Berebut pusaka bawa bencana - Utusan Malaysia

Berebut pusaka bawa bencana

PEREBUTAN harta pusaka sering membawa kepada perbalahan sehingga membawa kepada perpecahan adik-beradik. -ILUSTRASI/MARO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Banyak polemik yang berlaku berkaitan hal wasiat dan pembahagian harta selepas kematian seseorang. Lebih-lebih lagi jika si mati meninggalkan harta yang banyak.

Syarak menetapkan apabila seseorang itu meninggal, hartanya akan dibahagikan mengikut pembahagian faraid.

Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Ia juga bertujuan memberikan kepada yang berhak dan untuk membantu waris yang ditinggalkan.

Namun, harta pusaka sering menjadi rebutan sehingga tahap membawa pergaduhan dan perpecahan dalam keluarga. Pendek kata, berebut pusaka bawa bencana.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), ZAHARI MAHAD MUSA bagi mengupas isu ini.

==================================================

Apakah definisi wasiat, faraid dan hibah?

Ketiga-tiga terma iaitu wasiat, faraid dan hibah merupakan mekanisme penting dalam agihan harta dalam Islam. Kesemuanya mempunyai persamaan iaitu melibatkan pemindahan hak milik harta kepada pemilik yang baharu terutama selepas kematian empunya asal harta tersebut.

ZAHARI MAHAD MUSA

Terma hibah dalam Islam bermaksud pemberian milik sesuatu harta tanpa balasan (gantian) secara sukarela yang berkuatkuasa ketika hidup.

Wasiat pula merujuk kepada perakuan sumbangan atas suatu hak yang disandarkan pemberiannya selepas berlaku kematian pemberinya.

Adapun faraid ialah pemberian bahagian-bahagian tertentu kepada waris selepas kematian pewaris.

Walaupun ketiga-tiga terma ini memfokuskan tentang agihan harta, namun setiap satunya mempunyai perbezaan. Ia bagi menunjukkan keunikan dan fungsi setiap satu daripadanya.

Ringkasan perbezaan ketiga-tiga terma dapat digambarkan dalam jadual 1:

JADUAL 1

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan At-Tirmizi yang bermaksud; Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak akan haknya, maka tidak ada wasiat bagi seorang waris kecuali jika dikehendaki oleh para waris. Adakah ini bermakna waris tak layak terima wasiat dan berapakah maksimum yang boleh diberikan kepada waris?

Hadis Rasulullah SAW di atas menjadi sandaran utama bagi majoriti ilmuwan fiqh yang meletakkan syarat kepada penerima wasiat iaitu bukan daripada kalangan waris.

Ini kerana jika waris turut mendapat wasiat secara tidak langsung mereka akan mendapat habuan harta pusaka melalui dua cara iaitu secara wasiat dan faraid. Justeru, hukum asal waris sebagai penerima wasiat adalah tidak dibenarkan.

Walau bagaimanapun, hukum asal tersebut diberi pengecualian jika mendapat persetujuan waris-waris lain yang diterangkan juga dalam hadis tersebut melalui frasa “kecuali jika dikehendaki oleh para waris”.

Kebenaran tersebut juga terikat dengan kadar maksimum sebanyak satu pertiga (1/3) kerana kadar tersebut merupakan nilai asal yang dibenarkan dalam wasiat.

Persetujuan waris ini menggambarkan kebenaran waris tersebut untuk mendapat bahagian yang lebih sedikit kerana waris yang mendapat wasiat sebenarnya menarik bahagian harta pusaka waris-waris lain.

Selain itu, pemberian wasiat diutamakan untuk dilakukan dalam hierarki agihan harta pusaka si mati iaitu dilakukan terlebih dahulu sebelum agihan secara faraid.

Tentang wasiat, ada yang tidak sedar bahawa ia boleh dibatalkan. Dalam keadaan yang bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Secara umumnya, sesuatu akad (kontrak) dalam Islam akan terbatal jika tidak memenuhi perkara asas pembentukannya iaitu rukun mahupun syaratnya. Wasiat juga merupakan salah satu akad yang terikat dengan hal ini.

Oleh yang demikian, jika rukun dan syarat sesuatu wasiat tidak dapat dipenuhi, maka sesuatu wasiat itu akan terbatal.

Sebagai contoh, salah satu rukun wasiat ialah melibatkan harta yang hendak diberi.

Namun sekiranya harta tersebut telah musnah sebelum kematian pewasiat, maka tidak wujud harta yang bakal diserahkan sekaligus membatalkan wasiat yang dibuat oleh pemberi tersebut.

Selain itu, terdapat juga beberapa situasi yang menyebabkan sesuatu wasiat terbatal atau tidak dapat dilaksanakan. Keadaan ini seperti penerima wasiat meninggal dunia terlebih dahulu sebelum pewasiat.

Sekali lagi, keadaan ini mencacatkan syarat penerima wasiat iaitu dikehendaki wujud ketika agihan wasiat dibuat. Wasiat juga boleh terbatal sekiranya pewasiat menarik semula wasiat yang dibuatnya.

Keadaan lain yang penting diketahui juga ialah wasiat akan terbatal apabila penerima wasiat menyebabkan kematian pewasiat.

Dalam hal ini, jika penerima wasiat didapati bersalah membunuh pewasiat, maka penerima tidak layak menerima wasiat yang dibuat oleh pewasiat kepadanya.

Ada segelintir agen wasiat yang promosi wasiat sebagai jalan pintas untuk selesaikan tuntutan pusaka para waris. Apakah hal yang perlu diperhalusi dalam hal ini sebabnya urusan wasiat ini biasanya mengambil masa yang panjang?

Semua pihak yang terlibat dalam industri pengurusan harta pusaka orang Islam seharusnya lebih bertanggungjawab sebagai perantara yang amanah dalam menjalankan tugas masing-masing.

Jangan memikirkan keuntungan atau komisen semata-mata, bahkan seharusnya memberi input pewarisan yang lengkap kepada masyarakat awam.

Sebagai contoh, pengetahuan tentang wasiat perlu dilihat daripada dua dimensi iaitu menurut amalan masyarakat di Malaysia dan terma yang digunakan dalam Islam.

Bagi dimensi pertama, wasiat merujuk kepada pesanan akhir untuk mengurus harta yang bakal ditinggalkan.

Di sini, setiap agen wasiat menjalankan pengamanahan untuk mengurus harta dalam Islam melalui dokumen wasiat dan lantikan wasi.

Bagi dimensi kedua pula, terma wasiat dalam Islam itu sendiri perlu difahami sebagai perakuan sumbangan atas suatu hak yang disandarkan pemberiannya selepas berlaku kematian pemberinya.

Istilah wasiat ini lebih khusus kerana terfokus kepada elemen pemberian sumbangan sebanyak satu pertiga harta kepada selain waris. Kombinasi antara keduanya membantu dalam penyediaan suatu dokumen pesanan urus harta keluarga yang menggabungkan perihal harta, bahagian waris, penerima bukan waris dan perlantikan wasi bagi keluarga tersebut.

Selain itu, setiap agen wasiat perlu mendalami ilmu faraid di peringkat asas terutama yang melibatkan waris dan harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Tidak seharusnya mengambil sikap ‘pukul sama rata’ dalam mendepani setiap klien. Perlu difahami, lain klien lain jugalah ahli keluarganya.

Ini kerana, setiap keluarga berbeza keadaannya antara satu dengan yang lain. Contohnya waris-waris boleh terdiri daripada pasangan, anak-anak, ibu bapa dan adik-beradik.

Namun dalam sistem pewarisan Islam, senarai waris mungkin melebihi apa yang kita tahu kerana penelitian atau semakan waris perlu dibuat terhadap sama ada mereka layak, berhak atau sebaliknya.

Ada ibu bapa yang mempunyai banyak harta membuat hibah kepada anak-anak selain faraid. Adakah hibah ini mesti diberi sama banyak atau bolehkah ibu bapa melebihkan hibah itu kepada anak yang tertentu?

Pemberian harta secara hibah oleh ibu bapa kepada anak-anak ketika masih hidup adalah amat digalakkan kerana dapat memupuk perasaan kasih sayang dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga.

Seperti disebut sebelum ini, pemberian hibah tidak melibatkan kadar-kadar tertentu, kembali kepada kemampuan pemberi.

Terpulang kepada setiap ibu bapa untuk meraikan anak masing-masing dalam pemberian secara hibah.

Walau bagaimanapun, agihan secara sama rata dalam pemberian sangat digalakkan dalam Islam. Sebabnya ini dapat menghindarkan sikap pilih kasih mahupun cemburu antara anak-anak dalam keluarga tersebut.

Sekiranya masih ingin melebihkan anak-anak tertentu, maka pemberian hibah tetap berlaku tetapi dihukumkan dengan makruh (sah tetapi tidak digalakkan).

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan bahawa Al-Nu’man bin Bashir r.a berkata: “Aku telah diberikan oleh bapaku suatu pemberian, lalu ibuku Amrah binti Rawahah berkata: “Aku tidak akan merestuinya kecuali engkau membuat pengakuan di hadapan Rasulullah SAW”. Lalu bapaku pergi bertemu Rasulullah SAW untuk mendapatkan penjelasan tentang pemberian itu. Baginda bersabda: “Adakah engkau berikan barang yang sama kepada semua anakmu?” Bapaku menjawab: “Tidak”. Rasulullah SAW. bersabda: “Takuti Allah dan bersikap adillah dengan semua anak-anakmu”. Lalu dia pun balik dan mengambil semula pemberian itu. (Sahih Muslim, Kitab al-Hibat, no: 1623).

BARANG kemas antara yang sering menjadi rebutan para waris selepas kematian ahli keluarga.

Tentang takharuj. Apakah definisinya dan dalam keadaan bagaimana ia boleh dilaksanakan?

Pendekatan takharuj dalam faraid adalah satu bentuk pembahagian harta pusaka secara damai berdasarkan musyawarah atau sulh antara waris.

Pendekatan ini melibatkan pengunduran waris daripada hak yang dimilikinya dalam faraid sama ada digantikan dengan imbalan atau tidak daripada waris lainnya.

Perkataan takharuj adalah daripada bahasa Arab yang kata asalnya adalah al-Khuruj iaitu bermaksud keluar dan melepaskan diri.

Dari sudut istilah ilmu faraid, takharuj bermaksud persepakatan waris yang menyebabkan salah seorang daripada mereka terkeluar daripada penerima pusaka dengan satu imbalan atau nilai gantian yang jelas.

Kebenaran menggunakan pendekatan bukanlah menafikan formula faraid melalui ayat pusaka (Ayat 11, 12 dan 176 daripada surah al-Nisa’). Akan tetapi melengkapkan lagi kesempurnaan perundangan faraid dalam Islam yang lebih tersusun, sistematik dan adil.

Hal ini dapat dilihat pelaksanaanya kerana takharuj adalah satu bentuk perjanjian damai antara waris untuk menarik diri daripada hak yang sebenar dalam pusaka.

Dalam sesetengah situasi waris si mati berkemungkinan tinggal berjauhan dan tidak dapat hadir semasa bicara pusaka.

Perjanjian damai antara ahli keluarga adalah sangat penting bagi menyelesaikan sesuatu kes pusaka. Perjanjian damai ini merupakan sulh yang sangat dianjurkan oleh Islam dalam apa jua bentuk pertikaian dan pertelingkahan.

Ini seiring dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (al-Hujurat: 10)

Selain itu, pendekatan takharuj dilaksanakan kerana memudahkan agihan pusaka dengan segera. Agihan pusaka yang dibahagikan secara mudah dapat dimanfaatkan semua waris untuk kepentingan dan kebahagiaan keluarga.

Hal ini dapat dilihat dalam mendepani urusan harta yang sukar dipecah milik kepada bahagian yang kecil seperti rumah pusaka atau tanah yang sempit.

Dari sudut lain pula jika si mati hanya meninggalkan harta alih sahaja sedangkan warisnya terlalu ramai yang menyebabkan harta tidak ekonomi atau mengalami susut nilai, maka pendekatan takharuj ini sangat disyorkan.

Pokoknya, pendekatan takharuj mementingkan kesepakatan dan kerelaan antara waris pusaka yang layak.

Sekiranya kesepakatan dan kerelaan tidak dapat dicapai maka pelaksanaan ini tidak dapat dilakukan.

Pengurusan harta keluarga yang teratur adalah sebahagian elemen pembinaan keluarga bahagia. Berdamailah dalam habuan pusaka yang diterima dan bukan bersengketa atas harta yang percuma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN