Hebatnya penulis Mushaf Qatar - Utusan Malaysia

Hebatnya penulis Mushaf Qatar

Ubaidah Muhammad Soleh al-Banki, penulis Mushaf Qatar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Para ulama berkata, syarat penulis mushaf mestilah beragama Islam, bersifat amanah, warak, cantik tulisan, berilmu dalam ilmu khat, fasih dan mahir dalam bahasa Arab.

Semasa menulis mushaf mestilah berada dalam keadaan berwuduk, baik situasi dan keadaan, mengagungkan al-Quran dan juga mengharapkan amalan yang dilakukan itu mendapat ganjaran daripada Allah.

Menulis mushaf dengan khat yang cantik dan menarik adalah satu perkara yang amat penting. Ini kerana objektifnya untuk masyarakat dapat membaca al-Quran dengan betul tanpa kekeliruan.

Abu Hakimah al-Abdi berkata, satu hari Ali Ibn Abi Talib r.a datang kepada ku ketika aku sedang menulis mushaf. Beliau melihat kepada penulisan-ku dan berkata: “Tulislah al-Quran dengan jelas dan terang sebagaimana Allah mencahayakan al-Quran.”

Imam Nawawi dalam kitab Tibyan berkata, ulama sepakat tentang kebaikan menulis mushaf dengan tulisan yang baik, terang, jelas dan dapat dibaca dengan mudah tanpa susah dan keliru. Pada 2010, sejarah penulisan al-Quran dicatat sekali lagi dengan kejayaan penerbitan Mushaf Qatar yang mempunyai tarikan yang tersendiri.

Penerbitan Mushaf Qatar istimewa kerana penulisnya iaitu Ubaidah Mohammad Soleh al-Banki adalah pemenang pertama dalam pertandingan khat antarabangsa.

Ubaidah al-Banki berasal dari Syria dilahirkan pada 1964. Memiliki ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan pertanian.

Minat Ubaidah al-Banki dalam ilmu khat sudah tertanam dalam dirinya sejak kecil lagi. Ayahnya mempunyai satu perpustakaan yang penuh dengan buku dan rujukan berkaitan khat.

Tersimpan dalam rak-rak buku perpustakaan itu adalah buku-buku yang dikaryakan oleh tokoh-tokoh besar khat seumpama Muhammad Badawi al-Dirani, Hasyim Muhammad al-Baghdadi dan Sayyid Ibrahim. Ubaidah al-Banki selalu berusaha meniru dan menulis seumpama penulis tersohor tersebut.

Beliau juga selalu mengikuti ayahnya yang berkhidmat sebagai pengetua sekolah dengan tujuan memerhati guru khat menulis. Walaupun ketika itu beliau masih kanak-kanak, tetapi minatnya amat tinggi terhadap ilmu khat.

Memerhati pergerakan tangan guru khat yang mahir cara menulis huruf dan cara bagaimana penggunaan kalam khat dan dakwat dilakukan. Di samping itu beliau juga melihat bentuk helaian khat yang ditulis dengan sempurna. Dari sinilah Ubaidah al-Banki mengetahui minatnya amat tinggi kepada ilmu khat.

Dalam kerjaya, Ubaidah al-Banki memegang beberapa jawatan antaranya ahli jawatankuasa (AJK) pengasas persatuan khat Syria dan AJK pengasas persatuan khat di Arab Saudi.

Bagi mendalami ilmu khat, Ubaidah al-Banki melalui beberapa peringkat di mana beliau berpindah ke beberapa negara untuk menggilap seni khatnya sehingga akhirnya beliau dianugerahkan ijazah oleh beberapa tokoh khat.

Guru khat yang banyak mendidiknya ialah Ustaz Ahmad al-Bari dan Muhammad al-Qadhi. Melalui mereka berdua, Ubaidah al-Banki mendalami usul seni khat. Selepas itu beliau merantau ke Istanbul yang terkenal dengan kesenian khat dan mempunyai tokoh khat bertaraf dunia.

