Mengesan fear loop dalam kalangan kanak-kanak - Utusan Malaysia

Mengesan fear loop dalam kalangan kanak-kanak

Peluk anak boleh meredakan rasa marah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Munira, 4, suka memutarbelit cerita. Pernah suatu hari ibunya, Marini mendapati luka di dahinya akibat tersandung di rumah. Dengan cikgu sekolah dia kata kena lastik dengan budak lelaki. Normalkan Munira dan adakah ia bersifat sementara?

Situasi dialami Munira adalah tidak normal dan tidak sihat. Beralasan dan melarikan diri daripada hakikat kerana takut dimarahi atau dipersalahkan, digelar fear loop.

Ia adalah keadaan di mana anak rasa takut dengan orang dewasa sehingga tidak mampu minta tolong dengan orang dewasa.

Menurut Pengasas Positif Parent Circle dan penulis keibubapaan, Mohd. Fhais Salim, fear loop menjadi bahaya kerana anak terdedah pada sesuatu yang boleh mengancam nyawanya tanpa kita sedar kerana mereka akan cenderung untuk membuat semua perkara sendiri.

Mohd. Fhais Salim.

“Ada kalanya kita mula perasan anak kita selalu berdalih apabila disoal dengan pelbagai persoalan. Berdalih apabila menipu pasti ada sebabnya.

“Kemungkinan dia lebih berasa takut untuk berterus terang dengan emak ayah. Ketakutan inilah yang dinamakan sebagai fear loop,” katanya. Ketakutan dialami mendorong kanak-kanak menipu, selalu menangis dan sukar untuk meluahkan perasaan.

Dalam konteks ini, anak-anak akan merasakan, jika mereka bertanya atau minta tolong dengan orang dewasa, mereka akan dimarahi kerana mengganggu. Mereka akan fikir lebih baik buat sendiri sahaja.
Mohd. Fhais berkata, hakikatnya, anak-anak memang tidak suka dimarahi.

“Ibu bapa boleh melihat tanda-tanda awal fear loop pada anak-anak. Antaranya anak suka menipu kerana takut dimarahi ibu bapa.

“Walaupun perkara itu berlaku depan mata, apabila kita tanya dia tidak mengaku. Ada sesetengah kes, anak-anak jarang mengadu atau meluah. Awalnya, ibu bapa menganggap mereka kanak-kanak yang berdikari. Hakikatnya, mereka lebih suka mendiamkan diri kerana takut dimarahi,” katanya.

Pada peringkat lebih teruk, anak-anak akan jadi takut kepada semua benda. Contohnya mereka kelihatan seperti berada dalam situasi fobia iaitu takut gelap atau takut dengan orang dewasa lain.

Terdapat juga kes kanak-kanak mengalami situasi ini mudah menangis dan sensitif. Misalnya, apabila ketakutan dia menangis dan apabila dimarahi dia menangis. Lebih teruk, apabila gurau kasar sikit dia menangis.

“Sebenarnya, menangis adalah cara anak lawan ketakutan. Ini kerana selepas menangis, dia berasa lega,” jelasnya.

Tambah Mohd Fhais, akibatnya, anak-anak mungkin hilang kemahiran bersosial dan tidak pandai bergaul dengan orang lain. Dalam hal ini, anak yang ada fear loop susah untuk bergaul dengan orang lain kerana mereka tidak pandai berkomunikasi, senang bergaduh dan berkemungkinan melarikan diri daripada keadaan yang susah.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa tidak menengking atau mengherdik anak-anak kerana kesannya negatif pada emosi anak-anak.

“Kita dinasihatkan mengikut sunah Rasulullah SAW iaitu jangan memarahi anak berumur tujuh tahun pertama walaupun meninggi suara sikit.

“Sunnah suruh kita layan anak macam raja, bukan sebab nak kita manjakan anak tetapi pemikiran dan emosi anak kecil ini sangat rapuh dan mudah rosak.

“Berhenti lepas geram pada anak-anak. Siapa lagi nak lindungi dia kalau bukan ibu bapa sendiri,” katanya.

TIPS hilang marah:

Abaikan hal remeh
Mainan bersepah, makanan tertumpah atau anak tidak mahu duduk diam boleh merungsingkan ibu bapa. Abaikan rasa itu, sebab anda masih boleh mengemas pada keesokkan harinya.

Time out
Ada masa memang marah, stres atau serabut. Ini menyebabkan ibu bapa merasa sangat marah kepada anak-anak. Oleh itu, buatlah time out. Jauhkan diri daripada anak atau tempat kejadian untuk tenangkan diri.

Maklum balas bukan lisan
Mulut ibu bapa sangat cepat memberi maklum balas apabila marah. Jadi, ibu bapa boleh menggunakan bahasa tubuh untuk mengelakkan ucapan yang teruk.
Jeling mata, cekak pinggang, kerut dahi atau berdehem sedikit umpamanya. Anak lebih mudah faham bahasa tubuh daripada percakapan yang mungkin kasar dengan nada suara tinggi.

Terima sepenuh hati
Antara punca senang marah ialah kita asyik menafikan kelemahan diri, anak dan pasangan kita. Terima dahulu kelemahan ini sepenuh hati. Baru hati dan emosi jadi harmoni.

Peluk anak
Sebelum marah terus peluk anak, gosok belakang dada dia, usap ubun-ubun kepala dia. Tak sampai lima minit rasa marah kita itu akan beransur hilang dengan sendirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN