Kurus dengan zumba, kick boxing - Utusan Malaysia

Kurus dengan zumba, kick boxing

Rutin Dr. Nur Nazlina Mohd. Hanipah di Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai jurulatih kecergasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDAR obesiti sejak kecil dan berbadan besar namun Dr. Nur Nazlina Mohd. Hanipah, 32, tidak pernah mengimpikan memiliki badan yang slim. Sebaliknya timbul kesedaran untuk kurus dan sihat ketika tahun pertama di universiti.

Kongsi Nur Nazlina yang mesra dipanggil Lina, beliau pernah seberat 97 kilogram (kg) dan terpaksa memakai baju lelaki saiz XL sebelum tekad untuk kurus apabila melihat rakan-rakan universiti memiliki badan yang fit.

“Saya rasa sangat down ketika itu. Melihat orang lain kurus sihat dan mempunyai personaliti menarik tetapi saya pula bersaiz montel. Saya diet sehingga tidak makan dan sanggup berlapar tetapi berat badan tidak juga turun. Selepas itu, timbul kesedaran nak kurus dan saya mula ke gimnasium tetapi tiada ilmu cara menguruskan badan.

“Saya tekad untuk kurus dan apa yang saya buat adalah saya hanya lakukan senaman dan tidak makan. Lima tahun belajar di universiti, saya berjaya turun sehingga 67kg pada 2016.

“Selepas itu, berat statik tidak turun-turun kerana senaman yang ekstrem dan tidak makan. Bahkan period juga terganggu apabila hampir setahun tidak datang haid,” katanya kepada Utusan Malaysia.

DR. NUR NAZLINA MOHD. HANIPAH

KERJA JURULATIH SAMBILAN

Beliau yang berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan & Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan (KKM) sebenarnya seorang yang aktif dan suka semua aktiviti bersukan.

Namun ujarnya, walaupun berjaya kurus tetapi sering tidak sihat dan kerap hilang tenaga.

“Turun berat ketika itu macam tidak sihat. Walaupun kurus dengan cara itu tetapi saya gembira kerana dapat ubah diri yang dulunya gemuk. Namun saya jadi tidak bertenaga.

“Jika melakukan senaman pula rasa hilang banyak tenaga dan selalu anemia. Rupanya saya kurus dan berat badan turun dengan cara yang tidak sihat.

“Bila saya balik Malaysia, semua terkejut saya berjaya kuruskan badan namun tidak mempunyai bentuk yang cantik,” katanya.

Apabila berjumpa rakan-rakan di gimnasium baharulah Lina dapati terdapat kesilapan pada dirinya sewaktu menguruskan badan.

“Sebenarnya saya tidak perlu takut tentang makanan atau berat akan bertambah berat apabila makan. Jadi, saya belajar ilmu bagaimana muscle bekerja dan protein membantu pembinaan tisu-tisu otot.

“Bermula dari situlah saya mula mengajar jadi jurulatih kecergasan sambilan selama dua tahun secara persendirian tanpa ada sijil dan saya sedar kerana tiada ilmu dan terlalu ekstrem,” katanya.

UBAH MITOS

Pernah menganggap air menggemukkan, Lina berkata, rakan-rakannya yang banyak membantu mengubah persepsi itu dan banyak menimba ilmu untuk kongsi pengetahuan kepada orang lain.

“Saya mula kongsi pelbagai ilmu. Ramai orang takut dan risau anggap minum air yang banyak menyebabkan badan gemuk air. Sedangkan badan memerlukan air dan tidak menggemukkan. Jika badan mempunyai air yang cukup ia menghalang pertambahan berat badan.

“Jadi, saya ingin buang mitos dan negatif yang selalu orang fikirkan. Saya sedaya upaya kongsi segala yang fakta kepada semua orang. Tiga perkara saya tekankan iaitu tentang senaman, air dan makanan asas yang membantu menguruskan berat badan.

“Selepas itu, saya mengambil latihan dan dapatkan sijil untuk menjadi jurulatih kesihatan dan kecergasan,” katanya yang bukan sahaja menjadi jurulatih zumba tetapi juga sebagai jurulatih kick boxing secara fun dan relaks dengan alunan muzik bagi menurunkan berat badan dan fit.

Dr. Lina dan rakan seperjuangan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sempena sambutan Hari Sukan Negara pada 8 Oktober lalu.

KURUS DENGAN ZUMBA DAN KICK BOXING

Ujar Lina, beliau mengajar mereka yang menyertai kelasnya dengan melakukan gerakan atau tarian zumba dan kick boxing untuk mendapatkan badan yang kurus dan sihat.

“Rentak muzik yang rancak, fun dan lebih santai ini tanpa perlu memberi stres kepada tubuh. Senaman zumba lebih mudah untuk menguruskan berat badan.

“Gerakan kick boxing yang diajar juga bukan untuk pertahankan diri atau fight tetapi untuk kuruskan badan dan dalam masa sama memiliki badan yang fit.

“Sebenarnya mereka tidak sedar gerakan zumba dan kick boxing sudah banyak membuat pergerakan yang membakar lemak,” katanya yang mempunyai hari-hari tertentu yang dipenuhi aktiviti senaman secara virtual coaching dan pertemuan kelas diadakan di Putrajaya.

DR. Lina juga adalah jurulatih kick boxing.

Tambah Lina, beliau memantapkan kemahiran kejurulatihan melalui ‘berguru’ dengan Perunding Kesihatan, Pemakanan dan Kecergasan Selebriti, Kevin Zahri terutama latihan secara virtual coaching.

“Saya mula menimba ilmu dengan Kevin Zahri tahun lalu ketika pandemik Covid-19. Beliau yang memulakan sesi latihan kecergasan secara dalam talian.

“Kebetulan, saya pula selalu mengadakan kelas dalam talian jadi tahu bagaimana nak urus virtual coaching, menari depan laptop atau ajar secara dalam talian. Kevin Zahri bimbing saya dalam online coaching memperkenalkan Bukan Soal Kurus,” katanya.

Dalam pada itu, Lina berkata, badan yang sihat tidak memerlukan peralatan mahal.

“Apa yang saya selalu ajar mereka gunakan apa-apa sahaja peralatan atau barang yang murah dan ada di sekeliling untuk sihat. Saya akan ajar mereka cara pembakaran atau burning lemak ke arah lebih sihat.

“Saya tidak mengajar khusus kepada orang untuk kurus tetapi ke arah lebih sihat kerana kurus tidak semestinya sihat,” katanya.

BUKA KELAS KEPADA RAMAI

Ingin membantu lebih ramai mendapatkan badan yang ideal, kurus dan sihat, Lina mengadakan kelas kecergasan yang bukan sahaja boleh disertai oleh orang dewasa tetapi juga anak-anak mahupun seisi keluarga.

“Selain ahli-ahli dalam kalangan kakitangan KKM, saya juga mengadakan pertemuan kelas senaman dan virtual coaching terbuka kepada semua. Saya tidak mengadakan kelas zumba sahaja tetapi setiap hari mempunyai pelbagai jenis senaman atau kelas kecergasan.

“Antaranya, pada Isnin adalah senaman atau gerakan Body X manakala Selasa kelas tiusyen yang mana saya bukan mengajar sahaja tetapi ahli berpeluang mengemukakan soalan tentang makanan, diet dan sebagainya.

“Rabu pula zumba dan Khamis adalah hari rehat. Saya akan bawa jurulatih kecergasan luar pada Jumaat yang akan berkongsi pengalaman atau mengajar senaman baharu. Sabtu pula runday atau separuh maraton. Saya turut akan merekod video senaman yang mana ahli akan dapat menontonnya pada bila-bila masa lapang,” katanya yang begitu dikenali dengan tarian kecergasan BollyX.

Ujarnya, beliau mengenakan yuran RM50 untuk enam minggu dan mengajak orang ramai berdekatan Putrajaya untuk sertai senaman bersama-sama untuk kurus tetapi sihat dan cergas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×