Di Istanbul, Ubaidah al-Banki mempelajari ilmu khat dan mendapat ijazah daripada seorang guru khat terkenal bernama Sheikh Hasan Jalabi.

Pada 1986, Ubaidah al-Banki menyertai pertandingan khat di markas Arsika dan memperoleh tempat kedua dalam bahagian khat nasakh.

Pada 2001, kerajaan Qatar menganjurkan pertandingan khat dan beliau berjaya mendapat tempat pertama. Berikutan itu beliau dianugerahi kemulian menulis Mushaf Qatar.

Mushaf Qatar mempunyai sejarah yang unik berbanding dengan penulisan mushaf lain kerana penulisnya adalah mereka yang mendapat tempat pertama dalam pertandingan khat peringkat antarabangsa.

PERTANDINGAN KHAT TERBESAR DUNIA

Seramai 120 penulis khat yang mahir dari seluruh dunia menyertai pertandingan khat yang dianggap pertandingan terbesar di dunia dalam sejarah khat.

Lajnah hakim bersidang untuk memilih penulis khat yang terbaik dengan mengambil kira ketepatan seni tulis dan ketelitian mengikuti kaedah khat.

Setelah melihat semua sudut syarat pertandingan, Ubaidah al-Banki dinobatkan sebagai juara.

Walaupun penulis Mushaf Qatar adalah johan pertandingan khat namun proses penulisannya masih melalui syarat-syarat yang ketat. Semua proses tulisan, semakan, percetakan dan pengesahan mesti diperakui lajnah yang berasingan.

Perkara ini berlaku pada setiap halaman mushaf bagi memberi perhatian kalam Allah dan menerbitkan mushaf yang amat berkualiti dari sudut kesenian, penandaan dan penulisan ayat.

Dalam sidang akhbar, Ubaidah al-Banki berkata, menulis Mushaf Qatar adalah satu pengalaman yang amat bernilai kerana hubungannya dengan kitab Allah yang mulia.

Beliau juga berkata, dalam pusingan awal pertandingan khat, tujuh penulis khat sahaja yang terpilih daripada 120 orang. Ia disusuli pemilihan yang kedua, dua penulis khat terpilih dan beliau adalah salah seorangnya.

Kedua-dua yang terpilih telah menulis mushaf dengan sempurna 30 juzuk. Selepas penghakiman dan pertimbangan hakim, Ubaidah al-Banki dipilih untuk menulis Mushaf Qatar.

Mushaf Qatar telah dicetak sebanyak empat kali. Cetakan pertama ialah pada 2009 diikuti cetakan kedua pada 2011. Cetakan ketiga pada 2015 dan cetakan keempat pada 2019.

Tempoh masa yang sebenar diambil untuk menyiapkan Mushaf Qatar ini ialah selama tiga tahun setengah.

Sebelum memulakan penulisan, Ubaidah al-Banki akan melakukan penelitian terhadap halaman dengan cermat. Kemudian beliau menulis dengan kalam biasa sebagai gambaran diikuti dengan tulisan yang betul.

Sempurna menulis satu halaman, beliau akan meneliti dahulu semua kalimah sebelum diletakkan tanda baris dan dabt bagi semua huruf. Setiap halaman memakan masa selama lapan jam dengan kerja yang berterusan.

Kemuliaan al-Quran mestilah dicapai dengan cara membaca, tadabbur, memahami dan beramal dengan kandunganya. Namun begitu penulisan al-Quran juga perlu diberi perhatian dengan khat yang baik oleh penulis yang mempunyai kemahiran ilmu khat, bahasa Arab dan penulisnya juga mempunyai sifat-sifat yang terpuji iaitu amanah, warak dan mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Para ulama memberi analogi, tidakkah kamu melihat ketika seseorang yang hendak menulis surat kepada Raja dia akan mencari kertas yang berkualiti, menulis khat yang cantik dan menarik.

Juga menggunakan dakwat yang terbaik, setiap baris disusun dengan teratur sehingga menampakkan kewibawaan surat tersebut.

Kalaulah begitu surat untuk makhluk maka al-Quran sudah tentu lebih awla diberi keutamaan memuliakannya.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN