Rawai’al-Bayan dirujuk hingga kini - Utusan Malaysia

Rawai’al-Bayan dirujuk hingga kini

KItab Rawai’al Bayan karangan Sheikh Ali al-Sabuni yang terus jadi rujukan umat Islam sehingga hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kata pengantar buku Rawai’al-Bayan ditulis oleh khatib Masjidilharam, Mekah iaitu Sheikh Abdullah al-Khayyat. Beliau berkata, sebaik-baik amalan yang dilakukan ialah menumpukan perhatian kepada al-Quran sebagaimana para ulama terdahulu yang menggunakan banyak masa untuk mempelajari, mentafsir, memahami, mengkaji dan merumuskan kandungan kitab Allah.

Firman Allah SWT: Al-Quran, ia tidak didatangi kebatilan dari segenap arah dan sudutnya. Ia diturunkan daripada Allah Yang maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.(Fusilat: 42)

Menurut beliau, jika para ulama terdahulu mempunyai ilmu yang luas dalam mentafsir al-Quran lebih-lebih lagi tafsir ayat ahkam, sesungguhnya ulama mutaakhirin telah mendapat taufik untuk memudahkan banyak perkara dalam ilmu tafsir ini bagi kepentingan para penuntut.

Usaha ini menjadikan para penuntut tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk mendalami dan mengkaji sesuatu isu dengan tempoh yang lama.

Bahkan para ulama mutakhir juga menyusun semula ilmu ulama terdahulu dengan lanskap gubahan ayat terkini yang mudah difahami.

Salah satu kitab yang disusun dalam mentafsir ayat hukum dengan bahasa yang mudah difahami ialah kitab Rawai’al-Bayan karangan Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni.

Sheikh Ali al-Sabuni adalah ulama yang berasal dari Syria dan mempunyai kepakaran dalam banyak disiplin ilmu termasuk ilmu tafsir.

Beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Kuliah Syariah di Mekah hampir 30 tahun. Semasa di Mekah, Sheikh Ali Sabuni memanfaatkan masa dengan menghasilkan banyak kitab yang mendapat sambutan para ulama dan penuntut ilmu.

Kitab-kitab beliau yang diulang cetak beberapa kali khususnya kitab tafsir ialah kitab Safwat al-Tafasir dan juga kitab Rawai’al-Bayan.

Dalam pendahluan kitabnya, beliau berkata, Allah SWT menjadikan pembawa kitab al-Quran sebagai obor agama dan menghidupkan cahaya kepada umat. Rasulullah SAW telah membuat satu janji bahawa pembawa al-Quran adalah ketua yang mulia yang dijadikan sebagai ikutan dalam kehidupan ini.

Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Orang yang mulia di kalangan umatku adalah yang membawa (menghafaz, memahami dan beramal) al-Quran. (Riwayat al-Tirmizi)

Kedudukan kumpulan yang membawa al-Quran ini diangkat oleh Allah SWT dan jika meninggalkan al-Quran dengan maksud tidak mempercayai kandunganya mereka akan hina.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengangkat dengan sebab beramal dengan al-Quran beberapa kaum dan merendahkan beberapa kaum yang meninggalkan al-Quran. (Riwayat Muslim)

Sehingga kini sambutan terhadap kitab Rawai’al-Bayan amat tinggi. Sebahagian pusat pengajian tinggi menjadikan kitab ini sebagai sukatan dalam subjek tafsir ayat ahkam.

Sheikh Ali Sabuni dengan rendah diri berkata, kandungan kitab ini bukanlah hasil usaha beliau sendiri. Sebaliknya, ia adalah ringkasan daripada gugusan pandangan ulama yang masyhur sama ada terdahulu atau sekarang.

Sebenarnya ulama yang terkemuka dalam bidang tafsir telah mengembleng tenaga sehingga tidak tidur malam atas dasar berkhidmat kepada al-Quran. Sebahagian mereka adalah pakar dalam bidang fiqh, hadis, lughah, usul, tafsir, kaedah istinbat hukum dan lain-lain yang semuanya menulis tentang al-Quran.

Tafsir Rawai’al-Bayan karangan Sheikh Sabuni diumpamakan seorang lelaki yang melihat banyak permata dan mutiara yang amat bernilai tetapi berada di banyak tempat. Justeru beliau mengumpulkan semua permata dan menyusunnya dalam satu rantaian yang amat menarik.

Ia juga seperti perumpamaan seorang lelaki yang masuk ke dalam satu kebun yang penuh dengan buah-buahan yang ranum atau bunga-bungaan yang harum baunya.

Lantas tangan memetik dengan cermat dan berhati-hati serta meletakkannya dalam satu bakul yang cantik yang menyebabkan hati menjadi gembira dan mata tertarik melihatnya.

RAWAI’AL BAYAN

Buku Rawai’al-Bayan dicetak dalam dua jilid. Tajuk yang disenarai dalam jilid pertama ialah sebanyak 40 tajuk seperti naskhah dalam al-Quran, pengharaman arak dan judi dan edah. Juzuk yang kedua pula mengandungi 30 tajuk seperti lian, adab ziarah dan taat ibu bapa.

Keistimewaan buku ini ialah rujukannya yang menggabungkan kitab yang terdahulu yang penuh dengan ilmu dan rujukan baharu yang segar dari sudut idea, susunan dan senang gaya bahasanya.

Setiap bab yang berkaitan ayat hukum yang dijelaskan dan dihuraikan dengan 10 sub topik. Bermula dengan huraian kalimah bersama dengan dalil dari pandangan ulama tafsir dan ulama lughah.

Huraian makna secara ijmali, asbab nuzul jika ada, hubungan ayat dengan ayat sebelum dan selepas, jenis qiraat yang ada pada ayat, hukum syarak dan dalil serta menyatakan pandangan yang kuat.

Selain itu, ia juga menjelaskan pengajaran secara ringkas yang boleh diambil dari ayat. Dalam penutup setiap isu, Sheikh Sobuni lengkapkan huraian dengan menjelaskan hikmah perundangan berkaitan ayat tersebut.

Kekuatan buku ini juga ia menolak dengan hujah yang kuat terhadap kekeliruan yang ditimbulkan oleh musuh Islam berkaitan isu poligami Nabi SAW. Begitu juga terdapat jawapan lengkap berkaitan kekeliruan dalam isu riba dan faedah bank.

Dalam isu nasakh iaitu mengangkat hukum syarak dengan dalil syarak yang datang kemudian atau berakhir satu hukum dengan diganti dengan hukum yang lain, dinyatakan bukti yang menyatakan Allah SWT menjelaskan perkara ini dalam al-Quran.

Hikmah adanya nasakh dalam syariah ialah kebaikan untuk hamba kerana hukum yang baru adalah lebih ringan dari hukum yang lama atau ia lebih baik bagi hamba tentang urusan dunia dan urusan agama.

Jangan sangka pertukaran hukum atau nasakh adalah satu kekurangan atau kelemahan dalam perundangan. Nasakh sebenarnya adalah untuk manfaat para hamba kerana yang melakukan perkara tersebut adalah Allah Yang Maha Berkuasa yang mengetahul segala maslahat hamba-Nya.

Allah menghukum, mengarah dan menasakh hukum mengikut apa yang dikehendakinya. Setiap manusia mesti menyakini bahawa Allah SWT menjaga dan menolong kamu. Berpeganglah dengan ajaran yang Allah kurniakan kerana Dia adalah sebaik-baik penolong.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN