Jaga adab, ukhuwah semasa berkempen jangan sampai putus silaturahim - Utusan Malaysia

Jaga adab, ukhuwah semasa berkempen jangan sampai putus silaturahim

DALAM kerancakan berkempen pada Pilihan Raya Negeri Melaka, calon-calon diingatkan agar menjaga adab dan lisan supaya tidak memutuskan silaturahim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Pepatah Melayu ada menyebut, “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. Ini bagi menggambarkan bahaya dan bisanya mulut atau lidah dalam hubungan sesama manusia.

Banyak perbalahan berlaku angkara mulut dan lidah yang tidak bertulang. Kata-kata sindiran, sumpah seranah dan caci nista antara punca pergaduhan berlaku sesama insan sehingga menjejaskan silaturahim. Pada tahap yang teruk ia membawa kepada berpatah arang, berkerat rotan.

Dalam suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, diharapkan calon-calon yang bertanding mengambil berat perkara ini. Jangan kerana berebut kedudukan dan kuasa, silaturahim menjadi korban.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, DR. AZRI BHARI untuk mengupas isu ini.

======================================================

Menjaga silaturahim amat dituntut dalam Islam. Ia juga adalah salah satu faktor untuk seseorang masuk syurga Allah. Apakah definisi silaturahim yang sebenarnya?

Silaturahim terdiri daripada dua patah kata Arab yang digabungkan iaitu ‘silah’ yang bermaksud tali atau hubungan dan ‘rahim’ yang bermakna kasih sayang.

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari menjelaskan makna ‘rahim’ secara umum bermaksud kaum kerabat dekat kerana ada garis keturunan, sama ada berhak mewarisi harta atau tidak dan sebagai mahram atau tidak.

Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam kitabnya al-Mufradat fi Gharib al-Quran, maksud ‘rahim’ ialah rahim wanita iaitu tempat janin berkembang dan terlindung (dalam perut wanita). Maka istilah ini digunakan untuk menyebut kaum kerabat kerana berasal daripada rahim yang sama.

DR. AZRI BHARI

Seterusnya Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim mendefinisi silaturahim sebagai berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan.

Perbuatan menghubungkan itu boleh berlaku dalam bentuk kebaikan dengan harta, bantuan tenaga, mengunjungi, memberi salam dan sebagainya.

Selain itu, Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqat al-Mafatih menjelaskan silaturahim adalah ungkapan berkenaan berbuat baik kepada kaum kerabat yang dekat, sama ada mengikut garis keturunan atau melalui perkahwinan seperti berlemah lembut, mengasihi dan mengambil cakna terhadap hal ehwal.

Sementara Imam al-Qurtubi pula dalam kitab tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata, perkataan ‘rahim’ boleh membawa makna am (umum) dan khas (khusus).

Makna am merujuk kepada maksud kerabat dari sudut agama iaitu saudara-saudara seagama walaupun tiada pertalian kerabat. Maka wajib kamu menyambung silaturahim berdasarkan keimanan dengan cara berkasih-sayang, tolong-menolong, nasihat-menasihati, tidak memudaratkan, berlaku adil, memberi hak yang sepatutnya dan menunaikan hak-hak yang wajib.

Adapun makna khas pula merujuk kepada membawa makna kaum kerabat dari sebelah pihak bapa dan ibu. Maka wajib bagi mereka menunaikan hak yang khusus seperti memberi nafkah bersesuaian dengan keadaan mereka dan tidak melalaikan perkara yang dijanji pada waktu-waktu yang mereka perlukan.

Secara mudah silaturahim adalah menjaga hubungan terhadap ibu ayah, adik beradik, saudara mara, kaum kerabat terdekat secara khusus dan juga saudara seagama secara umum dengan pelbagai kaedah dan cara yang baik.

Dalam dunia tanpa sempadan, perhubungan komunikasi semakin mudah. Hanya dengan telefon pintar sudah boleh membuat panggilan video. Adakah ini memadai untuk menggantikan hubungan secara bersemuka terutama antara anak dan ayah atau adik-beradik?

Perkembangan teknologi yang makin canggih menyebabkan masyarakat turut terkesan dan berubah seiring peredaran zaman. Penggunaan peranti moden seperti telefon pintar, tablet dan komputer turut mewarnai kehidupan masyarakat masa kini untuk kemudahan dan manfaat seharian untuk saling berhubung.

Peranti tersebut hanyalah medium atau perantara yang boleh diguna dan dimanfaatkan dalam mencapai matlamat hubungan silaturrahim terjelma. Inilah yang disebut sebagai alternatif kepada hubungan secara bersemuka dengan digantikan secara maya.

Justeru, adalah wajar penggunaan peranti canggih dalam mencapai matlamat hubungan silaturahim yang sangat dituntut oleh Islam. Apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang membataskan pertemuan secara bersemuka turut menjadi asas kewajaran berinteraksi secara maya bagi mencapai matlamat hubungan silaturahim.

Jelas bahawa matlamat adalah perkara yang perlu diutamakan dan diambil perhatian, manakala medium atau alat hanya sekadar jalan untuk membantu pencapaian matlamat tersebut.

Sudah tentu penggunaan telefon pintar bukan sekadar memadai menggantikan pertemuan secara bersemuka, bahkan mampu mencapai matlamat hubungan silaturahim.

Perkara ini disaran oleh Nabi SAW dalam hadis yang bermaksud: Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahim dan solatlah di waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat. (Riwayat Ibnu Majah)

Ramai dalam kalangan kita yang sukar memaafkan orang lain apabila berlaku perselisihan faham atau bergaduh. Sampaikan popular frasa “sampai mati pun aku tak akan maafkan kau”. Adakah ini dibenarkan dalam Islam?

Islam melarang tindakan tidak memaafkan sehingga terjejas atau memutuskan hubungan silaturrahim. Memutuskan silaturahim adalah termasuk dosa-dosa besar secara ijmak ulama.

Allah SWT menegaskan ini dalam firman-Nya yang bermaksud: Maka adakah sekiranya kamu berkuasa, kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim? Mereka itulah orang yang dilaknat oleh Allah, ditulikan telinga mereka dan dibutakan penglihatan mereka. (Muhammad: 22-23).

Seterusnya, memutuskan silaturahim adalah antara punca disegerakan azab seseorang di dunia lagi sebelum tibanya hari akhirat.

Ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga disamping yang sedang menantinya di hari akhirat dibandingkan dosa menzalimi manusia dan dosa memutuskan silaturahim. (Riwayat Abu Daud)

Selain itu, terdapat juga hadis halangan ke syurga yang bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maksud ‘tidak masuk syurga’ itu adalah tidak masuk bersama golongan terawal, bukan bermaksud tidak akan masuk syurga selama-lamanya, sedangkan seseorang memiliki iman yang melayakkan syurga baginya.

Sebaliknya, sifat pemaaf sangat dianjurkan oleh Allah SWT dalam ayat yang bermaksud: Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha penyayang. (al-Nur: 22).

Justeru itu, marilah bersama mempraktikkan sifat pemaaf dalam kehidupan. Amalan memohon maaf harus dilakukan tidak kira masa, tempat atau siapa. Semua manusia tidak lari daripada buat silap dan salah, maka janganlah malu atau segan memohon maaf.

Antara yang disarankan oleh Nabi SAW adalah memberi hadiah kepada orang yang tidak pernah memberi kita apa-apa pun. (dalam hadis riwayat Hakim). Realitinya ini amat sukar dilaksana sebab kita banyak terpengaruh dengan pepatah “orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa”. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

Islam tidak meletakkan sebarang kewajipan mahupun larangan dalam perbuatan memberi hadiah sesama manusia. Namun, perbuatan saling memberi hadiah adalah kaedah atau resipi kejayaan mewujudkan dan menghubungkan silaturahim antara manusia.

Tindakan mendahului dalam memberi perlu dibudayakan dan persepsi hanya tunggu untuk menerima kemudian barulah dibalas perlu dihapuskan dalam kalangan masyarakat.

Keadaan ini boleh diperbetulkan dengan didikan dan kempen kesedaran berterusan melalui saranan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai. (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, terdapat hadis Nabi SAW yang bermaksud: Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala sedekah, sedangkan sedekah kepada golongan yang mempunyai hubungan silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin hubungan silaturahim. (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi).

Seterusnya, perlu diberi kefahaman dan galakkan bahawa saling berlumba dalam melakukan kebajikan. (rujuk ayat 148 surah al-Baqarah).

Dalam kerancakan berkempen seperti di pilihan raya negeri Melaka, apakah batas-batas yang perlu dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding supaya tidak merosakkan hubungan silaturahim walaupun terhadap calon parti lawan?

Dalam hal ini, terdapat beberapa saranan dan langkah yang digariskan oleh Islam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan hubungan dalam kalangan masyarakat.

Pertama, saling beradab dan menghormati pendirian masing-masing. Mengutamakan dan memelihara ukhuwah dalam kalangan masyarakat. Perpaduan perlu diusahakan supaya wujud suasana aman dan harmoni.

Kedua, bijak dan matang dalam mengurus perbezaan. Bersikap terbuka dan berlapang dada menerima perbezaan yang berlaku tanpa menimbulkan ketidakpuasan hati yang berpanjangan dan berlarutan.

Ketiga, fokus kepada memperjuangkan agenda kebajikan rakyat berbanding melakukan kritikan dan komentar yang menjatuhkan.

Pihak calon parti yang bertanding perlu lebih serius terhadap manifesto yang ditawarkan supaya lebih realistik dan menawan hati masyarakat yang inginkan keadilan, kebajikan terpelihara dan terbela dalam kehidupan.

Keempat, tidak mencari kesalahan dan mencela antara satu sama lain. Perbuatan negatif ini boleh menimbulkan suasana panas dan tegang sehingga boleh mencetuskan konflik dan perpecahan.

Demikianlah panduan asas yang wajar diikuti oleh masyarakat dalam memelihara hubungan silaturahim supaya tidak terputus dalam suasana musim pilihan raya.

MEMBERI bantuan kepada sesama insan adalah antara cara yang dapat menghubungkan silaturahim terutama dalam pendemik Covid-19 sekarang.

Sabda Nabi SAW: Barang siapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali silaturahim. (Riwayat Bukhari dan Muslim). Bagaimana nak mengamalkan hadis ini terutama dalam mendamaikan mereka yang berkerat rotan?

Sebenarnya hadis tersebut merupakan suatu motivasi kepada masyarakat Islam dalam mendapatkan dua kelebihan atau ganjaran yang dijanjikan kepada golongan yang menyambungkan silaturahim.

Kaedah mendamaikan golongan yang berselisih boleh dilakukan melalui contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Pertama, memastikan niat ikhlas kerana Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud: ...dan jika kamu bimbangkan ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan, jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi taufik kepada suami isteri itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (al-Nisa’: 35).

Kedua, mendamaikan perselisihan dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Ketika Nabi SAW berusia 35 tahun, berlaku konflik dalam kalangan kabilah Quraisy mengenai kelayakan dan yang lebih berhak untuk meletakkan Hajar al-Aswad di penjuru Kaabah. Hal ini telah diselesaikan dengan penuh hikmah oleh Nabi SAW dengan melantik wakil kabilah.

Ketiga, melakukan dialog dan perbincangan secara terbuka. Ada peristiwa suku Aus dan Khazraj kembali berselisih akibat propaganda orang Yahudi. Lalu Nabi SAW dengan segera dan pantas mendamaikan semula kedua suku tersebut.

Muhammad al- yalabi dalam kitab Sirah Nabawiyah menukilkan Nabi SAW menyatakan: “Wahai kaum muslimin, (ingatlah) Allah!, (ingatlah) Allah! Apakah (kalian terpancing) dengan propaganda (zaman) jahiliah, sedangkan aku berada di antara kalian, setelah Allah menunjukkan kalian pada (jalan) Islam, memuliakan kalian dengan Islam, memutuskan perkara jahiliah dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekufuran, serta menyatukan hati-hati kalian?”. Mendengar pertanyaan tersebut, mereka pun tersedar bahawa sedang terpancing dengan fanatisme kesukuan di zaman jahiliah.

Keempat, mengaplikasi prinsip kerjasama dalam mendamaikan perselisihan. Ia sebagaimana hadis: Sesungguhnya penduduk Quba sedang berselisih sehingga saling melempar batu, lalu diberitahu kepada Rasulullah tentang peristiwa tersebut. Baginda SAW pun berkata, ‘marilah kita pergi mendamaikan mereka’. Baginda SAW bersama sahabat-sahabatnya pergi mendamaikan perselisihan di antara mereka. (Riwayat al-Bukhari)

Kelima, memberikan solusi terhadap masalah. Suatu ketika Ka’ab bin Malik sedang menuntut hutang daripada Ibnu Abi Hadad. Suaranya kuat hingga sampai kepada Nabi SAW. Lalu baginda SAW memberi solusi perdamaian bahawa Ka’ab mengurangkan beban hutang, sehingga Ibnu Hadad pun mampu melunaskan hutang tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN