwayat Muslim)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN