Tugas polis Langkawi tambah mencabar - Utusan Malaysia

Tugas polis Langkawi tambah mencabar

PELANCONG berasa lebih selamat dengan kehadiran polis melakukan rondaan di kawasan tumpuan di Langkawi. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Langkawi kebiasaannya memainkan peranan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara daripada jenayah.

Namun selepas pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu, peranan polis turut bertambah. Ia bagi memastikan pulau peranginan ini selamat dikunjungi pelancong.

Tugas polis di Langkawi lebih mencabar apabila ditugaskan dalam Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan menerusi penubuhan Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi.

Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan itu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari. Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi pula bertindak sebagai Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi.

Jawatankuasa lain dalam task force tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.

SHARIMAN ASHARI

Shariman memberitahu, antara tugas Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan adalah menjalankan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di samping pemantauan keselamatan yang menjadi tugas hakiki PDRM.

Menurutnya, walaupun gelembung pelancongan domestik sudah tidak dilaksanakan berikutan kebenaran rentas negeri untuk pelancongan dibenarkan sejak 11 September lalu, task force itu masih melakukan pemantauan pematuhan SOP dari masa ke semasa.

Task force tersebut juga akan diteruskan sehingga gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi yang dijangka bermula pada 15 November ini.

“Ada 13 pasukan yang ditugaskan secara penggiliran untuk melakukan pemantauan keselamatan dan pematuhan SOP di sekitar kawasan tumpuan pelancong di Langkawi.

“Antara tempat tersebut adalah Pantai Chenang, kawasan beli-belah di Kuah dan beberapa kawasan riadah seperti di Air Terjun Telaga Tujuh dan Air Terjun Durian Perangin,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, baru-baru ini.

Shariman menambah, semasa pelaksanaan gelembung pelancongan domestik, pihaknya turut menerima penugasan khas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebanyak 60 anggota.

Menurutnya, anggota tersebut melakukan tugasan pemantauan bersama-sama polis Langkawi sehingga kira-kira seminggu selepas rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu.

Shariman berkata, pihaknya akan meminta bantuan tersebut daripada IPK Kedah sekiranya ada keperluan di masa akan datang.

Tambahnya, di Pantai Chenang, terdapat perkhidmatan balai polis bergerak dari pukul 9 pagi hingga 1 pagi. Ia bagi memudahkan pengunjung di situ mendapatkan bantuan polis sekiranya diperlukan dan bagi mengawal keadaan di kawasan tersebut yang kini mula dipenuhi pengunjung.

Shariman berkata, bagi mengawal lalu lintas di kawasan Terminal Feri Penumpang di Kuah pula, ada anggota polis ditugaskan di situ terutama pada waktu ketibaan dan perlepasan feri, dan perkara sama turut dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL).

Selain itu, kata beliau, ada anggota yang ditempatkan di pintu keluar masuk Langkawi seperti Terminal Feri Penumpang di Kuah dan di LTAL untuk memeriksa status vaksinasi penumpang.

Ia bagi memastikan hanya yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan untuk meneruskan perjalanan atau masuk ke Langkawi.

Seorang penyelam memegang plakad ‘Selamat Datang ke Pulau Langkawi’ di dalam akuarium sebagai persediaan sempena pembukaan semula Langkawi di bawah Program Gelembung Pelancongan Langkawi di Underwater World Langkawi (UWL), 15 September lalu. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Menurutnya, sepanjang pelaksanaan gelembung pelancongan, pihaknya telah mengarahkan dua orang pelancong untuk berpatah balik kerana masih belum cukup tempoh dua minggu selepas menerima dua dos vaksin.

Apabila rentas daerah dan negeri dibenarkan kepada mereka yang lengkap divaksin pula, sehingga hari ini, sebanyak tujuh orang telah dikompaun sebanyak RM2,000 seorang kerana tidak memenuhi syarat lengkap divaksin.

“Pada awal bulan ini juga, hasil risikan pihak polis dan maklumat awam, kami berjaya menahan 10 lelaki yang didapati berpesta dadah di sebuah hotel di Pantai Tengah.

“Mereka juga dikompaun RM4,000 kerana melanggar syarat SOP PPN apabila berkumpul di bilik hotel yang sama dan melakukan aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, di Langkawi juga terdapat Unit Polis Pelancong yang biasanya ditugaskan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Dataran Lang dan Terminal Feri Penumpang di Kuah serta Pantai Chenang.

Secara dasarnya, anggota polis pelancong ini adalah sama seperti anggota polis lain namun mereka boleh dibezakan melalui uniform di mana terdapat lencana khas polis pelancong berwarna biru dan merah dengan logo huruf ‘i’ yang merupakan simbol antarabangsa bagi polis pelancong.

Di samping itu, jelasnya, anggota polis itu juga mengenakan uniform mereka dengan topi dengan lilitan berpetak putih yang membezakan mereka daripada polis lain.

Dalam pada itu, seorang anggota polis yang bertugas di bawah Unit Polis Pelancong, Koperal Muhammad Sham Abdul Majid berkata, selain mengelakkan jenayah berlaku, Unit Polis Pelancong juga bergerak sebagai duta kecil pelancongan di Langkawi dengan membantu pelancong yang memerlukan.

MUHAMMAD SHAM ABDUL MAJID

Menurutnya, beliau juga menjalankan tugas memeriksa status vaksinasi penumpang yang menaiki feri ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

“Sepanjang bertugas selepas pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan didapati kes jenayah melibatkan pelancong di pulau ini terkawal dan tiada kes serius yang dilaporkan,” ujarnya.

Seorang lagi anggota, Lans Koperal Khairiliyana Kamarudin berkata, kebanyakan pelancong yang ditemuinya menyatakan mereka lebih selamat apabila melihat kehadiran polis pelancong di tempat tumpuan pelancong.

KHAIRILIYANA KAMARUDIN

“Kebanyakan pelancong sudah biasa melihat kehadiran polis pelancong, jadi mereka tidak takut meminta bantuan bahkan ada yang mengajak saya untuk bergambar bersama mereka.

“Saya juga berasa seronok setiap kali berjaya membantu pelancong-pelancong menikmati percutian mereka dengan menunjukkan lokasi tempat yang mereka ingin kunjungi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya