Semakin hari semakin banyak produk yang dipasarkan dalam pasaran. Selain menjadi santapan mata, ia juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sambilan seperti dropship.
Dropship merupakan salah satu opsyen kerja bagi mereka yang ingin menjana pendapatan tambahan lebih-lebih di musim pandemik Covid-19 ini. Kaedah perniagaannya cukup mudah di mana dropship hanya perlu mempromosi di media sosial tanpa pegang stok barangan.
Kaedah mudah itu menjadikan bentuk kerja ini sebagai langkah pertama bagi mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan. Begitupun, mudah tidak bererti senang.
Dropship sepenuh masa, Wan Nor Solehah Wan Mohd., 26, berkata, dia suka berniaga tetapi memilih menjadi dropship kerana tidak suka pegang stok barang niaga.

Beliau yang sudah 10 tahun menjadi dropship menjelaskan kerja itu mudah daripada menjadi egen kerana egen perlu pegang stok, sebaliknya dropship hanya mempromosi.
“Saya mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ini sejak di bangku sekolah lagi iaitu ketika usia 16 tahun. Bermula dengan pendapatan RM50 hingga kini saya boleh meraih pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dropship belum diiktiraf sebagai bentuk pekerjaan kerana tidak memiliki perlindungan. Begitupun, cara kerja ini kian diterima ramai berikutan kaedahnya yang mudah untuk dilaksanakan. Kemajuan teknologi maklumat memudahkan bentuk perkhidmatan seperti ini kian berkembang di seluruh dunia.
Wan Nor Solehah menjadi dropship kepada beberapa jenama antaranya Shaklee dan Mama Sab.
Biarpun nampak senang tetapi individu yang mahu menjadi dropship ini perlu sentiasa peka dengan pertanyaan daripada pelanggan.
Ibu kepada dua orang anak ini memberitahu untuk mudah memancing pembeli, mereka perlu rajin mempromosikan diri serta produk tersebut di media sosial
UNTUNG ATAS ANGIN
Ada yang berpendapat bekerja sebagai dropship tidak mendapat untung banyak, namun bagi Solehah, semuanya bergantung pada individu itu sendiri.
“Bagi saya, sebenarnya tidak. Ia bergantung pada individu. Kalau awak berusaha, awak rajin dan komited, semestinya awak akan dapat pelanggan. Kalau awak sekadar buat sambil lewa, memang tak akan dapat untung,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran, kata Solehah dia pernah dilemparkan perkataan kesat atau dimaki oleh pelanggan akibat lambat memberi respons kepada pertanyaan mereka melalui aplikasi whatsapp.
“Pembeli marah saya sebab saya lambat respons mengenai stok. Apa yang orang tidak tahu, dropship tak pegang stok, jadi, pelanggan perlu beri ruang kepada kami untuk bertanya orang atasan. Tidak dinafikan memang ada pelanggan tidak tahu mengenai hal ini,” luahnya sedikit kecewa kerana perlu berhadapan dengan situasi tersebut sehingga kini.
Mengenai tips memperoleh pendapatan yang tinggi, kata Solehah individu perlu branding diri sendiri dan produk jualan, ini kerana pembeli lebih senang untuk membeli dengan mereka yang dikenali.
“Selain berkongsi produk, saya juga selalu memuat naik video saya ke media sosial lebih-lebih lagi dalam whatsapp status, kerana mereka yang mempunyai nombor telefon kita akan rajin melihat di situ,” katanya.
Bagi individu ingin menjadi dropship, mereka perlu ilmu dahulu seperti ilmu mempromosi produk di media sosial dan sentiasa merajinkan diri serta berusaha kerana mereka yang berusaha akan nampak hasilnya.
“Bak kata pepatah, rezeki tidak datang bergolek. Yang paling penting, hati kena kental dan sentiasa berfikiran positif. Sebab pelanggan ini mempunyai banyak ragam,” kongsi Solehah.
TAK KELUAR MODAL
Bagi Maycie Kamsing, 29 dia memilih untuk menjadi dropship kerana pekerjaan ini tidak perlu mengeluarkan modal satu sen pun dan tidak keterlaluan dikatakan untung atas angin.

Malah pekerjaan itu amat sesuai dengan situasi pandemik Covid-19 di mana kebanyakan orang berurus niaga dan membeli barangan atas talian.
Malah katanya, semua bahan pemasaran termasuk video berkaitan produk hanya di kongsi di laman sosial dan sembangnya.
Namun akui Maycie, individu yang mahu dapat untung lebih besar perlu lebih rajin mempromosikan barang-barang jualan.
“Saya memperuntukkan 12 jam untuk menghadap telefon pintar dan menjawab segala permasalahan daripada pelanggan. Saya bebas bekerja dan kalau nak cuti pun tidak ada masalah,” kongsinya.
CABARAN
Empat tahun menjadi dropship, berdepan kerenah pembeli yang pelbagai antara perlu dihadapai sepanjang menjadi agen pemasaran itu.
“Saya pernah dapat pembeli yang banyak tanya sebelum membeli, dan saya menjawab satu per satu soalan daripadanya namun akhirnya, dia tidak jadi membeli dengan saya, tetapi tidak mengapa saya anggap itu bukan rezeki.
“Pernah juga saya terpaksa meredah hujan dengan menaiki motor demi untuk menghantar produk kepada pembeli, banyak lagi cabaran saya lalui tapi saya kuatkan hati untuk hadap segalanya. Pokok pangkalnya kita perlu banyak bersabar,” kata wanita berasal dari Sabah ini.
Walaupun dropship hanya mempromosi tetapi ada juga yang perlu menghantar produk kepada pelanggan sekiranya terdapat permintaan.
Mengenai tips untuk menjana pendapatan lumayan sebagai dropship, Maycie berkata rajin adalah kunci utama untuk berjaya.
“Dropship perlu rajin untuk memuat naik atau mempromosikan jualan di media sosial. Kerana, itu adalah platform utama dan paling mudah untuk mendapatkan pelanggan, kalau malas, bagaimana rezeki hendak datang pada kita,” katanya.
Jangan malu untuk bermula dari bawah, antara nasihat Maycie kepada individu mahu meraih pendapatan menerusi dropship.
“Dropship ini boleh dikatakan antara tahap paling rendah dalam perniagaan, sekiranya kita rajin kumpul hasil jualan, sedikit demi sedikit hasil itu akan semakin bertambah,” katanya mengakhiri bicara.









