I’jaz bilangan dalam al-Quran - Utusan Malaysia

I’jaz bilangan dalam al-Quran

Al-Quran yang juga mukjizat Nabi Muhammad SAW mempunyai pelbagai ilmu termasuk yang perkataan al-yaum yang bermaksud hari dan disebut sebanyak 365 kali. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tular dalam laman sosial berkaitan I’jaz bilangan dalam al-Quran. Bilangan kalimah al-hayat iaitu kehidupan sama dengan bilangan kalimah al-maut iaitu kematian. Bilangan kalimah al-yaum iaitu hari sebanyak 365 kali sama dengan bilangan hari dalam setahun dan lain-lain.

Sebelum mengetahui lebih lanjut berkaitan I’jaz bilangan dalam al-Quran perlu difahami makna I’jaz.

Dari sudut bahasa I’jaz ialah menetapkan sesuatu itu lemah dan tidak mampu lakukan sesuatu perkara.

Kalimah mukjizat pula mempunyai beberapa unsur iaitu perkara yang luar biasa, dalamnya ada unsur cabaran dan manusia tidak mampu serta lemah untuk menandinginya sepanjang masa.

Kalimah I’jaz ini pada mulanya diguna untuk menyatakan kelemahan dan kemudiannya digunakan bagi menzahirkan kebenaran rasul yang diutuskan Allah di mana perutusan mereka dikukuhkan dengan mukjizat. Manusia tidak mampu menandingi mukjizat para rasul dan ia juga menunjukkan kebenaran bahawa mereka utusan Allah.

Menariknya dalam firman Allah SWT: Sesungguhnya penciptaan Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti penciptaan Nabi Adam. Allah menciptakan Nabi Adam daripada tanah, kemudian berfirman kepadanya, “jadilah engkau, maka jadilah dia”. (ali-‘Imran: 59)

Pengkaji ayat ini menemui satu perkara yang ajaib. Berlaku kesamaan antara ciptaan Nabi Isa dengan Nabi Adam dalam firman-Nya: Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti penciptaan Nabi Adam.

Kesamaan antara Nabi Isa dan Nabi Adam ialah nama kedua-keduanya disebut 25 kali dalam al-Quran. Nabi Adam diturunkan dari langit bagi memulakan kehidupan di dunia manakala Nabi Isa akan diturunkan dari langit pada akhir usia dunia.

Nabi Adam dicipta dengan mukjizat tanpa ayah dan ibu manakala Nabi Isa dicipta dengan mukjizat tanpa ayah. Jika dikumpul semua 25 ayat yang menyebut nama Nabi Adam dan semua ayat yang menyebut nama Nabi Isa, disusun dalam dua ruang, kita akan dapati seperti berikut.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya penciptaan Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti penciptaan Nabi Adam. Allah menciptakan Nabi Adam daripada tanah, kemudian berfirman kepadanya, “jadilah engkau, maka jadilah dia.” (ali-Imran: 59).

Ini adalah ayat yang ketujuh menyebut nama Nabi Isa dan ayat yang ketujuh menyebut Nabi Adam.

I’JAZ BILANGAN

Abdul Razak Naufal mengarang kitab I’jaz Adadi Lil Quran. Dalam pengkajiannya mendapati kalimah dunia yang berulang kali disebut dalam al-Quran adalah sama dengan bilangan kalimah akhirat. Begitu juga dengan kalimah syaitan yang sama bilangannya dengan kalimah malaikat.

Pada mulanya beliau tidak mengetahui ada banyak kesamaan bilangan kalimah dalam al-Quran. Selepas melakukan kajian secara teliti, penemuan amat menakjubkan kerana beliau mendapati banyak kesamaan dalam bilangan dan kesimbangan kalimah dalam setiap tajuk.

Dalam kitabnya ini, beliau mengumpul ayat-ayat al-Quran mengikut tajuk dalam bentuk kalimah. Seperti kalimah dunia dan akhirat. Kedua-dua kalimah ini berulang 115 kali.

Kalimah syaitan dan malaikat berulang sebanyak 68 kali. Kalimah al-hayat iaitu kehidupan sama dengan kalimah al-maut iaitu kematian berulang 71 kali.

Beliau juga menyatakan kalimah yaum yang bermakna hari berulang dalam Quran sebanyak 365 kali. Adakah semua ini disebut secara kebetulan?

Yang menurunkan al-Quran adalah Allah dan tidak mungkin ia satu kebetulan.

Lihat kepada kalimah jaza’ yang bermaksud pembalasan, berulang dalam al-Quran sebanyak 117 kali manakala kalimah maghfirah (keampunan) berulang 234 kali iaitu sekali ganda daripada kalimah pembalasan.

Setiap kalimah dalam al-Quran yang berulang sudah pasti berulang dengan tersusun dan kemas. Jika diperhatikan ayat 59 surah ali-‘Imran yang dinyatakan, terdapat keajaiban dalam sama bilangan kalimah Nabi Adam dengan Nabi Isa iaitu sebanyak 25 kali.

Semua bilangan ini amat ajaib dan berlaku kesamaan yang pelik. Ia seakan menunjukkan bahawa semua dalam al-Quran diawasi oleh satu neraca timbangan yang tetap dan betul.

Akhirnya beliau berkata, I’jaz bilangan dalam al-Quran adalah dalil kepada wujudnya Allah dan wujudnya risalah rasul yang diwahyukan kepada mereka.

NERACA I’JAZ BILANGAN

I’Jaz bilangan ini mula dibicarakan pada zaman mutakhir oleh Abdul Razak Naufal melalui kitabnya ‘Ijaz Adadi Fi al-Quran al-Karim yang diterbitkan pada 1959. Selain itu ia juga diisyaratkan oleh Said Nursi r.a yang meninggal pada 1960.

Namun begitu apa yang dinyatakan oleh Said Nursi adalah lebih kepada analisisi bilangan kalimah dalam al-Quran.

Menurut satu pandangan, persamaan bilangan kalimah rijal iaitu lelaki dengan kalimah mar’ah iaitu wanita, persamaan kalimah dunia dengan akhirat adalah bukan termasuk dalam ‘Ijaz.

Ini kerana boleh sahaja mana-mana penulis mengarang satu buku yang telah ditetapkan bilangan kalimah lelaki dan wanita atau mana-mana kalimah.

Perkara ini bukanlah sukar dilakukan dan tidak boleh dimasukkan dalam kategori mukjizat.

Kelemahan dalam pengkajian ‘Ijaz bilangan ini ialah tidak berasas kepada kaedah yang kukuh dan tetap. Terdapat kalimah yang dibilang bersama pecahannya dan pada kalimah lain tidak dikira bersama pecahannya.

Selain itu ada kalimah yang dikira mengikut makna dan di tempat lain dikira hanya dari sudut lafaz sahaja tanpa melihat kepada maknanya.

Oleh itu mereka menyarankan agar istilah ‘Ijaz bilangan ini ditukar kepada lataif ‘adadiyyah dengan maksud makna tersirat dalam bilangan kalimah al-Quran.

Pengkaji ‘Ijaz bilangan perlu berpegang kepada kaedah akademik yang kukuh dalam pengkajian mereka bagi mencapai keputusan yang menyakinkan.

Al-Quran dipenuhi banyak rahsia dalam bilangan kalimah namun tidak perlu tergesa-gesa tularkan info berkaitan sebelum dapat kepastian.

Al-Quran wajib dipelihara dari segala sangkaan dan waham. Ulama bersetuju bahawa tidak diizinkan mentafsir al-Quran dengan pandangan semata-mata tanpa diasaskan dengan athar dan ilmu lughah.

Ulama tafsir telah menggariskan kaedah tafsir al-Quran mestilah pertamanya dirujuk kepada al-Quran itu sendiri, diikuti dengan sunnah, kemudian pendapat para sahabat r.a dan juga pandangan tabien.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya