Kaedah 'bayangan tadabbur': Tiga bulan hafal al-Quran - Utusan Malaysia

Kaedah ‘bayangan tadabbur’: Tiga bulan hafal al-Quran

Bangunan pusat pengajian Annur Quranic Centre yang beroperasi di Manjung, Perak. – UTUSAN/ ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAEDAH yang dikenali ‘bayangan taddabur’ yang diperkenalkan di Annur Quranic Centre di Manjung, Perak, memudahkan pelajar menghafal al-Quran.

Menurut Pengarah Annur Quranic Centre yang sebelum ini dikenali Pusat Tahfiz Integrasi An Nur, Mohd. Hanif Nasaruddin, melalui kaedah bayangan dan tadabbur, pelajar berupaya menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa tiga bulan.

Menurutnya, menerusi kaedah itu juga pelajar dapat memahami setiap makna ayat-ayat al-Quran.

“Tadabbur maksudnya menghayati. Jadi apabila pelajar mudah menghayati jalan cerita, hafalan akan jadi lebih cepat.

“Teknik ini tidak hanya mementingkan hafalan ayat-ayat al-Quran, tetapi juga membantu pelajar menghafal dan menghayati isi kandungan kitab suci serta mengamalkannya.

“Dengan mentadabbur makna al-Quran dan memahaminya, ia memudahkan ingatan terhadap ayat yang dihafal,” katanya.

Mohd. Hanif Nasaruddin menelaah makna ayat suci al-Quran di Annur Quranic Centre.

Menurutnya, teknik ini 90 peratus terbukti berkesan apabila semua pelajar yang mendaftar bagi program tiga bulan, dapat menghafal dalam masa yang singkat.

Katanya, pihaknya menggunakan al-Quran ‘Per Kata’ atau ‘Mu’jam’ sebagai bahan untuk proses pembelajaran dan menghafal.

Jelasnya, menerusi penggunaan al-Quran ‘Per Kata’, apabila membaca, pelajar boleh membayangkan dan memahami maksud ayat yang dibaca dengan mudah.

Beliau memberitahu, teknik itu adalah hasil penyelidikan di Indonesia malah tenaga pengajar di Annur Quranic Centre di Manjung, juga dari Indonesia.

“Modul integrasi yang kita guna adalah hasil penyelidikan dari Indonesia yang menekankan tiga aspek iaitu keusahawanan, kepemimpinan dan kesukarelawanan.

“Setiap minggu kami akan mengadakan pelbagai aktiviti yang akan memenuhi aspek-aspek tersebut,” katanya.

Menurutnya, program itu bukan sahaja menekankan teknik hafalan dalam masa yang singkat tetapi juga fokus untuk kejayaan akademik.

“Di sini, selain mempelajari ilmu al-Quran, kami juga menekankan kejayaan akademik supaya pelajar seimbang dari segi dunia dan akhirat” katanya.

Mohd. Haniff berkata, setiap pelajar perlu menjalani temuduga bagi memastikan mereka layak untuk menyertai program itu.

“Proses temuduga dijalankan bagi memastikan pelajar dapat memberi komitmen sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Annur Quranic Centre, Ahmad Syahir Alias berkata, pelajar paling muda yang mendaftar di pusat itu ialah seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan setakat ini kanak-kanak itu telah menghafal dua juzuk al-Quran.

Katanya, dalam sehari, pelajar akan menghafal minumum 10 muka surat dan maksimum satu juzuk sehari.

“Mereka akan menghafal sambil melihat makna ayat yang dibaca dalam sesi kelas selama sembilan jam,” katanya.

Menurut Ahmad Syahir, program itu menyasarkan anak muda untuk membantu perkembangan rohani mereka, apatah lagi daya ingatan golongan itu masih kuat untuk menghafal.

“Kami juga membuat susulan atau murojaah dalam tempoh lima tahun terhadap pelajar yang sudah menghafal 30 juzuk,” katanya.

Tenaga pengajar membaca al-Quran dengan kaedah ‘bayangan taddabur’ mengendalikan kelas secara dalam talian di Annur Quranic Centre di Manjung, Perak.

KAEDAH BERKESAN

Pelajar mengakui kaedah hafalan dikenali ‘bayangan taddabur’ yang mereka ikuti di Annur Quranic Centre membantu lebih cepat menghafal al-Quran.

Bekas pelajar yang mengikuti program itu selama sebulan, Siti Nabihah Zamri, 18, berkata, teknik tersebut sangat berkesan dan membantunya dalam proses menghafal.

SITI NABIHAH

Katanya, mungkin kelebihannya yang pernah menghafal 20 juzuk al-Quran dua tahun sebelum menyertai program di pusat tahfiz itu membantu dalam mempercepatkan hafalannya.

“Saya mula menghafal al-Quran sejak berumur 13 tahun lagi dan dalam masa tiga tahun saya berjaya menghafal 20 juzuk.

“Program di Annur Quranic Centre ini sangat membantu saya untuk mempertingkatkan dan mempercepatkan proses hafalan, iaitu dalam masa satu bulan dua minggu,” katanya.

Penuntut Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, dia dapat menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa 62 hari.

Namun dia mengakui bukan mudah untuk menghafal ayat-ayat suci al-Quran dalam masa yang singkat jika tiada semangat yang tinggi.

Sementara itu, Siti Nurfarahdini Mohd. Zawawi, 21, berkata, dia berjaya menghafaz al-Quran dalam tempoh anggaran 40 hari selepas menyertai Kem Huffaz Profesional Promax anjuran Annur Quranic Centre selama empat minggu.

“Dua minggu pertama saya menyertai program itu di Annur Quranic Centre manakala bakinya secara dalam talian bersama 10 peserta lain yang diselia oleh seorang ustazah disebabkan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP),” katanya.

SITI NURFARAHDINI

Nurfarahdini mula menghafal al-Quran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017 sementara menunggu panggilan menyambung pengajian ke universiti.

“Sebelum ini, saya berjaya menghafal enam juzuk tetapi proses itu tertangguh selepas diterima me­nyambung pengajian dalam bidang Diploma Sains Gunaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Tapah, Perak,” katanya.

Menurut pelajar jurusan sarjana muda Teknologi Industri Higiene dan Keselamatan, UiTM Shah Alam ini, teknik memahami makna perkataan sebelum menghafal memang akan memudahkan proses penghafalan.

“Sebelum menghafal, saya mesti tahu maksud setiap perkataan yang dibaca supaya senang untuk menghafal dan memahami ayat-ayat suci al-Quran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN